Terapi endovaskular berbanding rawatan perubatan konvensional untuk stenosis arteri intrakranium bergejala

Apakah stenosis arteri intrakranial?

Stenosis arteri intrakranial (ICAS) adalah penyempitan saluran darah di otak yang disebabkan oleh pembentukan plak (mendapan lemak). Ia adalah penyebab strok yang lazim di seluruh dunia. Apabila keadaan ini menyebabkan gejala strok, ia dikenali sebagai ICAS bergejala.

Bagaimanakah stenosis arteri intrakranial boleh dirawat?

ICAS boleh dirawat dengan terapi endovaskular atau rawatan perubatan konvensional, tetapi tidak jelas pendekatan mana yang paling berkesan. Dalam terapi endovaskular, pakar bedah memasukkan tiub nipis yang dipanggil kateter ke dalam arteri di lengan atau pangkal paha orang yang dirawat dan membimbingnya ke arteri yang terjejas di otak. Pakar bedah kemudiannya boleh mengembangkan arteri yang sempit dengan belon kecil atau meletakkan tiub jaringan kecil di dalam arteri yang sempit untuk menahannya terbuka, atau melakukan kedua-dua teknik dalam prosedur yang sama. Rawatan perubatan konvensional termasuk mengambil antiplatelet (ubat yang menghentikan platelet dalam darah daripada melekat bersama) dan cuba mengawal faktor yang meningkatkan risiko strok (tekanan darah tinggi, kolesterol tinggi, dan diabetes) dengan ubat-ubatan dan perubahan gaya hidup.

Apa yang kami ingin ketahui?

Kami ingin mengetahui sama ada terapi endovaskular sebagai tambahan kepada rawatan perubatan konvensional adalah lebih berkesan daripada rawatan perubatan konvensional sahaja untuk mencegah strok dan kematian pada orang yang mengalami ICAS bergejala.

Apa yang kami buat?

Kami mencari kajian rawak terkawal (kajian yang memberikan peserta kepada satu daripada dua atau lebih kumpulan rawatan menggunakan kaedah rawak) yang membandingkan kedua-dua rawatan pada orang yang mempunyai ICAS bergejala. Kami membuat perbandingan dan rumusan keputusan kajian tersebut serta menilai tahap keyakinan kami terhadap bukti, berdasarkan faktor-faktor seperti kaedah dan saiz kajian.

Apa yang kami dapati?

Kami memasukkan empat kajian dengan sejumlah 989 peserta yang mempunyai gejala ICAS baru-baru ini. Tiga kajian telah dijalankan di pelbagai pusat dan membandingkan terapi endovaskular yang melibatkan stent dengan rawatan perubatan konvensional. Dua kajian dijalankan di pusat di China dan membandingkan pelbagai jenis terapi endovaskular dengan rawatan perubatan konvensional dalam kalangan peserta Cina.

Keputusan utama

Orang yang menerima terapi endovaskular serta rawatan perubatan konvensional lebih berkemungkinan meninggal dunia atau diserang strok dalam jangka pendek dan jangka panjang. Tiada perbezaan yang besar dalam kadar strok iskemia dan kematian atau kebergantungan dalam jangka panjang.

Apakah batasan bukti ?

Kami sederhana yakin dengan beberapa keputusan dan kurang yakin pada yang lain, kerana kajian itu melibatkan sedikit orang.

Sejauh manakah bukti ini terkini?

Bukti adalah terkini hingga 16 Ogos 2022.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Muhammad Faiz Mohd Adenan (University of New South Wales, Sydney). Dikemaskini. Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information