Pembedahan pada kedua-dua mata pada hari yang sama atau pada hari yang berbeza: yang manakah lebih berkesan untuk merawat katarak pada kedua-dua mata?

Mesej utama

- Bukti semasa menyokong yang mungkin tiada perbezaan penting antara pembedahan pada kedua-dua mata pada hari yang sama (ISBCS) dan pembedahan pada hari berbeza (DSBCS) untuk hasil klinikal berikut: jangkitan mata (okular) (endophthalmitis, satu komplikasi yang teruk, mengancam penglihatan tetapi jarang berlaku), pembetulan cermin mata selepas pembedahan (pembiasan), komplikasi, penglihatan dengan pembetulan cermin mata (jika perlu), dan hasil yang dilaporkan pesakit (PROMs; borang soal selidik tentang penglihatan).

- Bukti semasa menyokong yang kos untuk ISBCS adalah lebih rendah berbanding DSBCS, tetapi bukti tentang keseimbangan antara kos dan sejauh mana ia berfungsi (keberkesanan kos) adalah kurang.

- Secara keseluruhan, kuantiti dan kualiti bukti adalah terhad.

Apakah itu katarak dan bagaimana ia dirawat?

Katarak berkaitan usia adalah proses penuaan semula jadi pada kanta mata, di mana kanta menjadi keruh dan penglihatan berkurangan. Satu-satunya cara untuk merawat katarak adalah dengan pembedahan. Semasa pembedahan, kanta keruh dikeluarkan dan digantikan dengan kanta tiruan, yang ditanam di dalam mata. Pada masa ini, kebanyakan orang menjalani pembedahan katarak pada kedua-dua mata pada hari yang berbeza, dengan tempoh hari, minggu, bahkan bulan antara pembedahan, yang dikenali sebagai pembedahan katarak dua hala berurutan tertunda (DSBCS). Walau bagaimanapun, pembedahan katarak pada kedua-dua mata juga boleh dilakukan pada hari yang sama, dikenali sebagai pembedahan katarak dua hala berurutan serta-merta (ISBCS).

Potensi kelebihan kepada ISBCS termasuk kurang lawatan ke hospital, pemulihan penglihatan yang lebih cepat dan kos penjagaan kesihatan yang lebih rendah. Walau bagaimanapun, terdapat juga potensi kelemahan, seperti komplikasi timbul pada kedua-dua mata. Juga, dalam ISBCS, hasil mata pertama tidak boleh digunakan semasa melakukan pembedahan mata kedua, yang boleh mengakibatkan hasil biasan yang lebih teruk (peningkatan kebergantungan pada cermin mata).

Apakah yang kami ingin ketahui?

Kami ingin mengetahui sama ada pembedahan katarak pada kedua-dua mata pada hari yang sama adalah selamat, berkesan dan kos efektif sama dengan menjalankan pembedahan pada kedua-dua mata pada hari yang berbeza.

Apakah yang kami lakukan?

Kami mencari kajian yang melihat hasil ISBCS berbanding DSBCS. Kami juga mencari kajian yang melihat keseimbangan antara kos dan hasil untuk ISBCS berbanding DSBCS (keberkesanan kos). Kami membandingkan dan merumuskan keputusan kajian dan menilai keyakinan kami terhadap bukti, berdasarkan faktor seperti kaedah dan saiz kajian.

Apakah yang kami temui?

Kami menemui 14 kajian yang melibatkan 276,260 orang (7384 yang mempunyai ISBCS dan 268,876 yang mempunyai DSBCS). Kajian-kajian telah dijalankan di Kanada, Republik Czech, Finland, Iran, (Selatan) Korea, Sepanyol (Kepulauan Canary), Sweden, UK, dan Amerika Syarikat. Kebanyakan kajian berlangsung sekitar tiga bulan.

Keputusan utama

- Endophthalmitis: jenis pembedahan (ISBCS atau DSBCS) mungkin memberikan sedikit atau tiada perbezaan dalam kejadian endophthalmitis pada satu mata (sehingga enam minggu selepas pembedahan). Tiada kajian yang melaporkan endophthalmitis pada kedua-dua mata, tetapi kemungkinan besar kejadian ini terlalu jarang untuk dikesan oleh kajian-kajian ini.

- Hasil biasan: mungkin terdapat sedikit atau tiada perbezaan dalam hasil biasan pada satu hingga tiga bulan selepas pembedahan dengan ISBCS berbanding DSBCS.

- Komplikasi lain: mungkin terdapat sedikit atau tiada perbezaan dalam komplikasi lain sehingga tiga bulan selepas pembedahan dengan ISBCS berbanding DSBCS, tetapi kami sangat tidak pasti tentang keputusannya.

- Kos: kajian ekonomi dalam ulasan ini melaporkan kos yang lebih rendah untuk ISBCS berbanding DSBCS. Satu kajian melaporkan bahawa ISBCS adalah kos efektif berbanding DSBCS, tetapi kami sangat tidak pasti tentang keputusannya.

- Ketajaman penglihatan jarak diperbetulkan (BCDVA; penglihatan dengan pembetulan cermin mata jika perlu): jenis pembedahan (ISBCS atau DSBCS) mungkin mempunyai sedikit atau tiada kesan pada BCDVA pada satu hingga tiga bulan selepas pembedahan, tetapi kami sangat tidak pasti tentang keputusan.

- PROM (diukur dalam borang soal selidik): jenis pembedahan (ISBCS atau DSBCS) mungkin memberikan sedikit atau tiada perbezaan dalam PROM pada satu hingga tiga bulan selepas pembedahan.

Apakah batasan bukti tersebut?

Secara keseluruhan, kami mempunyai keyakinan yang sederhana hingga sangat sedikit terhadap bukti (endophthalmitis: sedikit keyakinan, hasil biasan: keyakinan yang sedikit hingga sederhana, komplikasi: tidak yakin, kos: sedikit hingga tidak yakin, BCDVA: tidak yakin, dan PROM: keyakinan sederhana).

Keyakinan kami terhad kerana:

- bukti mengenai endophthalmitis adalah berdasarkan beberapa kes endophthalmitis;

- kajian menilai komplikasi dalam cara yang berbeza;

- tidak ada kajian yang mencukupi untuk memastikan hasil biasan dan komplikasi;

- kajian tentang kos melaporkan kos hanya untuk satu hospital dan menyertakan sumber pembiayaan yang berbeza;

- kajian menilai BCDVA dengan cara-cara yang berbeza dan tidak ada kajian yang mencukupi untuk memastikan keputusannya;

- terdapat kebimbangan mengenai kemungkinan bahawa orang dalam kajian sedar rawatan yang mereka terima, dan tidak semua kajian memberikan data tentang semua perkara yang kami minati (kebanyakan hasil).

Sejauh mana bukti ini terkini?

Bukti adalah terkini sehingga 11 Mei 2021.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Patricia Ponniah (Klinik Pergigian Seremban). Disunting oleh Norhayati Mohd Noor (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information