Ujian di tempat penjagaan untuk mengesan beban virus HIV yang tinggi pada penghidap HIV yang hadir ke fasiliti kesihatan

Mengapakah penambahbaikan diagnosis jangkitan beban virus HIV yang tinggi penting?

Ia membantu untuk memantau paras virus HIV pada orang yang hidup dengan HIV (PLHIV) yang menerima terapi antiretroviral (ART). Paras virus yang tinggi menunjukkan bahawa ubat-ubatan tersebut gagal mengekang virus, iaitu keadaan yang dikenali sebagai kegagalan rawatan ART, membawa kepada risiko penyakit yang teruk dan kematian. Ujian diagnosis pantas yang mengesan tahap virus HIV yang tinggi dengan cepat berhampiran dengan pesakit (tempat penjagaan) boleh meningkatkan capaian kepada perubahan awal dalam ART.

Apakah matlamat utama ulasan ini?

Untuk menentukan ketepatan ujian di tempat penjagaan (POC) untuk mendiagnosis paras virus HIV yang tinggi dalam PLHIV yang hadir ke fasiliti penjagaan kesihatan.

Apakah yang telah dikaji dalam ulasan ini?

Ujian di tempat penjagaan untuk pengesanan beban virus dengan keputusan diukur terhadap ujian makmal pusat (ujian rujukan). Pengulas menyertakan semua bentuk ujian dengan platform POC untuk VL tanpa mengira fasiliti penjagaan kesihatan ujian itu dijalankan.

Apakah keputusan utama ulasan ini?

Empat belas kajian yang menyelesaikan 20 penilaian yang melibatkan 8659 peserta membandingkan ujian molekul POC untuk mendiagnosis tahap virus yang tinggi pada ambang positif yang disyorkan secara klinikal iaitu ≥ 1000 salinan/mL.

Apakah kekuatan dan batasan ulasan ini?

Ulasan itu menyertakan kajian yang mencukupi dilakukan ke atas sampel daripada PLHIV dari pusat penjagaan HIV/AIDS rutin atau fasiliti kesihatan, tetapi tidak jelas sama ada semua peserta yang disertakan menggunakan ART. Selain itu, tiada ujian yang disertakan yang merupakan ujian POC sebenar yang dijalankan pada sisi pesakit: separuh daripada kajian yang disertakan (n = 10) menilai ujian POC di makmal di kawasan berhampiran pesakit, dan separuh lagi adalah ujian dengan platform POC yang dinilai di makmal pusat atau makmal rujukan (n = 10).

Kepada siapakah keputusan ulasan ini terpakai?

PLHIV yang disyaki mempunyai beban virus tinggi yang hadir ke fasiliti penjagaan kesihatan.

Apakah implikasi ulasan ini?

Secara teori, bagi populasi 1000 PLHIV yang 100 daripadanya mempunyai tahap virus yang tinggi, 136 orang akan menerima keputusan positif dengan ujian POC molekul; daripada jumlah ini, 39 tidak akan mempunyai tahap virus yang tinggi (keputusan ujian positif palsu) dan dengan salah akan dikenalpasti sebagai tidak bertindak balas terhadap rawatan ART, yang mungkin membawa kepada ujian yang tidak diperlukan atau rawatan lanjut; dan 864 akan menerima keputusan ujian negatif dengan ujian POC molekul; daripada ini, tiga sebenarnya akan mempunyai tahap virus yang tinggi (keputusan ujian negatif palsu) dan akan terlepas sebagai rawatan ART yang gagal.

Sejauh manakah kajian ini terkini?

Bukti adalah terkini hingga 23 November 2020.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Patricia Ponniah (Klinik Pergigian Seremban). Disunting oleh Ahmad Filza Ismail (afilza@usm.my). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information