Cahaya matahari untuk pencegahan dan rawatan hiperbilirubinemia pada bayi baru lahir

Soalan ulasan

Seberapa selamat dan berkesan cahaya matahari bagi merawat atau mencegah jaundis (kekuningan pada kulit yang dipanggil hiperbilirubinemia) pada bayi baru lahir?

Latar belakang

Bayi yang menghidap jaundis sering dirawat menggunakan lampu fototerapi yang memancarkan cahaya biru-hijau yang mengubah bilirubin (bahan berwarna kuning semula jadi dalam darah bayi) bagi memudahkan ia disingkirkan.

Matahari memancarkan cahaya dalam spektrum yang serupa. Walau bagaimanapun, cahaya matahari turut memancarkan sinar ultraungu berbahaya dan sinaran inframerah, yang boleh mengakibatkan selaran matahari dan kanser kulit. Tambahan lagi, pendedahan bayi kepada cahaya matahari mungkin membuatkan mereka terlalu panas atau terlalu sejuk, bergantung kepada iklim.

Di negara berpendapatan rendah dan sederhana (LMIC), fototerapi tidak selalu ada untuk bayi yang memerlukan. Selain itu, bayi di negara-negara ini lebih berisiko menghidap jaundis berbahaya, yang bermaksud bilirubin dalam darah mereka mencapai tahap yang membolehkannya merentas rintangan darah-otak lalu menyebabkan kerosakan pada otak. Bayi-bayi di LMIC berisiko tinggi terkena jaundis kerana beberapa faktor termasuk kurangnya akses terhadap penjagaan ibu sewaktu kehamilan, meningkatnya masalah darah yang mengakibatkan jaundis, serta meningkatnya risiko jangkitan atau trauma kelahiran.

Oleh kerana cahaya matahari sememangnya sedia ada, terdapat keperluan yang mendesak untuk menentukan sama ada cahaya matahari selamat dan berkesan bagi merawat jaundis pada bayi di LMIC.

Ciri-ciri kajian

Kami melibatkan tiga kajian klinikal yang melibatkan 1103 bayi dari dua buah negara. Kajian melibatkan bayi yang lahir pada atau menghampiri tarikh jangkaan bersalin (35 minggu kehamilan atau lebih) yang berumur kurang dari dua minggu. Satu kajian menilai bayi sihat manakala dua kajian menilai bayi jaundis. Dalam satu kajian, bayi sama ada menerima atau tidak menerima rawatan cahaya matahari dalam pencegahan atau pengurangan jaundis. Dalam dua kajian lain, bayi yang menghidap jaundis telah dibahagikan secara rawak untuk menerima rawatan dengan mesin fototerapi atau cahaya matahari menerusi khemah turas cahaya yang menghalang sinar ultraungu dan sinaran inframerah. Tahap pemulihan jaundis kumpulan-kumpulan ini dibandingkan. Satu kajian tidak mengulas tentang dana biayaan. Dua kajian yang lain telah dibiayai oleh Dana Penyelidikan Thrasher. Bukti adalah terkini sehingga Jun 2020.

Hasil utama kajian

Cahaya matahari berbanding tanpa rawatan: bayi yang didedahkan kepada cahaya matahari mungkin kurang mengalami jaundis dan tempoh hari terkena jaundis adalah lebih singkat berbanding bayi yang tidak mendapat rawatan pencegahan untuk jaundis. Tiada pengurangan kemasukan semula ke hospital atas sebab jaundis bagi bayi yang didedahkan kepada cahaya matahari berbanding bayi yang tidak diberi rawatan.

Cahaya matahari berbanding sumber fototerapi lain: bayi yang mendapat rawatan fototerapi elektrik mengalami kadar penurunan paras bilirubin yang sama berbanding bayi yang didedahkan kepada cahaya matahari. Dengan menggunakan filem turas cahaya, bayi yang didedahkan kepada cahaya matahari tidak mengalami peningkatan kadar selaran matahari, penyahhidratan atau hipotermia. Bayi yang terdedah kepada cahaya matahari berisiko tinggi mendapat hipertermia. Keberkesanan cahaya matahari mungkin tidak kurang berbanding fototerapi, sekiranya cahaya matahari dapat diberikan sekurang-kurangnya empat jam sehari dan fototerapi elektrik pula diberikan pada waktu malam apabila perlu.

Kepastian tentang bukti

Kepastian tentang bukti bagi hasil ketiga-tiga kajian adalah sangat rendah ke sederhana. Kepastian adalah sangat rendah bagi kesemua hasil utama dalam setiap kajian. Kami tidak pasti sama ada cahaya matahari berkesan dalam pencegahan atau rawatan untuk hiperbilirubinemia pada bayi cukup bulan dan bayi lewat pramatang.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Fatin Atiqah Nurul Mubin (Universiti Tenaga Nasional). Disunting oleh Norhayati Mohd Noor (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information