Latar belakang
Statin adalah salah satu kelas ubat yang paling banyak dipreskripsi, dan atorvastatin adalah ubat yang paling banyak digunakan dalam kelas tersebut. Orang mengambil statin untuk menurunkan kadar kolesterol darah mereka dan mengurangkan risiko penyakit jantung. Walau bagaimanapun, statin juga dapat menurunkan kadar testosteron dan androgen lain. Ini adalah hormon yang mempunyai fungsi penting dalam kesihatan dan perkembangan lelaki dan wanita.
Apa yang kami lakukan?
Kami ingin mengukur kesan atorvastatin pada testosteron dan androgen lain. Kami mencari semua kajian dalam literatur perubatan yang membandingkan kesan dos atorvastatin yang berlainan dengan plasebo atau tanpa rawatan pada lelaki dan wanita, dan juga melaporkan tahap testosteron mereka dan androgen lain. Kami mencari kajian di mana rawatan yang diterima ditentukan secara rawak. Kajian jenis ini biasanya memberikan bukti yang paling boleh dipercayai mengenai kesan-kesan rawatan. Kajian boleh melibatkan peserta dari semua peringkat usia.
Setelah kami mengenalpasti kajian yang terlibat, kami kemudiannya membandingkan keputusan-keputusannya, dan telah meringkaskan bukti dari semua kajian tersebut. Akhirnya, kami menilai keyakinan kami terhadap bukti ("kepastian bukti"), berdasarkan faktor-faktor seperti kaedah dan ukuran kajian, dan seberapa konsisten penemuan tersebut di seluruh kajian.
Apa yang kami temui?
Kami mendapati enam kajian termasuk sejumlah 265 peserta. Kajian dilakukan di China, Finland, Iran, Turki, UK dan Amerika Syarikat.
Bukti dari empat kajian menunjukkan bahawa atorvastatin mungkin mempunyai kesan yang berpotensi menguntungkan pada wanita dengan sindrom ovarium polikistik (PCOS), satu set gejala yang mungkin timbul pada wanita dengan tahap androgen yang lebih tinggi daripada biasa. Pada wanita dengan PCOS, atorvastatin membantu mengurangkan jumlah testosteron dan androgen lain.
Kami mendapati dua kajian pada lelaki, di mana atorvastatin tidak mempunyai kesan yang signifikan terhadap total testosteron.
Apakah maksudnya?
Kepastian bukti adalah di antara rendah hingga sangat rendah. Anggaran statistik kami untuk kesan atorvastatin pada testosteron dan androgen lain pada lelaki dan wanita mungkin sangat berbeza dengan kesan sebenarnya. Lebih banyak kajian adalah diperlukan untuk menangani soalan penting ini.
Sejauh mana bukti ini terkini?
Bukti dari tinjauan kami terkini hingga November 2020.
Diterjemahkan oleh Mohamad Masykurin Mafauzy (Universiti Sains Malaysia). Disunting oleh Mohd Shaharudin Shah Che Hamzah (USM). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my