Sistem jejak-dan-pencetus fisiologi/amaran awal untuk digunakan dalam penjagaan bersalin

Apakah soalannya?

Matlamat ulasan ini adalah untuk mengetahui daripada kajian rawak terkawal, jika penggunaan alat pemantauan ringkas membantu dalam memberi amaran kepada masalah klinikal dan dalam mengurangkan penyakit serius atau kematian dikalangan wanita hamil dan dalam enam minggu pertama selepas bersalin. Contoh alat tersebut ialah sistem jejak-dan-pencetus atau sistem amaran awal yang disimpan di tepi katil dalam penjagaan bersalin.

Mengapakah ini penting?

Banyak perubahan fungsi semula jadi berlaku pada tubuh wanita semasa mengandung. Akibatnya, seorang wanita hamil, yang mungkin kelihatan sihat dan baik, kesihatan mereka boleh merosot dengan cepat. Ini dikenali sebagai kemerosotan klinikal. Jika tidak dikesan dengan cukup awal dan dirawat dengan jayanya, wanita hamil boleh menjadi sakit teruk atau mati. Contohnya adalah pendarahan yang serius, kemunculan sawan apabila seorang wanita mempunyai tekanan darah tinggi, darah beku dan jangkitan serius. Alat atau carta tepi katil yang ringkas boleh digunakan oleh pembekal penjagaan bersalin (bidan dan doktor) untuk merekodkan maklumat tentang kesihatan wanita. Langkah kesihatan yang direkodkan termasuk tekanan darah, kadar nadi, kadar pernafasan, suhu badan dan langkah kesihatan lain seperti pengeluaran air kencing serta kewaspadaan mental. Alat telah diperkenalkan supaya langkah-langkah diperhatikan, direkodkan dan ditafsirkan bersama, bukannya sebagai langkah tunggal. Tujuannya adalah untuk mengesan apabila penyakit serius sedang, atau mungkin berlaku. Kakitangan perubatan kemudian boleh bertindak untuk mengelakkan keadaan yang serius.

Apakah bukti yang kami dapati?

Kami mencari bukti pada 28 Mei 2021 dan mengenal pasti dua kajian yang membandingkan sistem amaran awal dengan penjagaan standard. Satu kajian ialah kajian pusat tunggal yang melibatkan 700 wanita dan yang kedua ialah percubaan kluster stepped-wedge (beberapa pusat dikumpulkan ke dalam ‘kluster’) melibatkan 536,233 wanita. Pusat daripada kluster berbeza memperkenalkan alat dari semasa ke semasa sehingga semua pusat menggunakan alat tersebut. Kedua-dua kajian dijalankan dalam tetapan penjagaan kesihatan sumber rendah. Alat tersebut dipanggil ‘Skor Menyelamatkan Ibu’ (Saving Mothers Score, SMS) dan peranti CRADLE amaran tanda vital (Vital Sign Alert, VSA). Risiko bias untuk kedua-dua kajian adalah rendah atau tidak jelas.

Kami mendapati bahawa alat itu mungkin tidak mengurangkan kematian ibu. Wanita mungkin mengalami pendarahan yang kurang serius (atau pendarahan) apabila alat amaran awal digunakan. Hasil ini disokong dengan bukti kepastian rendah. Kami juga mendapati bahawa alat tersebut mungkin menyebabkan sedikit atau tiada perbezaan kepada tindak balas badan yang berpotensi mengancam nyawa terhadap jangkitan (sepsis), kepada tekanan darah dengan bengkak, protein dalam air kencing dan sawan (eklampsia), kepada penyakit serius semasa kehamilan yang mempengaruhi darah serta cara kerja hati (HELLP), atau dimasukkan ke unit rawatan rapi (intensive care unit, ICU). Penggunaan alatan mungkin mengurangkan tempoh masa seorang wanita berada di hospital (bukti kepastian sederhana). Kami juga mendapati alat tersebut mungkin memberi sedikit atau tiada perbezaan kepada kematian bayi pada bulan pertama selepas kelahiran (kematian neonatal). Penemuan ini disokong oleh bukti kepastian rendah. Kedua-dua kajian yang termasuk tidak melaporkan hasil kos.

Apakah maksudnya?

Penggunaan alat amaran awal untuk wanita dalam penjagaan bersalin dengan tetapan sumber rendah boleh mengurangkan pendarahan serius dan mungkin mengurangkan bilangan hari wanita tinggal di hospital tetapi mungkin tidak mengurangkan kematian ibu atau bayi. Kajian yang lebih banyak diperlukan untuk sistem amaran awal yang berbeza dalam tetapan sumber rendah. Kajian juga diperlukan dalam tetapan sumber sederhana dan tinggi, serta dikalangan wanita hamil berisiko tinggi dan rendah.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Lee Pei Yee (Hospital Keningau) dan disunting oleh Chan Mei Wai (RCSI & UCD Malaysia campus). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information