Apakah tujuan ulasan ini?
Melanoma adalah salah satu jenis kanser kulit yang paling berbahaya. Tujuan kajian Cochrane ini adalah untuk mengetahui ketepatan pemeriksaan tompok kulit yang mencurigakan (ketulan, lebam, luka, atau calar) dengan mata kasar (pemeriksaan visual) untuk membuat diagnosis melanoma (ketepatan diagnostik). Kajian ini turut menyiasat sama ada ketepatan diagnostik berbeza bergantung kepada doktor yang berhadapan dengan pesakit (pemeriksaan visual secara peribadi), atau dari segi pemerhatian melalui gambar (pemeriksaan visual berdasarkan gambar). Para penyelidik Cochrane telah mengenalpasti 19 kajian untuk menjawab soalan ini.
Apakah kepentingan untuk mengetahui ketepatan pemeriksaan visual secara diagnostik terhadap tompok kulit yang disyaki melanoma?
Kegagalan dalam mengenalpasti melanoma yang nyata (keputusan ujian palsu-negatif) akan melambatkan pembedahan, meningkatkan risiko penyerebaran barah ke organ lain dalam badan dan boleh menyebabkan kematian. Diagnosis tompok kulit yang tidak berbahaya (tahi lalat atau kulit yang mempunyai penampilan luar biasa berbanding dengan kulit di sekelilingnya) sebagai kanser kulit (keputusan positif palsu) boleh menyebabkan pembedahan yang tidak diperlukan dan ujian lain yang boleh menyebabkan tekanan dan kebimbangan kepada pesakit. Pemeriksaan visual terhadap tompok kulit yang mencurigakan oleh doktor secara mata kasar biasanya merupakan fasa yang pertama dari siri 'ujian' untuk membuat diagnosis melanoma. Mengetahui ketepatan diagnostik pemeriksaan visual sahaja adalah penting untuk mengenalpasti sama ada ujian tambahan, seperti biopsi (pembuangan sebahagian lesi untuk diperiksa di bawah mikroskop) diperlukan untuk meningkatkan ketepatan ke tahap yang boleh diterima.
Apakah ulasan kajian ini?
Penyelidik ingin mengetahui ketepatan diagnostik pemeriksaan visual secara langsung berbanding dengan pemeriksaan visual berdasarkan gambar atas tompok kulit yang mencurigakan. Para penyelidik juga ingin mengetahui sama ada ketepatan diagnostik akan ditingkatkan sekiranya doktor menggunakan 'senarai semak pemeriksaan visual' atau bergantung pada pengalaman mereka dalam pemeriksaan visual (tahap kepakaran klinikal). Mereka mempertimbangkan ketepatan diagnostik pemeriksaan visual tompok kulit yang pertama kali, contohnya, oleh doktor umum (GP), dan tompok kulit yang telah dirujukkan untuk penilaian lebih lanjut, contohnya, oleh pakar dermatologi (doktor yang pakar dalam masalah kulit).
Apakah keputusan utama ulasan ini?
Hanya 19 kajian (17 kajian secara langsung dan 2 kajian berdasarkan gambar) yang jelas sama ada ujian itu adalah pemeriksaan visual pertama kali terhadap tompok kulit ataupun pemeriksaan visual setelah rujukan (contohnya, ketika pesakit dirujuk oleh doktor ke pakar kulit untuk pemeriksaan visual).
Pemeriksaan visual secara langsung dengan pesakit (3 kajian)
Hasil tiga kajian terhadap 1339 tompok kulit yang mencurigakan menunjukkan bahawa dalam sekumpulan 1000 tompok kulit, 90 (9%) sebenarnya melanoma:
- Anggaran 268 tompok kulit akan mempunyai hasil pemeriksaan visual yang menunjukkan adanya melanoma. Daripada jumlah tersebut, 185 tompok kulit tidak akan menjadi melanoma dan akan menyebabkan biopsi yang tidak perlu (hasil positif palsu).
- Anggaran 732 tompok kulit akan mempunyai hasil pemeriksaan visual yang menunjukkan adanya melanoma. Dari jumlah tersebut, tujuh tompok kulit sebenarnya adalah melanoma dan tidak akan dihantar untuk biopsi (hasil negatif-palsu).
Dua kajian selanjutnya yang terhad kepada 4228 tompok kulit yang mencurigakan dan semuanya dipilih untuk dibuangkan mempunyai hasil kajian yang serupa.
Bagi pemeriksaan visual secara langsung selepas rujukan, semua tompok kulit dipilih untuk dibuang (8 kajian)
Hasil lapan kajian terhadap 5331 tompok kulit yang mencurigakan menunjukkan bahawa dalam sekumpulan 1000 tompok kulit, 90 (9%) sebenarnya melanoma:
- Adalah dianggarkan 108 akan mempunyai hasil pemeriksaan visual yang menunjukkan melanoma, dan dari jumlah itu, 39 bukan melanoma dan akan menyebabkan biopsi yang tidak diperlukan (hasil positif palsu).
- Daripada 892 tompok kulit yang didapati melalui pemeriksaan visual bahawa melanoma tidak wujud, 21 sebenarnya akan menjadi melanoma dan tidak akan dihantar untuk biopsi (hasil negatif palsu).
Secara keseluruhan, jumlah hasil positif palsu (mendiagnosis tompok kulit sebagai melanoma walaupun bukan melanoma) diperhatikan lebih tinggi dan jumlah hasil negatif palsu (kegagalan mengenalpasti melanoma ketika hadir) lebih rendah melalui pemeriksaan visual yang pertama kali ke atas tompok kulit yang mencurigakan berbanding dengan pemeriksaan visual selepas rujukan.
Pemeriksaan visual gambar tompok kulit yang mencurigakan (2 kajian)
Ketepatan adalah jauh lebih rendah untuk pemeriksaan visual gambar lesi berbanding dengan pemeriksaan visual secara langsung.
Nilai senarai semak pemeriksaan visual
Tidak ada bukti bahawa penggunaan senarai semak pemeriksaan visual atau tahap kepakaran klinikal mengubah ketepatan diagnostik.
Apakah tahap ketepatan keputusan kajian dalam ulasan ini?
Sebilangan besar kajian mendiagnosis melanoma melalui biopsi tompok kulit dan mengesahan bahawa melanoma tidak wujud dengan biopsi atau melalui tindak lanjut dari masa ke masa untuk memastikan bahawa tompok kulit tetap bukan melanoma. Dalam kajian-kajian ini, biopsi, susulan klinikal atau diagnosis doktor pakar adalah standard rujukan (cara untuk menubuhkan diagnosis terakhir). Biopsi atau susulan lanjut mungkin merupakan kaedah yang berguna untuk menentukan sama ada pesakit benar-benar mempunyai melanoma. Dalam beberapa kajian, para pakar mendiagnosis ketiadaan melanoma (diagnosis pakar), di mana kaedah ini adalah lebih tidak yakin untuk dipercayai untuk menentu sama ada pesakit benar-benar mempunyai melanoma. Terdapatnya banyak variasi dalam hasil kajian dalam tinjauan ini dan kajian tidak selalunya menggambarkan sepenuhnya kaedah yang digunakan, dan ini menjadi sukar untuk menilai tepatan mereka.
Untuk siapakah keputusan ulasan ini dapat dipakai?
Tiga belas kajian dijalankan di Eropah (68%), dan selebihnya dilakukan di Asia (n = 1), Oceania (n = 4), dan Amerika Utara (n = 1). Umur purata antara 30 hingga 73.6 tahun (dilaporkan dalam 10 kajian). Peratusan individu yang mempunyai melanoma adalah antara 4% dan 20% untuk tompok kulit yang divisualisasi pada pertama kali dan antara 1% hingga 50% dalam kajian tompok kulit yang dirujuk. Dalam kebanyakan kajian, tompok kulit berkemungkinan rendah untuk mewakili lesi yang dilihat secara klinikal, contohnya, hanya tompok kulit dengan ukuran tertentu atau dengan penampilan tertentu termasuk dalam kajian. Di samping itu, variasi tahap kepakaran doktor yang melakukan pemeriksaan visual dan definisi yang digunakan untuk memutuskan sama ada wujudnya melanoma atau tidak dalam semua kajian menjadikannya tidak jelas bagaimana pemeriksaan visual harus dilakukan dan oleh siapa untuk mencapai ketepatan yang diperhatikan dalam kajian.
Apakah implikasi ulasan ini?
Kadar ralat daripada pemeriksaan visual adalah terlalu tinggi sehingga tidak boleh bergantung kepadanya sahaja. Walaupun tidak dinilaikan dalam tinjauan ini, teknologi lain perlu digunakan untuk memastikan diagnosis kanser kulit tepat. Terdapat banyak variasi dan ketidakpastian tentang ketepatan diagnostik yang bergantung kepada pemeriksaan visual sahaja untuk mendiagnosis melanoma. Tidak adanya bukti yang menunjukkan bahawa senarai semak pemeriksaan visual dapat meningkatkan ketepatan diagnostik pemeriksaan visual dengan pasti. Oleh itu, cadangan tidak dapat diberikan. Walaupun terdapat banyak kajian penyelidikan, kajian lanjutan yang menilai ketepatan diagnostik pemeriksaan visual dengan ada dan tanpa senarai semak pemeriksaan visual dan oleh doktor dari kepakaran yang berbeza diperlukan.
Adakah ulasan ini mutakhir?
Penulis kajian menyelidik dan menggunakan kajian yang diterbitkan sehingga Ogos 2016.
Diterjemahkan oleh Tessa Lim Li Chyin (Monash University Malaysia Campus). Disunting oleh Jasmine Lee. Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my