Apakah faedah dan risiko menggunakan ujian untuk kematangan paru-paru untuk menilai sama ada bayi baru lahir pramatang perlu menerima terapi surfaktan untuk meningkatkan fungsi paru-paru?

Mesej utama

• Sindrom gangguan pernafasan adalah keadaan biasa pada bayi pramatang, manakala faedah terapi surfaktan berpandukan ujian untuk kematangan paru-paru masih tidak jelas.

• Tiada kajian melaporkan kematian neonatal (dalam 28 hari pertama kehidupan) atau hasil perkembangan saraf. Adalah masih tidak pasti sama ada terapi surfaktan berpandukan ujian untuk kematangan paru-paru mempunyai kesan ke atas kematian sebelum keluar hospital. Rawatan surfaktan berpandukan ujian pantas bagi kekurangan surfaktan hanya menghasilkan perbezaan yang sedikit atau tiada langsung dalam penyakit paru-paru kronik pramatang, yang dikenali sebagai displasia bronkopulmonari, keperluan untuk rawatan surfaktan, atau sebarang pneumothorax, iaitu paru-paru yang runtuh.

• Kajian-kajian diperlukan bagi membandingkan rawatan surfaktan berpandukan ujian pantas untuk masalah kekurangan surfaktan dengan pemberian surfaktan profilaksis (pengambilan surfaktan sebelum timbulnya gejala) dalam semua bayi berisiko tinggi.

Apakah ujian untuk kematangan paru-paru?

Surfaktan ialah campuran kompleks yang terdiri daripada protein dan fosfolipid. Protein membantu dalam penyebaran dan penyerapan pada permukaan paru-paru, manakala lipid mengurangkan ketegangan permukaan dan dengan itu menghalang keruntuhan paru-paru pada akhir penghembusan, (iaitu apabila udara meninggalkan paru-paru). Bayi pramatang berisiko mengalami sindrom gangguan pernafasan yang berlaku apabila paru-paru mereka tidak berkembang dengan baik. Ia disebabkan oleh kekurangan surfaktan, oleh itu pemberian surfaktan adalah prosedur yang biasa dilakukan pada bayi pramatang. Sehingga kini, masih tiada lagi konsensus mengenai penunjuk dan masa untuk terapi penggantian surfaktan. Mempertimbangkan keinvasifan dan kos, matlamatnya adalah untuk membenarkan campur tangan pada masa yang tepat dan mengelakkan rawatan berlebihan. Ujian pantas untuk kematangan paru-paru (seperti ujian klik, kiraan badan lamellar dan ujian buih mikro yang stabil) adalah berdasarkan pengukuran kepekatan surfaktan pulmonari dalam sebarang cecair. Ujian ini boleh dilakukan pada cecair amniotik, cecair pertama yang disedut dari perut atau trakea (salur angin) sejurus selepas kelahiran untuk menilai tahap kekurangan surfaktan. Penggunaan ujian pantas mungkin dapat membimbing pengenalpastian bayi yang memerlukan pemberian surfaktan.

Apakah yang kami ingin tahu?

Kami ingin mengetahui sama ada menggunakan ujian untuk perkembangan paru-paru pada bayi pramatang adalah lebih baik daripada pemberian surfaktan sebelum permulaan sindrom gangguan pernafasan (pemberian surfaktan profilaksis) dalam semua bayi berisiko tinggi atau terapi surfaktan yang diberikan kepada bayi dengan sindrom gangguan pernafasan yang didiagnosis melalui kriteria klinikal dan radiologi.

Kami juga ingin mengetahui sama ada menggunakan terapi surfaktan yang dipandu oleh ujian untuk kematangan paru-paru pada bayi pramatang mempunyai kaitan dengan pengurangan hasil negatif, seperti kematian, penyakit paru-paru kronik pramatang, atau mana-mana paru-paru yang runtuh. Penyakit paru-paru kronik pramatang adalah masalah utama bagi bayi pramatang yang dikaitkan dengan kedua-dua kadar kematian yang lebih tinggi dan hasil yang lebih buruk dalam kalangan mangsa yang terselamat. Keradangan paru-paru yang berterusan akibat penggunaan alat pernafasan yang berpanjangan untuk menyediakan pengudaraan adalah punca utama. Pemberian surfaktan boleh membantu dalam penyapihan daripada pengudaraan mekanikal, dan dengan itu menghalang neonat daripada mendapat penyakit paru-paru kronik pramatang.

Apakah yang kami lakukan?

Kami mencari kajian yang melihat kepada terapi surfaktan yang berpandukan oleh pelbagai jenis ujian pantas untuk kematangan paru-paru berbanding dengan pemberian surfaktan profilaksis dalam semua bayi berisiko tinggi atau terapi surfaktan yang diberikan kepada bayi dengan sindrom gangguan pernafasan yang didiagnosis berdasarkan kriteria klinikal dan radiologi.

Kami membanding dan merumuskan hasil daripada kajian-kajian dan menilai keyakinan kami terhadap bukti, berdasarkan faktor seperti kaedah dan saiz kajian.

Apakah yang kami temui?

Kami menemui tiga kajian yang melibatkan 562 bayi pramatang yang sama ada menerima rawatan surfaktan berpandukan ujian pantas atau oleh kriteria klinikal dan imej X-ray atau ultrasound.

Keputusan utama ulasan menunjukkan bahawa adalah sangat tidak pasti sama ada terapi surfaktan berpandukan ujian pantas untuk kekurangan surfaktan berbanding terapi surfaktan yang diberikan kepada bayi dengan sindrom gangguan pernafasan yang didiagnosis melalui kriteria klinikal dan radiologi mempunyai kesan ke atas kematian sebelum keluar hospital.

Rawatan surfaktan berpandukan ujian pantas untuk kekurangan surfaktan boleh menghasilkan sedikit atau tiada perbezaan langsung dalam penyakit paru-paru kronik pramatang, keperluan untuk rawatan surfaktan dan paru-paru yang runtuh.

Terdapat dua kajian berterusan yang menilai terapi surfaktan berpandukan ultrasound paru-paru (satu kajian) dan penilaian fungsi paru-paru, bersama-sama dengan penilaian klinikal untuk terapi surfaktan (satu kajian).

Apakah batasan bukti?

Kami tidak yakin dengan bukti kerana tidak terdapat kajian yang mencukupi untuk kepastian dengan keputusan. Akhirnya, bukan semua kajian memberikan data tentang semua perkara yang kami minati.

Sejauh manakah bukti ini terkini?

Bukti adalah terkini sehingga Oktober 2022.

Nota terjemahan: 

Sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini. Diterjemah oleh Azra Baharin (RCSI & UCD Campus Malaysia). Disunting oleh Norhayati Mohd Noor (Universiti Sains Malaysia).

Tools
Information