Latar belakang
Cara standard perokok diberitahu untuk berhenti merokok adalah dengan merokok seperti biasa sehingga tarikh berhenti, pada tarikh berhenti mereka akan berhenti menggunakan semua jenis rokok. Walau bagaimanapun, ramai yang telah mencubanya sebelum ini dan mungkin ingin mencuba sesuatu yang baru. Sesetengah perokok memilih untuk mengurangkan jumlah rokok yang dihisap sebelum berhenti sepenuhnya. Sebelum perkhidmatan penjagaan kesihatan memberikan perokok pilihan untuk mengurangkan jumlah rokok terlebih dahulu atau terus berhenti serta merta, kita perlu mengetahui sama ada pengurangan rokok membantu perokok untuk berhenti merokok sama seperti dengan cara standard.
Terdapat cara yang berbeza bagi perokok untuk mengurangkan jumlah rokok yang dihisap (sebagai contoh, menetapkan tarikh berhenti, memanjangkan tempoh tidak merokok) dan sebahagian daripada cara ini berkesan lebih dari yang lain. Kajian ini melihat sama ada pengurangan sebelum berhenti dapat membantu perokok untuk berhenti merokok, dan cara terbaik perokok dapat mengurangkan rokok bagi membantu mereka berhenti sepenuhnya.
Ciri-ciri kajian
Ulasan ini melibatkan 51 kajian yang merangkumi 22,000 perokok tembakau. Kebanyakannya adalah orang dewasa, dan perokok yang kebiasaannya menghisap sekurang-kurangnya 23 batang rokok sehari pada permulaan kajian. Semua kajian termasuk sekurang-kurangnya satu kumpulan perokok yang diminta untuk mengurangkan rokok yang dihisap dan kemudiannya berhenti merokok tembakau sepenuhnya. Kumpulan ini dibandingkan kepada sama ada kumpulan yang tidak menerima sebarang rawatan untuk berhenti merokok, kumpulan yang diminta untuk berhenti merokok sekali gus serta merta, atau kumpulan yang diminta untuk mengurangkan merokok melalui cara lain. Kami tidak memasukkan kajian yang meminta perokok mengurangkan tanpa berhenti. Kajian-kajian tersebut telah dilaksanakan untuk tempoh sekurang-kurangnya enam bulan. Bukti-bukti adalah terkini sehingga Oktober 2018.
Keputusan utama
Tidak terdapat maklumat yang mencukupi untuk menentukan samada pengurangan sebelum berhenti membantu lebih ramai perokok untuk berhenti merokok berbanding rawatan tanpa berhenti merokok. Walau bagaimanapun, perokok yang diminta untuk berhenti merokok kesemua rokok mereka secara sekaligus tidak lebih cenderung untuk berhenti berbanding perokok yang diminta untuk mengurangkan hisapan rokok mereka sebelum berhenti. Perkara ini mencadangkan bahawa dengan meminta perokok mengurangkan bilangan rokok mereka pada mulanya mungkin cara yang berguna untuk membantu perokok berhenti merokok. Perokok yang mengurangkan bilangan rokok sambil menggunakan varenicline atau terapi gantian nikotin(NRT) jenis bertindak cepat, seperti gula getah atau lozenge, mungkin lebih cenderung untuk berhenti merokok berbanding perokok yang mengurangkan bilangan rokok mereka tanpa menggunakan ubat untuk membantu mereka. Memberikan perokok sokongan secara bersemuka bagi mengurangkan bilangan rokok mungkin dapat membantu lebih ramai perokok untuk berhenti berbanding dengan memberikan bahan-bahan kendiri untuk mereka mengurangkan bilangan rokok dengan sendiri. Terdapat maklumat yang tidak mencukupi untuk menentukan sama ada intervensi pengurangan-hingga-pemberhentian dengan cara lain meningkatkan peluang perokok untuk berhenti merokok.
Kami melihat samada permintaan untuk mengurangkan merokok sebelum pemberhentian menghasilkan kesan-kesan negatif, seperti ketagihan merokok, kesukaran tidur, mood rendah atau cepat marah. Kebanyakan kajian tidak membekalkan maklumat mengenai hal ini; lebih banyak kajian diperlukan bagi menjawab persoalan ini.
Kualiti bukti
Terdapat bukti yang berkualiti sangat rendah yang melihat adakah pengurangan bilangan rokok sebelum pemberhentian membantu lebih ramai perokok untuk berhenti merokok berbanding tanpa rawatan. Kami menilai kualitinya sebagai sangat rendah, kerana terdapat masalah dengan reka bentuk kajian, penemuan kajian yang sangat berbeza di antara satu dengan yang lain, dan bilangan peserta yang mengambil bahagian tidak mencukupi, menjadikannya sukar untuk menentukan samada pengurangan rokok membantu perokok untuk berhenti merokok. Bagaimanapun, terdapat bukti yang berkepastian sederhana bahawa pengurangan sebelum pemberhentian mungkin menghasilkan kadar pemberhentian yang sama dengan pemberhentian sekali gus serta merta, yang mencadangkan pengurangan rokok boleh menjadi pendekatan yang membantu. Kami menilai bukti ini berkualiti sederhana kerana terdapat peluang kajian masa depan mungkin mendapati pengurangan membantu lebih ramai atau lebih kurang bilangan perokok untuk berhenti berbanding apabila perokok berhenti dengan serta merta. Terdapat juga bukti yang berkualiti sederhana bahawa perokok mungkin lebih cenderung untuk berhenti dengan pengurangan bilangan rokok pada permulaan apabila mereka menggunakan perubatan berhenti-merokok seperti varenicline atau sejenis NRT yang bertindak cepat untuk membantu mereka. Kami menilai buktinya sebagai berkepastian sederhana kerana bilangan peserta yang mengambil bahagian tidak mencukupi; lebih banyak kajian diperlukan bagi menjawab persoalan ini.
Diterjemahkan oleh Noor Salwah S. Omar (Universiti Sains Malaysia). Disunting oleh Rosnani Zakaria (Universiti Sains Malaysia). Sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi salwah@usm.my