Makanan tambahan berkhasiat untuk orang dengan penyakit hati berlemak tidak berkaitan dengan alkohol

Apakah tujuan Ulasan Cochrane ini?
Untuk mengetahui jika sebarang bentuk makanan tambahan berkhasiat mengurangkan kesan-kesan penyakit hati berlemak tidak berkaitan dengan alkohol terhadap jangka hayat, kualiti hidup berkaitan kesihatan, penyakit hati kronik, dan komplikasinya, dan sama ada makanan tambahan berkhasiat menyebabkan sebarang mudarat.

Penyakit hati berlemak bukan alkohol (NAFLD) adalah pengumpulan lemak dalam hati orang yang tidak mempunyai sejarah pengambilan alkohol yang signifikan, penggunaan ubat-ubatan, penyakit seperti jangkitan virus hepatitis C, atau keadaan-keadaan lain seperti kelaparan yang boleh merosakkan hati. Hati berlemak boleh menyebabkan kerosakan hati yang menyebabkan keradangan (steatohepatitis tidak berkaitan dengan alkohol, atau NASH) atau parut hati (sirosis hati). Pelbagai rawatan perubatan telah dicuba untuk rawatan NAFLD. Walau bagaimanapun, tiada bukti semasa menunjukkan mereka berkesan. Makanan tambahan berkhasiat berpotensi untuk mengurangkan kerosakan hati, tetapi sama ada ini berlaku pada masa ini tidak jelas. Para penulis ulasan ini mengumpul dan menganalisis semua kajian rawak klinikal yang relevan dengan tujuan untuk mengetahui apakah rawatan yang terbaik. Mereka menemui 202 kajian rawak klinikal (kajian yang mana peserta dimasukkan secara rawak ke satu daripada dua kumpulan rawatan). Semasa analisis data, para penulis ulasan menggunakan kaedah Cochrane standard, yang membolehkan perbandingan hanya dua rawatan pada satu masa. Tambahan, para penulis ulasan menggunakan teknik-teknik maju yang membolehkan perbandingan beberapa rawatan pada masa yang sama (biasanya dirujuk sebagai ‘meta-analisis rangkaian (atau tidak langsung)’).

Tarikh carian literatur
Februari 2021.

Mesej utama
Hanya 19 kajian mempunyai risiko bias yang rendah, dan oleh sebab ini, ketidakpastian mengenai penemuan-penemuan ulasan ini adalah cukup besar. Kajian-kajian yang melaporkan kerosakan hati yang penting secara klinikal atau komplikasinya mengkaji peserta-peserta selama 2 bulan ke 28 bulan. Semasa tempoh ini, hasil-hasil yang penting secara klinikal berkaitan dengan NAFLD seperti kematian, komplikasi berkaitan hati seperti sirosis hati (parut hati), dekompensasi hati (komplikasi disebabkan parut hati), pemindahan hati, karsinoma hepatoselular (kanser hati), dan kematian disebabkan penyakit hati adalah jarang, walaupun tanpa sebarang rawatan. Tiada bukti menunjukkan bahawa sebarang makanan tambahan berkhasiat mengurangkan hasil-hasil ini. Sebab yang mungkin untuk komplikasi penyakit hati jarang dalam peserta-peserta kajian mungkin tempoh susulan yang pendek diberikan dalam kajian-kajian ini (peserta-peserta diikuti hanya selama 2 bulan ke 28 bulan). Komplikasi berkaitan hati disebabkan NAFLD berkembang dalam tempoh 8 hingga 28 tahun. Oleh itu, adalah tidak mungkin perbezaan dalam hasil-hasil klinikal boleh dikesan dalam kajian-kajian dengan susulan kurang daripada 5 ke 10 tahun.

Apakah yang dikaji dalam Ulasan ini?
Ulasan ini melihat kepada orang dengan penyakit hati tidak berkaitan dengan alkohol tanpa mengira jantina, umur dan etnik asal. Para penulis ulasan mengecualikan kajian-kajian orang dengan pemindahan hati sebelumnya. Purata umur peserta, apabila dilaporkan, antara 7 hingga 61 tahun. Peserta-peserta diberikan rawatan yang berbeza termasuk pelbagai vitamin dan makanan tambahan berkhasiat yang lain. Para penulis ulasan ingin mengumpul dan menganalisis data mengenai kematian, kualiti hidup, peristiwa buruk serius atau tidak serius, kerosakan hati teruk, komplikasi akibat daripada kerosakan hati teruk, kanser hati, dan kematian disebabkan kerosakan hati (‘hasil-hasil klinikal’).

Apakah keputusan utama Ulasan ini?
202 kajian itu menyertakan 14,200 peserta. Data kajian adalah sedikit. Keseluruhannya, 115 kajian dengan 7732 peserta menyediakan data untuk analisis. Susulan peserta-peserta kajian antara 1 bulan ke 28 bulan (2 bulan ke 28 bulan untuk kajian-kajian yang melaporkan hasil-hasil klinikal). Ulasan ini menunjukkan yang berikut.
- Bukti menunjukkan ketidakpastian yang besar mengenai kesan-kesan intervensi terhadap semua hasil klinikal.
- Kajian yang direka dengan baik yang mengumpul data dengan tempoh susulan yang lebih panjang diperlukan pada masa depan untuk mengetahui makanan tambahan berkhasiat yang terbaik (jika ada) untuk orang dengan NAFLD.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Muhammad Faiz Mohd Adenan (University of New South Wales). Disunting oleh Norhayati Mohd Noor (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information