Adakah pembiusan penuh atau setempat yang lebih baik untuk orang yang memerlukan pembaikan endovaskular aneurisma aorta ?

Mesej utama

- kami tidak menemui sebarang kajian rawak terkawal untuk menjawab soalan kami

- bukti berkualiti tinggi adalah diperlukan untuk membandingkan faedah dan kemudaratan pembiusan penuh berbanding pembiusan setempat dalam kalangan orang yang menjalani pembaikan endovaskular aneurisma aorta

Apakah itu aneurisma aorta?

Apabila diameter arteri atau vena membesar sehingga melebihi saiz tertentu, ia dikenali sebagai aneurisma. Aneurisma yang terus membesar sehingga melebihi saiz tertentu akan berisiko untuk pecah. Aorta merupakan arteri terbesar dalam badan, dan orang yang mengalami pecah aneurisma aorta berisiko tinggi untuk mengalami komplikasi yang parah, seperti kematian.

Bagaimanakah aneurisma aorta dirawat?

Untuk merawat, atau membaiki, aneurisma aorta, pakar bedah akan membedah dada dan perut pesakit untuk mendedahkan aneurisma tersebut, dan menggantikannya dengan bahan sintetik, dikenali sebagai graft. Ini dipanggil pembaikan aneurisma aorta terbuka. Pilihan lain adalah untuk pakar bedah menggunakan x-ray (atau teknologi yang seumpamanya) untuk membimbing mereka semasa mereka memasukkan graft satu belahan kecil di arteri pesakit, dan mengelakkan keperluan untuk pembedahan yang besar. Ini dikenali sebagai pembaikan aneurisma aorta endovaskular.

Orang yang menjalani pembaikan aneurisma aorta endovaskular boleh diberikan pembiusan penuh, di mana mereka akan berada dalam keadaan koma sementara dan memerlukan sokongan pernafasan menggunakan mesin (biasanya dipanggil ditidurkan). Kelebihan pendekatan bius ini adalah pakar bius boleh mengendalikan saluran pernafasan pesakit, dan pakar bedah tahu bahawa pesakit tidak akan bergerak semasa fasa pembedahan yang rumit. Walau bagaimanapun, terdapat juga risiko terjadinya tekanan darah rendah, pembekuan darah, dan masalah pernafasan semasa atau selepas pembedahan. Sebagai alternatif, pesakit boleh diberikan ubat tahan sakit dan ubat penenang untuk pembedahan tanpa perlu ditidurkan. Pendekatan ini dikenali sebagai pembiusan setempat. Kelebihan pendekatan ini ialah pesakit mengelak risiko berkaitan pembiusan penuh. Walau bagaimanapun, pembiusan setempat memerlukan pesakit bekerjasama sepenuhnya semasa pembedahan dan berbaring diam, dan keadaan yang tetap sedar semasa pembedahan mungkin menyebabkan mereka berasa sangat tidak selesa.

Apakah yang ingin kami ketahui?

Kami ingin mengetahui sama ada terdapat sebarang faedah atau kemudaratan pembiusan penuh jika dibandingkan dengan pembiusan setempat untuk orang yang menjalani pembaikan aneurisma aorta endovaskular.

Apakah yang kami lakukan?

Kami mencari semua kajian rawak yang membandingkan penggunaan pembiusan penuh dengan penggunaan pembiusan setempat dalam kalangan pesakit yang perlu menjalani pembaikan aneurisma aorta endovaskular . Dalam kajian rawak terkawal, rawatan yang diberikan kepada seseorang ditentukan secara rawak,dan ini memberikan bukti yang paling boleh dipercayai tentang kesan rawatan.

Apakah yang kami temui?

Kami tidak menemui sebarang kajian rawak terkawal yang memenuhi kriteria kemasukan untuk ulasan kami. Oleh itu, adalah mustahil untuk membuat kesimpulan berkenaan faedah atau kemudaratan pembiusan penuh berbanding pembiusan setempat dalam rawatan aneurisma aorta secara endovaskular. Ini bermakna kajian rawak terkawal adalah diperlukan untuk memberikan bukti tentang sebarang faedah atau kemudaratan untuk membantu membimbing membuat keputusan.

Sejauh manakah bukti ini terkini?

Bukti adalah terkini sehingga 11 Mac 2022.

Nota terjemahan: 

Untuk sebarang pertanyaan yang berkaitan dengan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my. Diterjemahkan oleh Nathanael Lee Yong Sheng (Hospital Seberang Jaya). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia).

Tools
Information