Hasil utama kajian
Bukti menyarankan bahawa peranti dalam rahim yang merembeskan hormon levonorgestrel (“levonorgestrel-releasing intrauterine system” LNG-IUS) adalah pilihan terbaik dalam rawatan barisan pertama untuk mengurangkan pendarahan haid, manakala antifibrinolitik mungkin yang kedua terbaik, dan progestogen kitaran panjang yang ketiga terbaik. Oleh kerana beberapa limitasi dalam bukti, kami tidak dapat memastikan apakah kesan sebenar rawatan barisan pertama ini terhadap persepsi mengenai pembaikan dan kelegaan.
Untuk rawatan barisan kedua, bukti menunjukkan bahawa sebarang jenis histerektomi (pembedahan membuang rahim) adalah rawatan terbaik untuk mengurangkan pendarahan, walaupun ia adalah pembedahan yang besar, dan ablasi reseksi endometrium (“resectoscopic endometrial ablation” REA) dan ablasi tanpa reseksi endometrium (“non-resectoscopic endometrial ablation” NREA) adalah kedua dan ketiga terbaik. Kami tidak pasti akan kesan sebenar rawatan barisan kedua terhadap amenorea (tidak datang haid). Bukti menyarankan bahawa histerektomi yang kurang invasif memberikan peningkatan besar dalam kelegaan, dan NREA meningkatkan kelegaan, tetapi kami tidak pasti akan kesan sebenar intervensi yang lain.
Apakah itu pendarahan haid yang berlebihan?
Pendarahan haid yang berlebihan bermaksud pengeluaran darah haid yang menyebabkan kualiti hidup seseorang yang datang haid terjejas. Ia sangat lazim dan boleh melibatkan antara 20% ke 50% individu yang datang haid pada usia reproduksi mereka. Terdapat pelbagai rawatan untuk ini, dan setiapnya mempunyai kebaikan dan keburukan masing-masing. Rawatan terbaik bergantung kepada umur seseorang, sama ada mereka memiliki atau ingin memiliki anak, pilihan peribadi mereka, sejarah perubatan dan sebagainya.
Apakah yang kami ingin tahu?
Kami ingin mendapatkan gambaran keseluruhan bukti yang telah diterbitkan mengenai pelbagai rawatan untuk pendarahan haid yang berlebihan. Kami sangat berminat untuk mengetahui sama ada rawatan adalah berkesan dalam mengurangkan pendarahan haid dan meningkatkan kelegaan wanita. Kami juga ingin mengetahui bagaimana rawatan mempengaruhi kualiti hidup, kesan sampingan yang disebabkan rawatan, dan sama ada para wanita memerlukan rawatan lanjut.
Apa yang telah dilakukan?
Kajian ini adalah gambaran keseluruhan ulasan, yang bermaksud kami meneliti kajian-kajian yang telah diterbitkan yang menggabungkan keputusan lain-lain kajian mengenai pelbagai rawatan untuk pendarahan haid yang berlebihan. Seterusnya kami cuba memberikan gambaran yang menyeluruh tentang semua bukti ini. Kami menganalisa kepastian terhadap bukti berdasarkan faktor-faktor seperti saiz kajian dan kaedah kajian yang meyakinkan. Kami mengkategorikan rawatan berdasarkan ciri-ciri pesakit, termasuklah keinginan atau hasrat mereka untuk hamil pada masa hadapan, rawatan terdahulu yang gagal atau jika mereka pernah dirujuk untuk pembedahan. Rawatan barisan pertama termasuklah intervensi perubatan dan rawatan barisan kedua merangkumi LNG-IUS dan pembedahan; oleh itu, LNG-IUS termasuk dalam kedua-dua rawatan barisan pertama dan kedua. Kami menggunakan rangkaian meta-analisa, suatu kaedah statistik yang membandingkan semua intervensi pada waktu yang sama, untuk mengetahui rawatan manakah yang memberikan hasil yang terbaik untuk para pesakit.
Apa yang kami temui?
Kami menemui sembilan ulasan dengan 104 kajian, yang melibatkan sejumlah 11,881 peserta. Secara keseluruhan, data yang kami analisa adalah daripada 85 kajian dan 9950 peserta. Intervensi perubatan disertakan: ubat anti-radang tanpa steroid (“non-steroidal anti-inflammatory drugs”NSAIDs), antifibrinolitik (asid tranexamic), pil perancang kombinasi, gelungan faraj kombinasi (“combined vaginal ring” CVR), pil progestogen untuk fasa luteal dan kitaran panjang, LNG-IUS, ethamsylate dan danazol (disertakan hanya untuk menunjukkan bukti tidak langsung). Rawatan-rawatan ini telah dibandingkan dengan plasebo (rawatan palsu). Intervensi pembedahan disertakan: pembedahan abdomen terbuka, pembedahan kurang invasif (melalui faraj atau laparoskopi) dan histerektomi (jenis tidak dispesifikasi atau pilihan pakar bedah), REA, NREA dan ablasi endometrium (jenis tidak dispesifikasi).
Apakah limitasi bukti tersebut?
Keyakinan kami terhadap beberapa bukti adalah sederhana, tetapi bagi hampir kesemuanya, keyakinan kami adalah antara rendah ke sangat rendah. Sebab utamanya adalah kerana kajian selalunya tidak dikaburkan, yang bermakna para peserta mengetahui rawatan manakah yang mereka terima, dan ini boleh merubah persepsi mereka; bukti langsung dan tidak langsung tidak cukup serupa untuk perbandingan dalam rangkaian, dan julat keputusan yang terlalu besar.
Adakah bukti ini terkini?
Pencarian terakhir ulasan adalah pada Julai 2021.
Diterjemahkan oleh Aishah Ibrahim (University of Hull). Disunting oleh Norhayati Mohd Noor (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my