Latar belakang
Bronkiektasis adalah masalah kesihatan yang terjadi akibat jangkitan pari-paru yang berulang, perkara ini menyebabkan kerosakkan pada saluran pernafasan, menyebabkan mereka terdedah kepada jangkitan selanjutnya. Gejala biasa adalah batuk yang berterusan dan pengeluaran kahak. Matlamat utama rawatan adalah untuk mengurangkan jangkitan kuman pada paru-paru dan meningkatkan kualiti hidup. Antibiotik jangka panjang bertujuan untuk mematahkan kitaran jangkitan berulang tetapi ianya mesti diseimbangkan dengan peningkatan risiko mendapat kerintangan antibiotik. Antibiotik boleh diambil secara berselang untuk mengurangkan risiko ini, tetapi hanya sedikit yang diketahui tentang tempoh selang masa yang paling berkesan. Ulasan ini akan membantu mereka yang membangunkan garis panduan klinikal, doktor dan orang yang menghidap bronkiektasis untuk memutuskan sama ada untuk menggunakan antibiotik pada selang masa yang tetap dan tempoh selang yang terbaik.
Ciri-ciri kajian
Kami menemui lapan kajian pada September 2021 yang melihat antibiotik yang diberikan pada selang waktu 28 hari diikuti dengan 28 hari tidak diberikan, atau 14 hari diberikan kemudian 14 hari tidak diberikan, atau perbandingan antara selang 14- dan 28 hari, kajian dilakukan sehingga 48 minggu. Kajian tersebut melibatkan sejumlah 2180 dewasa dengan purata umur 63.6 tahun. Tiada kajian yang melibatkan kanak-kanak.
Hasil-hasil utama
Selang 14 hari diberikan/tidak diberikan antibiotik hanya mengurangkan sedikit kekerapan jangkitan paru-paru berbanding tanpa antibiotik. Kami tidak menemui faedah ini dengan selang 28 hari diberikan/ tidak diberikan antibiotik tetapi peserta kajian kurang mendapat jangkitan paru-paru yang teruk. Secara keseluruhan,kerintangan antibiotik meningkat dua kali ganda pada mereka yang menerima antibiotik, tanpa mengira selang masa antara dos. Tiada perbezaan tertentu ditemui antara kumpulan bagikesan buruk yang serius seperti kematian atau kemasukan ke hospital, aspek-aspek lain fungsi paru-paru atau kualiti hidup yang berkaitan dengan kesihatan. Terdapat cukup peserta di dalam kajian untuk menilai faedah dan keselamatan rawatan.
Kualiti bukti
Secara umumnya, kajian-kajian yang disertakan adalah berkualiti baik. Kami mempunyai keyakinan sederhana hingga tinggi terhadap kualiti bukti untuk kekerapan jangkitan dada dan kejadian kerintangan antibiotik.
Kesimpulan
Secara keseluruhan, orang dewasa yang kerap mengalami jangkitan paru-paru, antibiotik jangka panjang yang diberikan pada selang 14 hari diberikan/ tidak diberikan mengurangkan sedikit kekerapan jangkitan tersebut tetapi meningkatkan kerintangan antibiotik. Kami mendapati perbezaan yang sedikit dalam bilangan orang yang meninggal dunia, terpaksa pergi ke hospital, atau mengalami masalah serius yang lain. Faedah dan keselamatan jenis rawatan ini tidak diketahui di kalangan kanak-kanak.
Diterjemah oleh Syed Amirfaiz (Universiti Islam Antarabangsa Malaysia). Disunting oleh Rosnani Zakaria (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my