Ujian tempat rawatan untuk mengesan molekul virus HIV pada bayi dan kanak-kanak berumur 18 bulan atau kurang

Mengapakah penambahbaikan diagnosis jangkitan HIV adalah penting?

Dianggarkan 1.5 juta bayi masih terdedah kepada HIV setiap tahun. Sekiranya tidak dirawat, kira-kira 50% hingga 60% bayi yang dijangkiti HIV akan mati pada usia dua tahun. Kanak-kanak yang dijangkiti sebelum kelahiran sangat berisiko tinggi untuk mati. HIV tidak boleh disembuhkan; namun, ada ubat yang menahan HIV, yang dikenali sebagai ubat antiretroviral (ART). Apabila HIV dikesan lebih awal, penyakit yang teruk dan kematian akibat jangkitan berkaitan HIV dapat dicegah dengan mengambil ubat ini. Ujian yang mengesan molekul genetik virus HIV dengan cepat dan tepat di atau berhampiran sisi pesakit (tempat rawatan) dengan itu boleh meningkatkan akses kepada rawatan awal yang sesuai dan meminimumkan rawatan yang hilang pada mereka yang HIV masih tidak dapat dikesan.

Apakah matlamat ulasan ini?

Untuk menentukan ketepatan ujian molekul tempat rawatan untuk mengesan jenis utama jangkitan HIV (HIV-1/HIV-2) pada bayi dan kanak-kanak berumur 18 bulan atau kurang.

Apa yang dikaji dalam ulasan ini?

Menerbitkan laporan ujian molekul tempat rawatan dibandingkan dengan keputusan yang diukur terhadap ujian berasaskan virus makmal (penanda aras).

Apakah hasil utama ulasan ini?

Dua belas kajian yang menyelesaikan 15 penilaian yang melibatkan 15,120 peserta membandingkan ujian molekul tempat rawatan untuk mendiagnosis jangkitan HIV.

Apakah kekuatan dan batasan ulasan ini?

Kajian ini merangkumi kajian dan peserta yang mencukupi. Semua kajian telah dijalankan di sub-Sahara Afrika, menjadikan hasilnya sangat sesuai untuk digunakan dalam komuniti di mana penyakit ini kerap dijumpai dan program kawalan penyakit sering menjadi sasaran. Namun, satu per tiga dari penilaian ujian molekul tempat rawatan yang dimasukkan telah dilakukan dalam persekitaran makmal dan bukan berdekatan dengan pesakit tetapi tidak ada perbezaan ketepatan ujian antara kedua-duanya

Kepada siapakah keputusan ulasan ini terpakai?

Bayi dan kanak-kanak berumur 18 bulan atau kurang yang terdedah kepada jangkitan HIV.

Apakah implikasi ulasan ini?

Secara teori, untuk populasi 1000 kanak-kanak berumur 18 bulan atau kurang yang mana 100 orang mempunyai jangkitan HIV, 100 kanak-kanak akan positif dengan ujian molekul tempat rawatan, yang mana satu tidak akan mendapat jangkitan (hasil positif palsu), dan 900 akan menjadi negatif dengan ujian molekul tempat rawatan, yang mana satu akan mempunyai jangkitan (hasil negatif palsu).

Seberapa mutakhirkah ulasan ini?

Bukti ini adalah terkini sehingga 2 Februari 2021.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Syed Amirfaiz (Universiti Sains Islam Malaysia). Disunting oleh Mohamad Masykurin Mafauzy (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information