Intervensi untuk penghidap diabetes mellitus jenis 2 berpuasa pada bulan Ramadan

Soalan ulasan

Apakah kesan intervensi untuk orang dewasa dengan diabetes jenis 2 yang berpuasa pada bulan Ramadan?

Latar belakang

Puasa di bulan Ramadan adalah salah satu rukun iman dan amalan Islam. Dalam tempoh ini, semua orang dewasa Islam yang sihat akan berpuasa dari subuh hingga senja (matahari terbenam) dan mengambil makanan selepas matahari terbenam atau Iftar. Orang yang sakit atau mempunyai keadaan perubatan seperti diabetes jenis 2 dikecualikan daripada berpuasa. Bagaimanapun, ramai individu yang menghidap diabetes jenis 2 memilih untuk berpuasa pada bulan Ramadan, yang boleh memberi impak besar dalam menguruskan diabetes dalam populasi Islam. Disebabkan sifat metabolik keadaan ini, penghidap diabetes mempunyai risiko khusus untuk mengalami komplikasi daripada perubahan ketara dalam pengambilan makanan dan cecair, termasuk risiko hipoglisemia.

Kami ingin mengetahui kesan intervensi yang digunakan untuk menyokong puasa pada orang dewasa dengan diabetes jenis 2 semasa Ramadan. Kami secara khusus berminat dengan kesan pada hipoglisemia (kedua-dua tidak serius dan serius), kualiti hidup dan kejadian yang tidak diingini. Kami sertakan kajian ke atas orang dewasa yang menghidap diabetes jenis 2, dan tarikh carian kami ialah 29 Jun 2022.

Ciri-ciri kajian

Kami mendapati 17 kajian dengan jumlah 5359 peserta. Kajian ini dijalankan sekurang-kurangnya empat minggu semasa Ramadan, dan peserta disusuli sekurang-kurangnya empat minggu. Kajian yang disertakan membandingkan penggunaan sulphonylureas dengan penggunaan perencat dipeptidyl peptidase-4 (empat kajian), meglitinides (dua kajian), perencat natrium-glukosa co-transporter-2 (satu kajian) dan analog peptida-1 seperti glukagon (tiga kajian) sepanjang Ramadan. Dua kajian membandingkan analog insulin dengan insulin biphasic. Kajian lain membandingkan penjagaan biasa dengan teleperubatan (dua kajian), pendidikan pesakit yang berfokus pada Ramadan (dua kajian) dan pengurangan dos ubat semasa Ramadan (satu kajian).

Keputusan utama

Data adalah tidak lengkap untuk semua perbandingan. Data yang ada tidak menunjukkan sebarang faedah atau bahaya yang jelas sama ada intervensi farmakologi atau tingkah laku untuk menyokong penghidap diabetes jenis 2 yang ingin berpuasa pada bulan Ramadan. Walau bagaimanapun, bukti daripada kajian menunjukkan bahawa menggunakan ubat antidiabetik selain daripada sulfonylurea boleh mengurangkan risiko mengalami hipoglisemia. Begitu juga, intervensi tingkah laku seperti teleperubatan (menyediakan nasihat rawatan dari jauh) atau mengurangkan dos ubat diabetes semasa Ramadan boleh mengurangkan risiko mengalami hipoglisemia. Dalam kajian yang melaporkan episod hipoglisemik yang teruk, kejadian adalah jarang berlaku, dengan jumlah yang sama rendah merentasi semua perbandingan. Maklumat tentang kualiti hidup yang berkaitan dengan kesihatan dan kematian akibat semua sebab adalah terhad namun tidak menunjukkan perbezaan yang jelas antara semua intervensi. Selain itu, beberapa data yang tersedia tidak menunjukkan perbezaan yang jelas antara intervensi farmakologi dan tingkah laku berkenaan risiko mengalami kejadian buruk selain daripada hipoglisemia, tekanan darah, berat badan, paras lipid atau paras hemoglobin terglikasi.

Kepastian bukti

Untuk semua kajian dalam ulasan ini, terdapat kebimbangan mengenai kualiti metodologi dan kepastian bukti berkaitan. Bilangan peserta dalam semua intervensi adalah kecil. Untuk hasil yang dilaporkan, kami mempunyai sangat sedikit keyakinan terhadap kepastian bukti yang ada. Kajian masa depan mungkin mengubah penemuan kami dengan ketara.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Nila Pillai (CochraneMalaysia). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information