Superoxide dismutase kepada bayi pramatang yang berisiko mendapat penyakit paru-paru

Mesej utama

• Kami tidak menemui bukti berkualiti yang mencukupi tentang penggunaan superoxide dismutase kepada bayi baru lahir terlalu awal: hanya tiga kajian untuk pencegahan penyakit paru-paru.

• Bukti tentang kesan superoxide dismutase pada displasia bronkopulmonari, juga dikenali sebagai penyakit paru-paru kronik, kematian, retinopati pramatang (kerosakan mata yang mungkin menyebabkan buta) berbanding plasebo atau tiada rawatan adalah sangat tidak pasti.

• Tiada kajian melaporkan displasia bronkopulmonari atau kematian pada usia selepas haid 36 minggu, keperluan untuk memberi oksigen, dan perkembangan jangka panjang. Umur selepas haid adalah gabungan usia kandungan (lama kehamilan) dan usia kronologi sehari selepas kelahiran bayi.

Apakah displasia bronkopulmonari?

Bayi yang dilahirkan terlalu awal (pramatang), terutamanya sebelum 28 minggu kehamilan, mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk maut, penyakit paru-paru dan kerosakan otak, berbanding bayi yang dilahirkan pada atau hampir cukup bulan. Sebagai contoh, sesetengah bayi ini boleh mengalami kecacatan intelek, buta atau pekak. Displasia bronkopulmonari, juga dikenali sebagai penyakit paru-paru kronik, adalah masalah biasa kepada bayi pramatang yang mempunyai pengudaraan mekanikal (pernafasan bantuan mesin) dan mempunyai pergantungan pada oksigen atau mesin pernafasan. Radikal oksigen bebas, iaitu hasil tindak balas kimia yang menggunakan oksigen, dipercayai menyebabkan displasia bronkopulmonari kerana ia sangat tidak stabil, sehingga boleh merosakkan sel lain.

Apakah superoksida dismutase?

Superoxide dismutase ialah protein yang biasanya terdapat dalam badan untuk memberikan pertahanan terhadap radikal bebas, tetapi bayi pramatang tidak mempunyai bekalan yang mencukupi untuk memberikan ketahanan semula jadi. Oleh itu, pemberian superoksida dismutase kepada bayi pramatang boleh menghalang displasia bronkopulmonari.

Apakah yang kami ingin tahu?

Kami ingin mengetahui sama ada superoxide dismutase boleh mengurangkan risiko:

• displasia bronkopulmonari

• kematian

• gabungan displasia bronkopulmonari dan kematian

Apakah yang kami lakukan?

Kami telah mencari kajian yang melihat superoxide dismutase kepada bayi yang dilahirkan terlalu awal. Kami telah membandingkan dan merumuskan keputusan daripada kajian-kajian dan menilai keyakinan kami terhadap bukti, berdasarkan faktor seperti kaedah dan saiz kajian.

Apakah yang kami temui?

Kami telah menyertakan tiga kajian dalam ulasan kami, dengan sejumlah 380 bayi pramatang yang baru lahir berisiko displasia bronkopulmonari. Tidak jelas sama ada superoxide dismutase mengurangkan displasia bronkopulmonari, kematian, atau gabungan displasia bronkopulmonari dan kematian. Dos adalah antara 0.25 mg/kg hingga 5.0 mg/kg. Superoxide dismutase diberikan kepada bayi melalui suntikan di bawah kulit atau terus ke dalam trakea. Kami tidak menemui sebarang kajian yang sedang berlangsung.

Apakah batasan bukti?

Kami tidak yakin dengan bukti mengenai displasia bronkopulmonari dan kematian kerana kajian adalah kecil dan menggunakan kaedah yang mungkin menimbulkan kesilapan dalam keputusannya. Keseluruhannya, keputusan kajian tidak mungkin menggambarkan keputusan semua kajian yang telah dijalankan dalam bidang ini, yang sebahagiannya masih belum mendedahkankan keputusan mereka kepada umum.

Sejauh manakah bukti ini terkini?

Bukti adalah terkini sehingga September 2022.

Nota terjemahan: 

Sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini. Diterjemah oleh Saw Zhi Kuan (Kementerian Kesihatan Malaysia). Disunting oleh Norhayati Mohd Noor (Universiti Sains Malaysia).

Tools
Information