Apakah faedah dan risiko merawat bayi pramatang yang berisiko untuk mengalami bronkopulmonari displasia dengan kortikosteroid?

Mesej utama

Rawatan dengan dexamethasone selepas minggu pertama selepas kelahiran adalah, pada masa kini, hanya satu-satunya rawatan yang berkesan dalam bayi yang berisiko tinggi untuk bronkopulmonari displasia.

Pemberian kortikosteroid terus ke dalam salur udara, beserta dengan surfaktan, mungkin menjadi rawatan yang menjanjikan pada masa hadapan.

Rawatan dengan dexamethasone dalam minggu pertama kehidupan dan rawatan dengan hidrokortison pada bila-bila masa selepas kelahiran adalah tidak efektif atau mungkin tidak selamat.

Apakah bronkopulmonari displasia (BPD)?

Bayi yang dilahirkan terlalu awal atau pramatang mempunyai peningkatan risiko kecederaan paru-paru, yang dikenali dalam istilah perubatan sebagai bronkopulmonari displasia (BPD). Bayi dengan BPD mempunyai peluang yang lebih tinggi untuk mati, dan mangsa BPD yang terselamat mempunyai hasil yang lebih teruk (seperti keadaan paru-paru yang buruk, kemasukan semula ke hospital yang lebih kerap, dan perkembangan zaman kanak-kanak yang lebih teruk) di kemudian hari berbanding dengan bayi yang tiada BPD. Salah satu punca BPD ialah keradangan paru-paru. Keradangan ialah respon umum badan terhadap kecederaan.

Bagaimana BPD dirawat?

Kortikosteroid ialah ubat-ubatan yang berfungsi melawan keradangan (membantu menenangkan tindak balas imun bayi dan mengurangkan bengkak) dan diberikan kepada bayi pramatang untuk mencegah atau merawat BPD. Walau bagaimanapun, kortikosteroid juga mungkin mempunyai kesan serius yang tidak diingini (seperti penembusan usus (lubang dalam salur pencernaan) dan perkembangan zaman kanak-kanak yang lebih teruk). Contoh kortikosteroid yang telah digunakan dalam bayi pramatang ialah dexamethasone dan hidrokortison.

Apakah yang ingin kami ketahui?

Kami ingin mengetahui tentang jenis rawatan dengan kortikosteroid yang paling berkesan dalam bayi yang dilahirkan terlampau awal yang berisiko untuk mendapat BPD. Kami juga ingin mengetahui sekiranya rawatan mempunyai kesan sampingan yang tidak diingini.

Apakah yang telah kami lakukan?

Kami telah mencari ulasan sistematik yang telah menyertakan bayi pramatang yang berisiko mendapat BPD yang telah dirawat dengan kortikosteroid. Ulasan sistematik meringkaskan kesemua kajian tentang subjek tertentu.

Kami telah menyusun rawatan berbeza ke dalam empat kategori seperti berikut.

• Rawatan berkesan: lebih banyak atau besar kesan positif berbanding dengan kesan negatif.

• Rawatan berpotensi: kesan positif, tetapi kami tidak pasti lagi untuk menggunakan rawatan ini dalam semua orang. Rawatan sebegitu perlu dikaji dengan lebih banyak.

• Rawatan yang kurang berkesan atau mungkin tidak selamat: rawatan yang tidak berfungsi atau mempunyai lebih banyak atau besar kesan negatif berbanding kesan positif.

• Tiada kesimpulan yang mungkin: kami tidak tahu cukup tentang rawatan ini.

Apakah yang telah kami temui?

Kami telah menemui sembilan ulasan sistematik yang meringkaskan 88 kajian. Kajian tersebut telah menggunakan pelbagai jenis rawatan dengan kortikosteroid dalam 9419 bayi pramatang. Rawatan berbeza dalam cara berikut: jenis kortikosteroid, umur bayi pada permulaan rawatan, jumlah ubat yang telah diberikan, dan cara ubat diberikan.

Keputusan utama

Rawatan berkesan

Rawatan dengan dexamethasone selepas minggu pertama kehidupan mungkin meningkatkan tahan hidup bayi, mengurangkan BPD, dan juga dilihat sebagai selamat dalam bayi yang berisiko tinggi untuk BPD.

Rawatan berpotensi

Pemberian kortikosteroid secara terus ke dalam salur udara, beserta dengan surfaktan (satu bahan yang membolehkan paru-paru kekal buka selepas setiap nafas, yang biasanya digunakan dalam bayi pramatang dengan masalah pernafasan dalam beberapa hari pertama selepas kelahiran), yang mungkin menghasilkan kesan positif tetapi masih belum diperiksa dengan sepenuhnya. Ini mungkin rawatan yang berpotensi dalam jangka masa depan.

Rawatan yang kurang berkesan atau mungkin tidak selamat

Rawatan dengan dexamethasone dalam minggu pertama selepas kelahiran mungkin mengakibatkan peluang hidup tanpa BPD yang lebih tinggi, tetapi mempunyai kesan serius yang tidak diingini (seperti usus berlubang dan perkembangan spastik (otot yang kaku atau tegar)). Rawatan dengan hidrokortison dalam minggu pertama selepas kelahiran mungkin mengakibatkan peluang hidup tanpa BPD yang lebih tinggi, tetapi juga mempunyai terlalu banyak kesan sampingan serius untuk digunakan. Rawatan dengan hidrokortison selepas minggu pertama selepas kelahiran kemungkinan tiada kesan terhadap tahan hidup atau BPD.

Tiada kesimpulan yang mungkin

Tiada maklumat yang mencukupi untuk mengetahui sama ada rawatan dengan kortikosteroid melalui penyedutan adalah berkesan atau lebih baik berbanding dengan infusi atau melalui tube pemakanan.

Apakah batasan bukti?

Kami mempunyai keyakinan yang sedikit sehingga sederhana dalam keputusan kajian yang telah dimasukkan dalam ulasan. Ini disebabkan jenis bayi yang telah disertakan dan rawatan yang telah diberikan berbeza mengikut kajian. Juga, kebanyakan kajian adalah sangat kecil dengan sedikit peserta. Sebagai akibatnya, kami kurang pasti tentang kaedah terbaik untuk menggunakan kortikosteroid bagi pencegahan atau rawatan BPD.

Sejauh manakah bukti ini terkini?

Carian adalah terkini hingga April 2023.

Nota terjemahan: 

Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini. Diterjemahkan oleh Kuan Pei Xuan (Institute for Clinical Research). Disunting oleh Mohd Shaharudin Shah Che Hamzah (USM).

Tools
Information