Rawatan pertolongan cemas untuk keracunan oral

Soalan ulasan

Kami mengulas bukti kesan rawatan pertolongan cemas untuk keracunan yang munasabah boleh diberikan oleh orang awam yang bukan profesional kesihatan.

Latar belakang

Banyak rawatan pertolongan cemas disyorkan bagi merawat mereka yang termakan bahan-bahan beracun. Beberapa rawatan, seperti arang teraktif (AC), bertindak mengikat racun, menghadkan penyerapannya di dalam tubuh. Yang lain mungkin menyebabkan muntah (seperti sirap ipecac) atau mencairkan atau meneutralkan racun (contoh air minuman, susu atau jus). Mengubah posisi tubuh seseorang itu mungkin juga memberi kesan.

Ciri-ciri kajian

Dalam Disember 2018 kami mencari kajian-kajian berkualiti tinggi (secara rawak membahagikan peserta ke dalam kumpulan-kumpulan rawatan yang berbeza) yang mengkaji rawatan-rawatan untuk keracunan yang boleh dilakukan oleh orang awam. Kami menemui 24 kajian yang melibatkan 7099 peserta. Kecuali satu kajian yang dijalankan dalam persekitaran rumah; semua yang lain dilakukan di hospital.

Empat belas kajian sama ada tidak menyatakan jenis racun atau mengkaji jenis-jenis yang berbeza. Yang lain mengkaji dos berlebihan ubat-ubat yang spesifik (parasetamol, carbamazepine, anti-kemurungan, benzodiazepine) atau pokok-pokok beracun (oleander kuning atau beri-beri beracun).

Dua puluh kajian mengkaji rawatan-rawatan yang berbeza dengan arang teraktif: satu dos atau beberapa dos, dengan atau tanpa rawatan pertolongan cemas yang lain (bahan yang menmpercepatkan pergerakan usus), dan dengan atau tanpa rawatan hospital. Enam kajian membandingkan sirap ipecac, dengan atau tanpa rawatan-rawatan pertolongan cemas yang lain (satu dos arang teraktif bersama bahan yang mempercepatkan pergerakan usus) berbanding tiada rawatan. Kami mendapati tiada kajian yang mengkaji peneutralan atau pencairan racun atau penggunaan sesuatu posisi badan.

Keputusan-keputusan utama

Dua kajian membandingkan satu dos arang teraktif kepada tiada rawatan berikutan keracunan parasetamol atau keracunan jenis yang berbeza. Kami tidak pasti mengenai kesan-kesan sampingan rawatan, kemasukan ke rawatan rapi atau sama ada pesakit bertambah parah, dan tiada informasi mengenai kesan intervensi ke atas kematian, tempoh simptom, penyerapan racun atau kemasukan ke hospital.

Satu kajian membandingkan satu dos arang teraktif kepada ipecac di kalangan keracunan yang bercampur. Kami tidak pasti mengenai kesan arang teraktif dibandingkan kepada ipecac, ke atas tahap koma pesakit atau bilangan kesan yang tidak diingini. Tidak ada informasi mengenai kesan intervensi ke atas kematian, tempoh simptom, pengambilan racun, kemasukan ke hospital atau rawatan rapi.

Satu kajian membandingkan ipecac kepada tiada rawatan di kalangan kanak-kanak yang telah memakan beri beracun di rumah. Kemungkinan terdapat peningkatan pada bilangan kesan-kesan yang tidak diingini bagi ipecac. Tidak ada informasi mengenai kesan intervensi ke atas kematian, simptom-simptom keracunan, tempoh simptom, penyerapan racun, kemasukan ke hospital atau ke unit rawatan rapi.

Kami juga mengkaji penggunaan satu dos atau beberapa dos arang teraktif, dengan atau tanpa rawatan hospital, dibandingkan antara satu dengan yang lain atau tanpa rawatan. Juga, kami telah mengkaji nilai tambahan ipecac kepada satu dos arang teraktif dan nilai tambah penambahan bahan yang percepatkan pergerakan usus kepada AC (arang teraktif).

Kepastian bukti

Kesemua kecuali satu kajian dijalankan dalam persekitaran hospital, yang bermakna keputusan tidak boleh digunakan secara terus ke persekitaran umum. Oleh kerana kajian tidak sentiasa melaporkan kaedah-kaedah yang digunakan, kami tidak pasti mengenai kualiti pelaksanaan penyelidikan bagi kebanyakannya. Hasil yang penting kepada pesakit dan telah dinyatakan pada awalnya oleh kami sebagai hasil penting bagi ulasan ini kerap tidak ada atau tidak dilaporkan sepenuhnya. Keyakinan kami keatas keputusan-keputusan dalam ulasan ini kebanyakannya adalah rendah hingga sangat rendah. Yang demikian, penyelidikan di masa hadapan besar kemungkinan akan mengubah penemuan-penemuan ini.

Kesimpulan

Berlandaskan kepada bukti-bukti yang telah dikenalpasti, kami tidak dapat membuat apa-apa kesimpulan mengenai kesan mana-mana rawatan pertolongan cemas yang dikaji dalam persekitaran umum.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Noor Salwah S. Omar (Universiti Sains Malaysia). Disunting oleh Rosnani Zakaria (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanya@rcsiucd.edu.my

Tools
Information