Cermin mata penapisan cahaya biru untuk prestasi penglihatan, perlindungan makula (bahagian belakang mata), dan peningkatan kualiti tidur

Apakah tujuan ulasan ini?

Ulasan Cochrane ini bertujuan untuk menyelidik manfaat dan keselamatan yang mungkin diperoleh daripada cermin mata penapisan cahaya biru, juga dikenali sebagai cermin mata penghalang cahaya biru, terhadap prestasi penglihatan, perlindungan makula, dan kualiti tidur. Para pengarang ulasan Cochrane mengumpulkan dan menganalisis semua kajian yang relevan untuk merumuskan bukti penyelidikan terbaik yang tersedia.

Mesej utama

Kanta mata penapisan cahaya biru mungkin tidak mengurangkan keletihan mata jangka pendek yang berkaitan dengan kerja komputer, berbanding dengan cermin mata tanpa penapisan cahaya biru. Kesan berbahaya yang berpotensi adalah sementara dan secara amnya ringan, dan kebanyakannya dianggap berkaitan dengan cermin mata secara amnya berbanding kanta mata itu khususnya.

Terdapat keperluan untuk penyelidikan masa depan bagi menyediakan bukti terhadap kesan kanta mata penapisan cahaya biru terhadap pelbagai aspek prestasi penglihatan dan tidur, termasuk tahap penglihatan (ketajaman visual terbaik yang diperbetulkan), keupayaan mengesan perbezaan dalam bayangan dan corak (kepekaan kontras), diskriminasi warna, mengurangkan silau disebabkan cahaya terang (ketidakselesaan silau), kesihatan retina di bahagian belakang mata (kesihatan makula), ukuran tidur (termasuk tahap melatonin darah dan kualiti tidur), serta kepuasan pesakit.

Apakah yang dikaji dalam ulasan ini?

Ukuran pertama adalah perubahan dalam penilaian subjektif dan kuantitatif terhadap keletihan mata, diukur selepas sekurang-kurangnya sebulan penggunaan kanta mata. Penilaian lain mempertimbangkan pelbagai ukuran klinikal dan kesan sampingan.

Apakah keputusan utama ulasan ini?

Kami memasukkan 17 kajian yang melibatkan 619 orang peserta yang dijalankan di enam negara. Ulasan ini menunjukkan perkara berikut.

(i) Mungkin tiada manfaat jangka pendek dengan menggunakan kanta mata penapisan cahaya biru untuk mengurangkan keletihan penglihatan semasa menggunakan komputer, berbanding dengan kanta mata tanpa penapisan cahaya biru.

(ii) Terdapat maklumat yang terhad mengenai potensi kesan kanta mata penapis cahaya biru terhadap ketajaman penglihatan dan kesan terhadap ukuran berkaitan tidur adalah tidak jelas. Bukti yang ada mengenai ukuran-ukuran ini tidak memberikan kesimpulan yang pasti.

(iii) Tiada kajian dimasukkan yang mengkaji kepekaan kontras, diskriminasi warna, ketidakselesaan silau, kesihatan makula, tahap melatonin serum atau kepuasan visual pesakit secara keseluruhan; oleh itu, tiada kesimpulan dapat dibuat berkenaan ukuran ini.

(iv) Terdapat beberapa bukti yang menunjukkan bahawa kesan berbahaya yang mungkin berkaitan dengan pengggunaan kanta mata penapisan cahaya biru termasuk sakit kepala (1 kajian, 8%), peningkatan gejala kemurungan (1 kajian, 17%), mood yang rendah (1 kajian, 5%), dan ketidakselesaan ketika memakai cermin maca (2 kajian (gabungan), 22%), walaupun kesan-kesan sampingan yang serupa juga dilaporkan dengan kanta mata tanpa penapisan cahaya biru dan tidak ada data yang mencukupi untuk mengukur atau menentukan dengan pasti kemungkinan kesan berbahaya.

Sejauh manakah ulasan ini terkini?

Para penulis ulasan Cochrane mencari kajian yang telah diterbitkan sehingga 22 Mac 2022.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Lee Jie Min (RCSI & UCD Malaysia Campus). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information