Manakah ubat oral atau suntikan yang paling sesuai untuk merawat ekzema tahap sederhana hingga teruk?

Mengapakah soalan ini penting

Ekzema adalah keadaan berterusan yang menyebabkan kulit yang kering, retak dan gatal. Orang dengan ekzema ringan mempunyai tompokan kulit yang kering, dan orang dengan ekzema sederhana mempunyai kawasan kulit bengkak yang lebih luas dan merah. Orang dengan ekzema teruk mempunyai kerak merah dan kulit yang pecah (yang mungkin mengeluarkan cecair) yang berlaku di seluruh badan.

Walaupun pada masa ini tiada penawar untuk ekzema, terdapat rawatan yang bertujuan untuk melegakan gejala-gejala. Biasanya, pilihan rawatan pertama adalah menyapu krim, salap, atau cecair ke atas kulit yang terjejas. Jika ini tidak berjaya, adalah mungkin untuk mengambil ubat (sistemik) oral atau suntikan yang berfungsi di seluruh badan.

Terdapat banyak ubat sistemik yang tersedia untuk ekzema. Demi membantu orang memutuskan yang mana lebih sesuai untuk menguruskan gejala-gejala mereka, kami telah mengulas bukti atas manfaat dan risiko pelbagai ubat sistemik untuk orang yang mempunyai ekzema tahap sederhana atau teruk. Kami khususnya ingin mengetahui:

• sama ada sesetengah ubat lebih cenderung berbanding dengan yang lain untuk mempunyai kesan positif yang penting ke atas gejala-gejala (ditakrifkan sebagai sama ada sekurang-kurangnya peningkatan sebanyak 75% Indeks Keterukan dan Kawasan Ekzema (EASI), atau peningkatan Ukuran Ekzema Berorientasi Pesakit (POEM) - dua skala yang digunakan oleh doktor untuk menilai perubahan gejala ekzema); dan

• sama ada sesetengah ubat berkait dengan peristiwa-peristiwa tidak diingini yang lebih serius, termasuk jangkitan, berbanding dengan yang lain.

Bagaimana kami mengenal pasti dan menilai bukti

Pertama, kami mencari penulisan perubatan untuk kajian rawak terkawal (kajian di mana orang dibahagikan secara rawak kepada kumpulan-kumpulan rawatan yang berbeza) kerana kajian-kajian ini memberi bukti yang paling mantap mengenai kesan-kesan rawatan. Kemudian kami membandingkan keputusan kajian dan meringkaskan bukti dari semua kajian. Akhirnya, kami menilai kepastian bukti. Untuk melakukan ini, kami mempertimbangkan faktor-faktor seperti cara kajian dilaksanakan, saiz kajian, dan konsistensi penemuan merentasi kajian. Berdasarkan penilaian kami, kami telah mengelaskan bukti sebagai berkepastian sangat rendah, rendah, sederhana, atau tinggi.

Apa yang kami temui

Kami menemui 74 kajian yang melibatkan sejumlah 8177 orang dengan ekzema tahap sederhana ke teruk. Kajian-kajian ini berlangsung antara 2 minggu dan 60 bulan. Rawatan yang diterima berbeza dari satu dos, satu dos tunggal hingga dos mingguan untuk 60 bulan. Kajian-kajian ini menilai 29 ubat yang berbeza dengan membandingkan mereka dengan plasebo (rawatan palsu) atau dengan ubat lain, atau dengan membandingkan dos-dos berbeza bagi ubat yang sama. Ubat yang paling kerap dikaji adalah dupilumab (12 kajian), versi protein yang dibuat dalam makmal, yang menyekat sebahagian sistem ketahanan badan yang terlibat dalam mengakibatkan ekzema.

Dupilumab berbanding dengan plasebo

Bukti berkepastian tinggi menunjukkan bahawa, berbanding dengan plasebo atau protein lain yang dibuat dalam makmal, dupilumab memperbaiki gejala-gejala untuk orang dengan ekzema tahap sederhana ke teruk dalam jangka masa yang pendek (dalam masa 16 minggu rawatan). Ia tidak jelas sama ada peningkatan ini dikekalkan selepas 16 minggu kerana tiada kajian yang melihat kepada perubahan dalam skor POEM melebihi tempoh itu, dan kerana bukti kajian-kajian yang mengukur skor EASI adalah berkepastian sangat rendah. Dupilumab mungkin dikaitkan dengan lebih kurang peristiwa-peristiwa serius yang tidak diingini berbanding dengan plasebo (bukti berkepastian rendah).

Ubat sistemik lain berbanding dengan plasebo

Bukti mengenai manfaat dan risiko ubat sistemik lain berbanding dengan plasebo adalah terhad kerana tiada kajian yang mengukur kesannya terhadap penambahbaikan gejala atau kesan yang tidak diingini yang serius, atau kerana kepastian bukti tersebut adalah rendah atau sangat rendah.

Membandingkan ubat sistemik yang berbeza antara satu sama lain

Pengulas mendapati terlalu kurang kajian yang membandingkan ubat sistemik yang berbeza antara satu sama lain untuk menentukan yang mana lebih sesuai untuk orang dengan ekzema tahap sederhana ke teruk.

Apakah maksudnya

Bukti menunjukkan bahawa, berbanding dengan plasebo, dupilumab memperbaiki gejala-gejala orang dengan ekzema tahap sederhana ke teruk dalam 16 minggu rawatan dan mungkin berkait dengan kurang kesan tidak diingini yang serius.

Pengulas menjumpai terlalu kurang kajian yang mantap untuk menyimpulkan sama ada dupilumab memperbaiki gejala melebihi 16 minggu, atau sama ada ubat ini lebih berkesan berbanding ubat sistemik yang lama. Kajian masa depan perlu membandingkan rawatan sistemik berbeza melebihi 16 minggu dalam orang dengan ekzema tahap sederhana ke teruk.

Adakah ulasan ini terkini?

Bukti dalam Cochrane Review ini adalah terkini sehingga Ogos 2019.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Nicole Fong Wan June. Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information