Seberapa berkesannya modulator kitaran visual (sejenis ubat) untuk mencegah dan merawat atrofi geografi (keadaan mata degeneratif)?

Mengapakah soalan ini penting?
Atrofi geografi adalah keadaan mata yang menyebabkan kehilangan penglihatan pusat secara progresif. Ia adalah bentuk degenerasi makula yang berkaitan dengan usia (AMD), keadaan degeneratif yang biasanya berkembang dalam orang yang berusia lebih daripada 50 tahun. AMD adalah suatu keadaan pada kawasan pusat (makula) belakang mata (retina). Terdapat dua jenis AMD: 'basah' dan 'kering'. Di AMD basah, saluran darah di mata bocor, sedangkan di AMD kering, ia tidak. Atrofi geografi adalah tahap akhir AMD kering.

Pada masa ini, kami tidak tahu cara mencegah atau merawat kehilangan penglihatan yang disebabkan oleh atrofi geografi. Salah satu pilihan rawatan yang berpotensi adalah jenis ubat yang disebut modulator kitaran visual. Modulator kitaran visual menghentikan bahan toksik (lipofuscin) daripada terkumpul di retina, dan dengan itu mereka mungkin dapat memperlambatkan kehilangan penglihatan dalam orang yang mengalami keadaan ini.

Kami melakukan tinjauan bukti dari kajian penyelidikan untuk mengetahui faedah dan risiko modulator kitaran visual untuk merawat dan mencegah atrofi geografi.

Bagaimanakah kami mengenal pasti dan menilai bukti?
Pertamanya, kami mencari semua kajian yang berkaitan dalam kesusasteraan perubatan. Kami kemudiannya membandingkan hasil-hasilnya, dan merumuskan bukti dari semua kajian. Akhirnya, kami menilai kepastian tentang bukti. Untuk melakukan ini, kami mempertimbangkan faktor-faktor seperti cara kajian-kajian dijalankan, saiz kajian, dan konsistensi penemuan merentasi semua kajian. Berdasarkan penilaian kami, kami mengelaskan bukti sebagai berkepastian sangat rendah, rendah, sederhana atau sangat tinggi.

Apa yang kami temui?
Kami menemui tiga kajian yang dilakukan di AS dan Jerman yang melibatkan seramai 821 orang dengan AMD kering yang maju. Ketiga-tiga kajian adalah kajian rawak terkawal: kajian klinikal yang mana orang di letakkansecara rawak ke dalam dua atau lebih kumpulan rawatan. Penyiasat merawat peserta selama antara 90 hari dan 24 bulan, dan mengikuti mereka selama antara tujuh hingga 30 hari setelah rawatan berakhir. Kajian membandingkan kesan rawatan plasebo (dummy) terhadap dua modulator kitaran visual yang berbeza: emixustat (2 kajian) dan fenretinide (1 kajian).

Emixustat berbanding plasebo

Bukti kepastian rendah menunjukkan bahawa mungkin terdapat sedikit perbezaan antara emixustat dan plasebo ketika mempertimbangkan:

• Purata perubahan kehilangan penglihatan;
• Kadar orang yang kehilangan 15 huruf atau lebih mengikut carta penglihatan; atau
• Perkembangan atrofi geografi.

Fenretinide terhadap plasebo

Bukti kepastian rendah menunjukkan bahawa atrofi geografi dapat berkembang pada kadar yang lebih perlahan dalam orang yang dirawat dengan fenretinide pada dos 300 mg sehari berbanding dengan plasebo. Namun, tidak jelas jika perbezaan ini cukup penting untuk memberi perbezaan kepada pesakit.

Kesan buruk (tidak diingini)

Bukti kepastian sederhana hingga rendah menunjukkan bahawa:

• kesan buruk yang paling biasa dilaporkan adalah penyesuaian yang tertunda terhadap kegelapan dan gangguan penglihatan (seperti penglihatan berwarna tidak normal, atau kawasan gelap di bidang visual). Kesan ini meningkat dengan ukuran dos ubat, dan hilang setelah rawatan berakhir.
• Emixustat mungkin tidak dikaitkan dengan kesan buruk selain masalah yang mempengaruhi mata (seperti gangguan penglihatan), atau dengan kesan buruk yang serius.
• Fenretinide boleh dikaitkan dengan kulit gatal, atau ruam.

Apa yang kami temui?
Kami tidak menemui kajian yang membandingkan kesan modulator kitaran visual dan plasebo pada:

• Kadar orang yang kehilangan 10 huruf atau lebih mengikut carta penglihatan; atau
• Purata perubahan kepekaan makula terhadap cahaya; atau
∙ Perkembangan ke AMD maju pada orang dengan AMD peringkat awal atau pertengahan.

Apakah maksudnya?
Kajian semula bukti kami menunjukkan bahawa, pada orang dengan AMD yang maju, modulator kitaran visual mungkin sedikit atau tidak ada perbezaan untuk:

• perkembangan atrofi geografi; dan
• kehilangan penglihatan.

Keyakinan kami dalam keputusan-keputusan ini adalah rendah. Hasil kajian kami kemungkinan akan berubah sekiranya terdapat lebih banyak bukti.

Seberapa terkinikah ulasan ini?
Bukti dalam ulasan Cochrane ini adalah terkini sehingga Januari 2020.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Pang Zhi Chiing (RCSI & UCD Malaysia Campus, kelas siswazah 2020). Disunting oleh Tuan Hairulnizam Tuan Kamauzaman (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information