Terapi berasaskan sel stem untuk kecederaan otak pada bayi pramatang yang baru lahir

Soalan ulasan

Adakah terapi berasaskan sel stem menyelamatkan nyawa atau meningkatkan perkembangan jangka panjang bayi pramatang yang baru lahir mengalami atau mungkin mengalami pendarahan pada otak (pendarahan intraventrikular) atau kerosakan bahan kelabu?

Latar belakang

Bayi yang lahir terlalu awal (‘pramatang’), terutamanya bayi yang dilahirkan sebelum minggu ke-28 kehamilan, kadang-kadang mengalami pendarahan pada otak. Bayi dengan pendarahan yang kurang teruk mungkin pulih sepenuhnya atau hanya mengalami masalah yang ringan. Untuk bayi-bayi lain dengan pendarahan yang lebih serius atau dengan kerosakan bahan kelabu, kematian atau masalah-masalah lain boleh terjadi pada kemudian hari. Otak membesar sangat cepat semasa trimester kedua dan ketiga kehamilan. Sel-sel saraf bergerak ke seluruh otak ke kawasan destinasi, di mana mereka menjadi matang dan membuat hubungan antara satu sama lain untuk meneruskan maklumat. Di samping itu, beberapa gentian saraf dikelilingi oleh lapisan penebat tertentu, dipanggil myelin, dan proses penebat tersebut - mielinisasi - bermula sekitar 24 minggu kehamilan. Jika bayi dilahirkan pramatang, proses di dalam otak ini mungkin berubah dan terdapat risiko yang lebih tinggi untuk perkembangan saraf yang tidak normal dalam jangka panjang. Keadaan ini dipanggil 'ensefalopati pramatang'. Sebagai contoh, sesetengah bayi ini mengalami kecacatan intelek, masalah tingkah laku, kesukaran menumpukan perhatian, masalah sosialisasi, dan cerebral palsy. Pada masa ini, tiada pendekatan tersedia untuk mencegah atau merawat pendarahan pada otak atau kerosakan bahan kelabu.

Apa yang ingin kami ketahui?

Ulasan ini bertujuan untuk menilai jika terapi berasaskan sel stem dapat mengurangkan kematian dan meningkatkan perkembangan jangka panjang bagi bayi yang dilahirkan terlalu awal. Sewaktu terapi berasaskan sel stem dijalankan, sel stem diberikan kepada bayi, misalnya melalui suntikan. Sel stem ini mungkin berasal dari manusia atau haiwan dan mungkin diambil dari darah tali pusat, sumsum tulang atau bahagian badan yang lain. Sel-sel ini kemudiannya memperbaiki sel-sel otak yang rosak akibat pendarahan atau kerosakan bahan kelabu.

Apakah yang telah kami lakukan?

Kami mencari pangkalan data perubatan untuk ujian klinikal melihat terapi berasaskan sel stem untuk kecederaan otak pada bayi baru lahir terlalu awal.

Keputusan utama

Kami tidak dapat memasukkan apa-apa kajian dalam ulasan kami. Kami ada mengenal pasti lima kajian, tetapi kami telah mengecualikannya disebabkan cara ianya direka, yang bermaksud keputusan-keputusannya tidak dapat menjawab persoalan ulasan kami.

Sejauh mana bukti itu terkini?

Ulasan ini mengemas kini ulasan terdahulu kami yang diterbitkan pada 2019. Bukti adalah terkini sehingga April 2022.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Syed Amirfaiz (International Islamic University Malaysia). Dikemaskini. Disunting oleh Mohd Shaharudin Shah Che Hamzah (USM). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information