Tujuan ulasan
Tujuan ulasan ini adalah untuk melihat sama ada terapi kognitif tingkah laku (CBT) boleh membantu individu yang mengalami OCD dan juga mempunyai ASD.
Latar belakang
Individu yang telah didiagnosis menghidap ASD cenderung mempunyai persamaan yang tertentu. Mereka selalunya memahami interaksi sosial dan komunikasi berbeza dengan orang lain. Individu yang menghidap ASD juga mungkin kurang terbuka dalam pemikiran mereka berbanding orang lain yang mungkin menyukarkan mereka untuk menggunakan terapi psikologi seperti sebagaimana yang biasa disampaikan. Pandangan penghidap ASD adalah penting untuk membantu doktor dalam menentukan bidang penyelidikan berkaitan ASD yang perlu diutamakan.
Seseorang yang didiagnosis dengan OCD mempunyai gejala tertentu yang sedikit sebanyak mempengaruhi cara mereka meneruskan kehidupan. Seseorang yang mempunyai OCD mempunyai pemikiran yang berterusan, walaupun mereka tidak mahu pemikiran itu dan sering berfikir bahawa pemikiran itu tidak munasabah. Pemikiran ini selalunya adalah kebimbangan tentang diri mereka atau orang lain dicederakan atau sesuatu yang tidak mencapai kesempurnaan atau tidak kena. Ada kalanya penghidap OCD merasakan seolah-olah perlu untuk memikirkan atau bertindak secara berulang kali bagi memastikan sesuatu perkara dilakukan dengan betul walaupun mereka biasanya benar-benar tahu mereka tidak perlu berbuat demikian. Tindakan yang dilakukan secara berulang adalah seperti mencuci tangan.
Penyelidikan menunjukkan bahawa penghidap ASD lebih cenderung untuk mendapat OCD. Manusia mungkin mempunyai gen tertentu yang menjadikan mereka lebih cenderung untuk menghidap kedua-dua ASD dan OCD, atau mungkin juga cara penghidap ASD berfikir membuatkan mereka lebih cenderung untuk mendapat OCD.
Terapi kognitif tingkah laku (CBT) telah digunakan sejak sekian lama untuk merawat OCD. CBT biasanya dijalankankan melalui pertemuan dengan ahli terapi, tetapi boleh juga dilaksanakan melalui cara yang berbeza, seperti dalam talian. CBT melibatkan bercakap tentang pemikiran berulang yang berlaku dan membantu orang itu mengurus dan mengurangkannya, dan juga melibatkan cubaan melakukan tindakan kompulsif dengan lebih jarang. Oleh kerana penghidap ASD kadang kala mempunyai cara berfikir dan berkomunikasi yang beza, doktor tertanya-tanya sama ada CBT bermanfaat bagi merawat OCD dalam penghidap ASD sebagai mana CBT bermanfaat dalam merawat penghidap OCD yang tidak menghidap ASD. Penyelidik-penyelidik lain telah mencari jalan untuk mengubah cara CBT disampaikan kepada penghidap ASD untuk membantu mereka mendapatkan manfaat rawatan sepenuhnya dan ini dipanggil ‘CBT yang disesuaikan’. Kajian menunjukkan CBT yang disesuaikan bermanfaat untuk beberapa gangguan keresahan yang berlaku dalam penghidap ASD. Walau bagaimanapun, tidak begitu banyak kajian yang melihat bagaimana CBT yang disesuaikan mungkin bermanfaat untuk OCD dalam penghidap ASD.
Carian
Kami mencari kajian rawak terkawal penyampaian CBT kepada penghidap OCD yang juga menghidap ASD. Kajian rawak terkawal ialah kajian di mana peserta diperuntukkan secara rawak kepada CBT atau kumpulan rawatan lain supaya orang yang menjalankan kajian itu tidak berpeluang mempengaruhi dan tidak tahu kumpulan mana peserta tersebut. Kumpulan rawatan yang lain dipanggil kumpulan kawalan. Dalam kajian ini, peserta dalam kumpulan kawalan tidak menerima CBT, tetapi mereka mungkin menjalani sesi terapi dengan pakar terapi yang tidak melibatkan CBT, atau mereka mungkin berada dalam senarai menunggu. Jika pertemuan dengan ahli terapi anda atau menunggu masa berlalu adalah sama membantu seperti CBT, sebagai contoh, maka keputusan akan kurang berkemungkinan menunjukkan perbezaan antara hasil kumpulan rawatan dan kumpulan kawalan. Sebaliknya, jika CBT lebih berkesan, maka kita mungkin menjangkakan untuk melihat kumpulan CBT melakukan lebih baik daripada kumpulan kawalan. Oleh itu, pada penghujung setiap kajian, apabila keputusan dalam kumpulan rawatan dibandingkan dengan keputusan dalam kumpulan kawalan, ia memberikan maklumat tentang keberkesanan CBT untuk penghidap OCD dan ASD. Bukti dalam ulasan ini adalah terkini hingga Ogos 2020.
Kesimpulan
Kami mendapati terdapat hanya satu penerbitan kajian rawak terkawal tentang penyampaian CBT kepada penghidap OCD dan ASD yang memenuhi kriteria carian kami. Kumpulan kawalan dalam kajian ini diberikan rawatan yang dipanggil ‘pengurusan keresahan’ yang membantu peserta menguruskan keresahan tetapi tidak membantu mereka untuk menangani secara khusus pemikiran dan tindakan yang berulang-ulang, seperti yang dilakukan oleh CBT. Kajian ini bertujuan untuk melihat sama ada pengurusan keresahan atau CBT lebih baik dalam merawat OCD dalam penghidap ASD, tetapi kajian ini tidak menemui sebarang perbezaan antara kedua-dua rawatan.
Diterjemahkan oleh Salizawati Muhamad Salhimi, Universiti Sains Malaysia. Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my