Risiko jangkitan selepas pembedahan bagi pesakit yang menggunakan ubat untuk penyakit radang usus

Latar belakang

Lebih daripada 1.2 juta individu di Amerika Utara mengalami penyakit radang usus (IBD). Ia adalah keadaan yang melibatkan keradangan pada usus besar dan/atau usus kecil, yang mengakibatkan gejala seperti cirit-birit dan sakit perut. Sebilangan besar ubat yang digunakan untuk merawat IBD menindas sistem imun. Akibatnya, penggunaan ubat-ubatan ininmeningkatkan risiko jangkitan. Peningkatan risiko jangkitan ini adalah sangat membimbangkan terutamanya dalam kalangan pesakit yang menjalani pembedahan.

Soalan ulasan

Ulasan sistematik ini mengkaji data gabungan dari 68 kajian yang telah diterbitkan seelum ini untuk menentukan sama ada pesakit yang menggunakan ubat IBD sekitar waktu pembedahan mengalami lebih banyak jangkitan berbanding dengan mereka yang tidak menggunakan ubat yang sama.

Ciri-ciri kajian

Ulasan sistemik ini adalah terkini sehingga 29 Oktober 2019. Ia termasuk 68 kajian pada pesakit dengan IBD yang menjalani pembedahan. Kebanyakan peserta berumur 18 tahun atau lebih dan kedua-dua lelaki dan wanita disertakan. Lima kumpulan ubat IBD telah diperiksa dalam kajian kami. Jangkitan dikesan sehingga 30 hari selepas pembedahan.

Keputusan utama

Analisa dari sekumpulan besar data ini menunjukkan bahawa risiko jangkitan pada waktu pembedahan adalah pelbagai, bergantung kepada jenis ubat IBD yang digunakan oleh para pesakit. Pesakit yang dirawat dengan kortikosteroid atau agen anti-TNF nampaknya mengalami lebih banyak jangkitan selepas pembedahan, sementara mereka yang menggunakan 5-ASA, immunomodulator atau agen anti-integrin nampaknya tidak mengalami banyak jangkitan selepas pembedahan. Penemuan ini harus diambil dengan berhati-hati kerana semakan kami termasuk kajian yang berkualiti terhad, dan oleh itu kami tidak dapat membuat sebarang kesimpulan yang kukuh.

Penemuan ini boleh membantu doktor memilih ubat untuk merawat pesakit IBD sebelum pembedahan. Keputusan harus disesuaikan dengan keperluan kesihatan unik setiap pesakit. Di samping itu, kajian ini menunjukkan perlunya memantau dengan teliti jangkitan selepas pembedahan bagi pesakit yang menggunakan jenis ubat IBD tertentu.

Batasan

Satu batasan ulasan sistemik ini adalah kebergantungannya pada data dari pelbagai kajian yang telah diterbitkan sebelum ini, dengan pelbagai pendekatan dan piawai kawalan kualiti. Kebanyakan kajian yang dikaji mempunyai kepastian yang sangat rendah mengenai kesimpulannya. Ulasan ini menggambarkan keperluan untuk penyelidikan berkualiti tinggi pada masa hadapan yang meneliti kesan ubat-ubatan yang digunakan untuk merawat IBD terhadap risiko jangkitan selepas pembedahan.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Gurmeet Albail Singh. Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my.

Tools
Information