Apakah ketepatan diagnostik dengan teknik yang menggunakan komputer untuk mengesan barah kulit pada orang dewasa?

Mengapa peningkatan diagnosis kanser kulit penting?

Terdapat beberapa jenis kanser kulit yang berbeza, termasuknya melanoma, karsinoma sel skuamosa (SCC) dan karsinoma sel basal (BCC). Melanoma adalah salah satu bentuk kanser kulit yang paling berbahaya. Sekiranya tidak dikenalpasti awal, rawatan boleh ditangguhkan dan ini berisiko melanoma merebak ke organ lain di dalam badan dan akhirnya boleh menyebabkan kematian. Karsinoma sel skuamosa (cSCC) dan BCC dianggap kurang berbahaya, kerana mereka dilokalisasikan (kemungkinan rendah untuk merebak ke bahagian lain badan berbanding dengan melanoma). Walau bagaimanapun, cSCC dapat merebak ke bahagian tubuh yang lain dan BCC boleh menyebabkan kecacatan jika tidak dikenali lebih awal. Pengenalpastian sesuatu lesi sebagai kanser kulit apabila ia bukan sebenarnya kanser kulit (keputusan palsu positif) boleh menyebabkan pembedahan dan penyelidikan lain yang tidak perlu dan boleh menyebabkan tekanan dan kebimbangan kepada pesakit. Kanser kulit yang disilapkan sebagai lesi lain boleh membawa rawatan yang salah atau kelewatan untuk mendapati rawatan yang berkesan.

Apakah tujuan ulasan ini?

Tujuan Kajian Cochrane ini adalah untuk mengetahui seberapa tepatnya diagnosis penggunaan bantuan komputer (CAD) untuk mendiagnosis melanoma, BCC atau cSCC. Kajian ini juga membandingkan ketepatan dua jenis CAD yang berbeza, dan membandingkan ketepatan CAD dengan diagnosis oleh doktor menggunakan mikroskop pencahayaan tangan (dermatoskop atau 'dermoskopi'). Kami telah mengenalpasti 42 kajian untuk menjawab soalan ini.

Apakah yang dikaji dalam ulasan ini?

Beberapa alat tersedia untuk pakar kanser kulit membolehkan pemeriksaan kulit yang lebih terperinci dibandingkan dengan pemeriksaan dengan mata kasar sahaja. Pada masa ini dermatoskop yang memperbesar lesi kulit (tahi lalat atau kawasan kulit dengan penampilan yang tidak biasa dibandingkan dengan kulit di sekitarnya) menggunakan sumber cahaya terang digunakan oleh kebanyakan pakar kanser kulit. Ujian CAD adalah sistem komputer yang menganalisis maklumat tentang lesi kulit yang diperoleh dari dermatoskop atau teknik lain yang menggunakan cahaya untuk menerangkan ciri-ciri lesi kulit (spektroskopi) untuk mendapat keputusan yang menunjukkan sama ada kanser kulit mungkin wujud. Kami memasukkan sistem CAD yang memperoleh maklumat mereka dari gambar luka lesi (Derm–CAD), atau yang menggunakan data dari spektroskopi. Sebilangan besar kajian spektroskopi menggunakan data dari pengimejan multispektral (MSI–CAD) dan ini menjadi fokus utama di sini. Apabila pakar kanser kulit mendapati lesi yang mencurigakan menggunakan pemeriksaan visual dengan atau tanpa dermoskopi tambahan, keputusan daripada sistem CAD dapat digunakan sahaja untuk membuat diagnosis kanser kulit (diagnosis berdasarkan CAD), atau dapat digunakan oleh doktor selain pemeriksaan visual mereka terhadap lesi kulit untuk membantu mereka mencapai diagnosis (diagnosis yang dibantu CAD). Para penyelidik meneliti keberkesanan sistem CAD untuk membantu mendiagnosis kanser kulit selain pemeriksaan visual dan dermoskopi.

Apakah keputusan utama ulasan ini?

Kajian ini merangkumi 42 kajian yang menggunakan sistem CAD untuk diagnosis melanoma. Tidak ada cukup bukti untuk menentukan ketepatan sistem CAD untuk diagnosis BCC (3 kajian) atau cSCC (1 kajian).

Hasil Derm-CAD untuk diagnosis melanoma

Hasil utama untuk Derm-CAD berdasarkan 22 kajian termasuk 8992 lesi.

Antara sekumpulan 1000 lesi kulit, di mana 200 (20%) diberikan melanoma sebagai diagnosis terakhir, hasilnya menunjukkan bahawa:

- Dianggarkan 386 orang akan mempunyai keputusan Derm – CAD yang menunjukkan kewujudan melanoma, dan 206 orang (53%) ini sebenarnya tidak akan mempunyai melanoma (hasil positif palsu)

Dari 614 orang dengan keputusan Derm-CAD yang menunjukan bahawa tidak ada melanoma, 20 (3%) sebenarnya akan mempunyai melanoma (hasil negatif palsu)

Tidak ada bukti yang menunjukkan bahawa dermoskopi atau Derm–CAD berbeza dalam kemampuan mereka untuk mengesan atau mengecualikan diagnosis melanoma.

Keputusan MSI-CAD-CAD untuk diagnosis melanoma

Keputusan utama untuk MSI-CAD berdasarkan lapan kajian termasuk 2401 lesi. Dalam kumpulan 1000 orang, di mana 200 (20%) sebenarnya mempunyai melanoma *, maka:

- Dianggarkan 637 orang akan mempunyai keputusan MSI-CAD yang menunjukkan kewujudan melanoma, dan 451 orang (71%) ini sebenarnya tidak akan mempunyai melanoma (hasil positif palsu)

Dari 363 orang dengan keputusan MSI-CAD yang menunjukan bahawa tidak ada melanoma, 14 (4%) sebenarnya akan mempunyai melanoma (hasil negatif palsu)

MSI – CAD mengesan lebih banyak melanoma, tetapi kemungkinan terdapatnya lebih banyak hasil positif palsu (peningkatan dalam pembedahan yang tidak perlu ).

Sejauh tepat keputusan daripada kajian-kajian dalam ulasan ini?

Pelaporan kajian yang tidak lengkap menyukarkan kita untuk menilai sejauh mana mereka boleh dipercayai. Banyak kajian mempunyai batasan penting. Beberapa kajian hanya merangkumi jenis lesi kulit tertentu atau lesi yang dikecualikan yang dianggap sukar didiagnosis. Yang pentingnya, kebanyakan kajian hanya merangkumi lesi kulit dengan keputusan biopsi, dan ini bermaksud bahawa hanya sampel lesi yang akan dilihat oleh doktor dalam praktiknya termasuk dalam kajian. Ciri-ciri ini boleh menyebabkan sistem CAD muncul lebih atau kurang tepat daripada yang sebenarnya.

Untuk siapakah keputusan ulasan ini dapat dipakai?

Kebanyakan kajian dilakukan di Eropah (29, 69%) dan Amerika Utara (8, 19%). Umur min (dilaporkan dalam 6/42 kajian) adalah antara 32 sehingga 49 tahun untuk melanoma. Peratusan orang dengan diagnosis akhir melanoma adalah antara 1% hingga 52%. Adalah tidak mungkin untuk mengetahui sama ada doktor mengesyaki kanser kulit antara peserta kajian berdasarkan pemeriksaan klinikal sahaja atau kedua-dua pemeriksaan klinikal dan dermoskopik. Hampir semua kajian dilakukan ke atas orang dengan lesi kulit yang dilihat di klinik pakar dan bukannya oleh doktor dalam rawatan primer.

Apakah implikasi ulasan ini?

Sistem CAD nampaknya tepat untuk mengenal pasti melanoma pada lesi kulit yang telah dipilih untuk eksisi berdasarkan pemeriksaan klinikal (pemeriksaan visual dan dermoskopi). Ada kemungkinan bahawa beberapa sistem CAD mengenal pasti lebih banyak melanoma daripada doktor yang menggunakan gambar dermoskopi. Walau bagaimanapun, sistem CAD juga mendapati lebih banyak keputusan yang salah - diagnosis positif daripada dermoscopi, dan boleh membawa peningkatan besar dalam pembedahan yang tidak perlu. Prestasi sistem CAD untuk mengesan kanser kulit BCC dan cSCC adalah tidak jelas. Lebih banyak kajian diperlukan untuk menilai penggunaan CAD oleh doktor untuk diagnosis kanser kulit berbanding dengan diagnosis bersemuka menggunakan dermoskopi, dalam perawatan primer dan di klinik kanser kulit pakar.

Adakah ulasan ini terkini?

Penulis kajian menyelidik dan menggunakan kajian yang diterbitkan sehingga Ogos 2016.

Dalam kajian-kajian ini, biopsi, susulan klinikal atau diagnosis doktor pakar adalah standard rujukan (cara untuk menubuhkan diagnosis terakhir).

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Tessa Li Chyin Lim (Monash University Malaysia Campus). Disunting oleh Teh Keng Hwang (UniSHAMS). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information