Apakah ketepatan diagnostik tomografi koheren optik (OCT), ujian pengimejan, untuk mengesan kanser kulit pada orang dewasa?

Mengapakah peningkatan diagnosa kanser kulit penting?

Terdapat pelbagai jenis kanser kulit. Melanoma adalah salah satu bentuk yang paling berbahaya dan adalah penting untuk mengenalpastinya lebih awal supaya ia boleh dibuangkan. Sekiranya tidak dikesan (juga dikenali sebagai keputusan ujian palsu-negatif), rawatan boleh ditangguhkan, dan ini berisiko menyebabkan melanoma merebak ke organ lain di dalam badan, yang boleh mengakibatkan kematian. Karsinoma sel skuamus kutaneus (cSCC) dan karsinoma sel basal (BCC) biasanya kanser kulit setempat (iaitu terhad pada bahagian badan tertentu), walaupun cSCC boleh merebak ke bahagian badan yang lain dan BCC boleh menyebabkan kecacatan jika tidak dikenali awal. Pengenalpastian sesuatu lesi sebagai kanser kulit apabila ia bukan sebenarnya kanser kulit (keputusan palsu positif) mungkin menyebabkan pembedahan dan penyelidikan lain yang tidak perlu dan boleh menyebabkan tekanan dan kebimbangan kepada pesakit. Membuat diagnosis yang betul adalah penting dan kesilapan menyangka satu kanser kulit dengan yang lain boleh menyebabkan rawatan yang salah digunakan atau melambatkan rawatan yang berkesan.

Apakah tujuan ulasan ini?

Matlamat ulasan Cochrane ini adalah untuk mengetahui sejauh tepat tomografi koheren optik dalam diagnosa kanser kulit. Penyelidik Cochrane menyertakan lima kajian untuk menjawab soalan ini. Dua kajian adalah berkenaan dengan diagnosa melanoma dan tiga kajian lagi dengan diagnosa BCC.

Apakah yang dikaji dalam ulasan ini?

Beberapa alat tersedia untuk pakar kanser kulit membolehkan pemeriksaan kulit yang lebih terperinci dibandingkan dengan pemeriksaan dengan mata kasar sahaja. Pada masa ini, dermoskop digunakan oleh kebanyakan pakar kanser kulit, yang memperbesar lesi kulit (tahi lalat atau kawasan kulit dengan penampilan yang tidak biasa dibandingkan dengan kulit di sekitarnya) menggunakan sumber cahaya terang. OCT memperbesar permukaan lesi kulit ke tahap yang dilihat menggunakan mikroskop menggunakan cahaya inframerah dekat. Ia cepat dilakukan tetapi lebih mahal jika dibandingkan dengan dermoskopi dan memerlukan latihan pakar. Penulis ulasan meneliti betapa bermanfaatnya OCT untuk membantu mendiagnosa kanser kulit ketika digunakan setelah pemeriksaan visual atau pemeriksaan visual ditambah dengan dermoskopi.

Apakah keputusan utama ulasan ini?

Kajian ini merangkumi lima kajian: dua kajian dengan 97 peserta dengan 133 lesi kulit yang disyaki melanoma, dan tiga kajian dengan 305 peserta dengan 396 lesi yang disyaki BCC, yang mana satu (50 lesi) juga menganalisis cSCC (sembilan lesi).

Kajian-kajian yang menyelidiki ketepatan OCT untuk mendiagnosa melanoma adalah kecil dan terlalu berbeza antara satu sama lain untuk membolehkan anggaran ketepatan OCT yang boleh dipercayai untuk melanoma dibuat. Begitu juga, hanya satu kajian kecil dan berkualiti rendah yang meneliti ketepatan OCT untuk mendiagnosa cSCC.

Untuk mengenalpasti BCC, dua kajian menunjukkan kesan pakar kulit menggunakan OCT setelah pemeriksaan visual sahaja, atau pemeriksaan visual dengan pemeriksaan dermoskopik. Kedua-dua kajian ini menunjukkan bahawa secara teori, jika OCT digunakan dalam sekumpulan 1000 orang dengan lesi kulit yang sukar didiagnosa, di mana 600 (60%) sebenarnya mempunyai BCC, maka:

- dianggarkan 662 orang akan mendapat hasil OCT yang mengesahkan bahawa BCC hadir dan 93 (14%) ini sebenarnya tidak akan mempunyai BCC (hasil positif palsu);

- daripada 338 orang dengan hasil OCT yang menunjukkan bahawa tidak ada BCC yang hadir, 31 (9%) sebenarnya akan memiliki BCC (hasil negatif palsu).

Berbanding dengan membuat diagnosa BCC menggunakan pemeriksaan visual dan dermoskopi, penambahan OCT dalam kumpulan ini akan mengurangkan jumlah hasil positif palsu sebanyak 87 (sehingga mengurangkan prosedur pembedahan yang tidak perlu) dan akan kehilangan 53 BCC yang lebih sedikit.

Sejauh tepat keputusan kajian dalam ulasan ini?

Dalam semua kajian yang disertakan, diagnosa kanser kulit dibuat dengan biopsi lesi (OCT / dermoskopi positif) (biopsi melibatkan pengambilan sampel sel tubuh dan memeriksanya di bawah mikroskop), dan ketiadaan kanser kulit disahkan oleh biopsi ( OCT / dermoskopi negatif) *. Ini mungkin merupakan kaedah yang boleh dipercayai untuk menentukan sama ada pesakit benar-benar mempunyai kanser kulit. Walau bagaimanapun, sebilangan kecil kajian yang disertakan dalam ulasan ini, dan kebolehubahan di antara mereka, mengurangkan kebolehpercayaan penemuan. Kajian yang disertakan juga mempunyai batasan penting, khususnya peserta kajian adalah dari kumpulan yang lebih terhad daripada yang layak untuk menjalani imbasan OCT dalam praktiknya (contohnya semua kajian merangkumi orang dengan lesi kulit yang telah dipilih untuk pembuangan pembedahan), sementara cara di mana OCT yang digunakan mungkin tidak menggambarkan situasi kehidupan sebenar.

Untuk siapakah keputusan ulasan ini dapat dipakai?

Kajian dijalankan di Eropah dan AS sahaja. Umur purata (dilaporkan hanya dalam dua kajian) adalah 46 tahun untuk melanoma dan 63 tahun untuk BCC. Peratusan orang dengan diagnosa akhir melanoma adalah 23% dan 27% (dalam dua kajian), berkisar antara 58% hingga 61% untuk BCC (tiga kajian), dan 18% untuk cSCC (satu kajian). Untuk diagnosa BCC, hasilnya berlaku pada orang dengan lesi kulit 'merah jambu' dan tidak berpigmen yang dianggap sukar didiagnos oleh doktor semata-mata dengan mata kasar.

Apakah implikasi ulasan ini?

Tidak cukup kajian yang dilakukan mengenai penggunaan OCT dalam mengesan kanser kulit. Hasil ulasan ini menunjukkan bahawa OCT mungkin dapat membantu mendiagnos BCC apabila sukar untuk membezakannya dari luka kulit benigna, tetapi belum jelas sama ada ia dapat membezakan antara kanser kulit BCC, cSCC, dan melanoma. Lebih banyak kajian diperlukan untuk membandingkan OCT dengan dermoskopi dan teknik mikroskopik lain (seperti mikroskopi kepantulan konfokal) pada kumpulan orang yang dijangkiti dengan lesi kulit yang mencurigakan.

Adakah ulasan ini terkini?

Penulis ulasan mencari dan menggunakan kajian yang telah diterbitkan sehingga Ogos 2016.

*Dalam kajian-kajian ini biopsi atau tempoh susulan klinikal adalah perbandingan standard.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Wong Chun Hoong (Hospital Sultanah Aminah). Disunting oleh Mohd Shaharudin Shah Che Hamzah (USM). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my.

Tools
Information