Mengurangkan bahaya jatuh dalam persekitaran

Mesej utama

Bagi orang dewasa yang lebih tua yang berisiko lebih tinggi untuk jatuh, seperti pernah jatuh pada tahun lalu dan baru-baru ini dimasukkan ke hospital atau memerlukan sokongan aktiviti harian, menghindar bahaya jatuh di persekitaran rumah boleh mengurangkan bilangan jatuh sebanyak 38%. Contoh bahaya jatuh di persekitaran ialah tangga tanpa pagar, laluan licin atau pencahayaan yang kurang baik.

Mengapa penting untuk mempertimbangkan bahaya persekitaran sebagai sebahagian daripada program pencegahan jatuh?

Jatuh adalah lazim dan boleh membawa maut, tetapi ia boleh dicegah. Kira-kira satu pertiga orang yang berumur 65 tahun ke atas jatuh setiap tahun. Kebanyakan jatuh berlaku di rumah, dan lebih 30% daripada semua jatuh adalah disebabkan oleh bahaya persekitaran. Program menghindar bahaya jatuh di persekitaran ialah intervensi yang disampaikan oleh profesional yang mengenal pasti dan menghindar bahaya jatuh di persekitaran.

Apa yang kami ingin tahu?

Kami ingin tahu:

• jenis program persekitaran yang paling berkesan untuk mencegah terjatuh.

Kami juga ingin tahu program yang mencegah jatuh:

• cara terbaik untuk menyampaikan program yang mengurangkan bahaya jatuh di persekitaran; dan

• jika program tersebut boleh mencegah jatuh yang mengakibatkan kecederaan serius.

Kami meneliti empat jenis program, termasuk yang:

• memfokus kepada menghindar bahaya jatuh di persekitaran rumah;

• hanya menyediakan peranti bantuan seperti cermin mata terkini atau kasut khas;

• hanya memberi pendidikan tentang risiko jatuh yang berkait di persekitaran; dan

• memfokus pengubahsuaian rumah untuk membolehkan kebebasan melaksanakan tugas harian di rumah.

Apakah yang kami lakukan?

Kami mencari kajian-kajian yang menyiasat pelbagai jenis program bahaya jatuh di persekitaran bagi orang dewasa yang lebih tua yang tinggal dalam komuniti. Kami membanding dan merumus keputusan-keputusan kajian serta menilai keyakinan terhadap bukti berdasarkan faktor-faktor seperti kaedah dan saiz kajian.

Apa yang kami dapati?

Kami mendapati 22 kajian melibatkan 8463 orang dewasa yang lebih tua yang tinggal dalam komuniti. Peserta kajian secara purata berumur 78 tahun, dan 65% adalah wanita. Kajian-kajian dijalankan di 10 negara. Kebanyakan kajian menyusul peserta selama 12 bulan.

Keputusan utama

Program yang menghindar bahaya jatuh di rumah yang diberi kepada orang dewasa yang lebih tua yang tinggal dalam komuniti boleh mengurangkan bilangan jatuh.

Kami tidak pasti sama ada peranti bantuan (seperti memeriksa preskripsi cermin mata, kasut khas atau sistem penggera katil) boleh mengurangkan risiko jatuh.

Kami tidak pasti jika hanya memberi orang dewasa yang lebih tua yang tinggal dalam komuniti pendidikan tentang risiko jatuh memberi sebarang impak ke atas mengurangkan risiko jatuh.

Kami tidak mendapati kajian lengkap yang membantu menjawab soalan tentang pengurangan jatuh bagi program pengubahsuaian rumah yang menyasarkan kebebasan dalam prestasi aktiviti harian.

Kami menemui sedikit bukti untuk menentukan jika sebarang jenis program menghindar bahaya jatuh di persekitaran mengurangkan risiko kecederaan serius.

Sejauh manakah bukti ini terkini?

Bukti adalah terkini hingga Januari 2021.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Wan Anisa Hanim Binti Mohad Nasir@Azman (KP Kok Lanas). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Universiti Manipal Malaysia).Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information