Intervensi menambahbaik kesihatan membantu pencari pekerjaan yang menganggur untuk mendapatkan pekerjaan

Apakah tujuan ulasan ini?

Tujuan ulasan Cochrane ini adalah untuk mengetahui jika ia adalah mungkin untuk membantu orang yang menganggur untuk mendapatkan pekerjaan dengan meningkatkan kesihatan mereka.

Penurunan kesihatan dan keupayaan kerja yang merosot mungkin menjadi sebab untuk menganggur. Juga, pengangguran, dan terutamanya pengangguran yang berpanjangan, boleh menjadi punca kesihatan dan kesejahteraan yang buruk. Ia adalah tidak diketahui jika orang yang menganggur boleh dibantu untuk mendapatkan pekerjaan melalui intervensi yang meningkatkan kesihatan.

Mesej-mesej utama

Intervensi yang menggabungkan kaedah terapeutik dan latihan carian kerja mungkin sedikit meningkatkan bilangan orang yang menganggur yang mendapat pekerjaan berbanding dengan mereka yang tidak mempunyai intervensi. Untuk meningkatkan kepastian bukti, kami masih memerlukan kajian yang lebih berkualiti tinggi, termasuk kajian di mana intervensi yang memang jelas disasarkan untuk penganggur jangka pendek atau jangka panjang.

Apakah yang dikaji dalam ulasan ini?

Kami memasukkan 15 kajian rawak terkawal yang melibatkan 6397 peserta. Intervensi melibatkan kaedah terapeutik seperti terapi tingkah laku kognitif, senaman fizikal, dan nasihat berkaitan kesihatan dan kaunseling, atau gabungan intervensi melibatkan terapeutik dan latihan carian kerja. Kami menggunakan data daripada kajian-kajian ini tentang bilangan penganggur yang telah mendapat pekerjaan. Kami juga mengumpulkan data tentang kesihatan umum dan mental. Tiada kajian yang melaporkan hasil keupayaan kerja.

Keputusan menunjukkan bahawa intervensi gabungan (intervensi terapeutik digabungkan dengan latihan kerja-carian) mungkin sedikit meningkatkan bilangan penganggur yang mendapat pekerjaan berbanding dengan mereka yang tidak mengikuti intervensi. Intervensi terapeutik boleh meningkatkan bilangan penganggur yang mendapat pekerjaan berbanding dengan mereka yang tidak mengikuti intervensi tetapi bukti adalah sangat tidak pasti. Intervensi terapeutik mungkin tidak membuat perbezaan kepada kesihatan mental dan umum berbanding tanpa intervensi.

Sejauh manakah ulasan ini dikemaskinikan?

Kami mencari kajian-kajian yang telah diterbitkan sehingga Ogos 2019.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Adam Linoby (Universiti Teknologi MARA). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information