Mesej utama
- Tidak ada bukti yang mencukupi untuk menentukan sama ada ibuprofen intravena (suntikan ke dalam vena) adalah rawatan yang berkesan untuk orang dewasa yang mengalami kesakitan selepas pembedahan atau jika ia boleh membahayakan mereka.
- Ia akan bermanfaat sekiranya kajian masa depan mengenai topik ini dirancang dengan baik dengan bilangan pesakit yang ramai untuk menentukan sama ada ibuprofen adalah rawatan yang berkesan untuk pengurusan kesakitan selepas pembedahan.
- Lebih banyak bukti diperlukan untuk memastikan sama ada ibuprofen menyebabkan kesan tidak diingini yang serius.
Merawat kesakitan jangka masa pendek selepas pembedahan
Kesakitan adalah perkara biasa yang dialami dalam jangka masa pendek (dalam 6 jam) selepas pembedahan (sakit selepas pembedahan).
Ubat anti-radang bukan steroid (NSAIDs, ubat seperti aspirin) sering diberi bersama dengan opioid (seperti morfin) untuk merawat kesakitan jenis ini. Walau bagaimanapun, NSAID boleh memberikan kesan sampingan. NSAIDS (seperti ibuprofen) mungkin mengakibatkan pendarahan (contohnya di tempat pembedahan atau luka) dan boleh mengakibatkan kecederaan pada buah pinggang dan usus.
Pesakit memerlukan lebih banyak pilihan rawatan yang lebih baik untuk membantu menguruskan kesakitan jangka masa pendek selepas pembedahan. Terdapat banyak kebimbangan mengenai penggunaan opioid untuk merawat kesakitan jangka masa pendek kerana risiko pesakit untuk mendapat kesan sampingan yang tidak menyenangkan atau gangguan penggunaan opiod berlebihan. Oleh itu adalah penting untuk menimbang faedah dan risiko NSAID apabila mempertimbangkan penggunaannya untuk mengurangkan kesakitan sejurus selepas pembedahan.
Apakah yang ingin kami ketahui?
Ibuprofen adalah NSAID yang boleh diberikan secara intravena. Kami ingin mengetahui sama ada ibuprofen intravena (diberikan melalui suntikan atau titisan) adalah pilihan rawatan yang berguna untuk menguruskan kesakitan sederhana hingga teruk apabila pesakit tidak dapat mengambil ubat melalui mulut.
Apakah yang kami lakukan?
Untuk membuat perbandingan yang adil, semua pesakit dalam kajian mesti mempunyai peluang rawak yang sama (seperti melambung syiling) untuk menerima ibuprofen atau rawatan lain.
Kami mencari bahan bacaan perubatan (kajian klinikal) hingga Jun 2021, di mana ibuprofen intravena digunakan untuk merawat kesakitan selepas pembedahan pada orang dewasa (berumur 18 tahun ke atas) dan dibandingkan dengan:
- plasebo (rawatan kawalan, seperti satu beg salin yang diberikan melalui vena); atau
- ubat lain.
Apakah yang kami temui?
Kami mendapati hanya satu kajian yang sesuai untuk disertakan dalam ulasan kami. Kajian itu melihat pengurusan kesakitan selepas bunionektomi. Bunionektomi adalah pembedahan untuk membuang bunion di pangkal jari kaki. Kajian ini menilai 201 orang, kebanyakannya wanita. Kajian membandingkan ibuprofen intravena dengan:
- plasebo; atau
- ubat lain, acetaminophen (paracetamol).
Kami paling berminat untuk mengetahui berapa banyak orang yang kesakitannya berkurang sebanyak 50% (separuh) atau lebih dalam masa 4 atau 6 jam selepas pembedahan.
Pengurangan kesakitan
Kajian tersebut menunjukkan bahawa:
- lebih banyak orang yang menerima ibuprofen didapati berkurang kesakitannya sebanyak 50% (separuh) atau lebih dalam masa 4 atau 6 jam selepas pembedahan berbanding mereka yang menerima plasebo; dan
- sedikit atau tiada perbezaan apabila ibuprofen dibandingkan dengan ubat lain, acetaminophen, iaitu jumlah orang dengan kesakitan yang berkurang sebanyak 50% (separuh) atau lebih dalam 4 atau 6 jam selepas pembedahan
Keperluan ubat sakit tambahan (ubat penyelamat)
Ubat penyelamat adalah ubat sakit tambahan sekiranya ubat dalam kajian tidak merawat kesakitan pesakit dengan secukupnya. Masa (dalam minit) untuk memerlukan penggunaan ubat penyelamat adalah lebih lama (ditangguhkan) dengan penggunaan ibuprofen atau acetaminophen berbanding mereka yang menerima plasebo.
Kesan sampingan
Tidak ada maklumat yang mencukupi dalam kajian ini untuk menilai kesan sampingan, tetapi kadar di mana ia berlaku serupa bagi semua rawatan. Sangat sedikit pesakit yang keluar dari kajian oleh kerana kesan sampingan. Ini sering berlaku dalam kajian-kajian di mana pesakit hanya berada dalam kajian untuk tempoh masa yang singkat.
Apakah batasan bukti tersebut?
Kami hanya mendapat keputusan daripada satu kajian yang agak kecil. Ini mengehadkan keyakinan kami terhadap bukti tersebut.
Sejauh manakah bukti ini terkini?
Bukti adalah terkini sehingga Jun 2021.
Diterjemahkan oleh Patricia Ponniah (Klinik Pergigian Seremban). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my.