Mencegah diabetes jenis 2 dalam kalangan orang dewasa dengan keadaan kesihatan mental di negara berpendapatan rendah dan sederhana

Bagaimana kami mengenal pasti dan menilai bukti?

Kami mencari penulisan perubatan untuk mengulas bukti kesan farmakologi (ubat), tingkah laku (perubahan tingkah laku) dan intervensi organisasi (penyampaian penjagaan kesihatan) untuk pencegahan diabetes jenis 2 dalam kalangan orang dengan gangguan mental di negara berpendapatan rendah dan sederhana (LMIC). Diabetes jenis 2 adalah keadaan kesihatan yang serius yang mungkin timbul ketika tubuh tidak lagi dapat menggunakan hormon yang dipanggil insulin. Terdapat banyak sebab mengapa seseorang boleh menghidap diabetes jenis 2, termasuk berat badan berlebihan, tekanan darah tinggi, tidak cukup bersenam, mempunyai sejarah keluarga yang mengalami penyakit ini, dan beberapa faktor risiko yang lain.

Kami menyertakan kajian-kajian rawak terkawal (RCT) yang diterbitkan sehingga tarikh carian kami, 20 Februari 2020.

Mengapakah hal ini penting?

Orang dengan keadaan kesihatan mental seperti skizofrenia, gangguan bipolar, dan gangguan kemurungan yang teruk adalah lebih cenderung menghidap diabetes jenis 2 berbanding dengan populasi umum. Ramai orang yang menderita daripada keadaan kesihatan mental, yang mempunyai risiko menghidap diabetes, tinggal di LMIC. Mengubati diabetes dalam populasi ini menimbulkan cabaran kepada sistem penjagaan kesihatan. Mencegah perkembangan diabetes adalah penting bagi orang yang mempunyai keadaan kesihatan mental dan sistem penjagaan kesihatan di LMIC.

Apakah yang kami temui?

Dalam kalangan orang dewasa dengan keadaan kesihatan mental, kami mengenal pasti hanya satu kajian yang menilai hasil utama kami, pencegahan diabetes jenis 2. Kajian berasaskan hospital dengan 150 peserta (99 peserta dengan skizofrenia) menemui bukti berkepastian rendah bahawa tidak ada perbezaan dalam risiko antara penggunaan ubat antipsikotik yang lebih lama (antipsikotik tipikal) dan ubat antipsikotik yang lebih baru (antipsikotik atipikal) untuk hasil pengembangan diabetes jenis 2.

Kami menyertakan 29 kajian tambahan dengan 2481 peserta bagi menilai satu atau lebih hasil sekunder kami. Semua kajian dilakukan di persekitaran hospital dan menguji intervensi farmakologi. Tidak ada kajian yang meneliti intervensi organisasi. Hanya satu kajian yang menilai intervensi yang bertujuan untuk mengubah tingkah laku orang, tetapi juga melibatkan intervensi farmakologi.

Untuk hasil menarik diri (berapa banyak orang yang berhenti dari kajian sebelum ia tamat), kami tidak menemui bukti perbezaan ketika peserta diberi antipsikotik atipikal, dibandingkan dengan mereka yang dirawat dengan antipsikotik tipikal. Ini juga terjadi dalam kajian yang membandingkan rawatan dengan metformin (ubat yang digunakan untuk merawat diabetes) dengan plasebo (rawatan berpura-pura), dan yang membandingkan rawatan dengan melatonin (hormon yang mengatur tidur) dengan plasebo. Bukti berkepastian sangat rendah dari satu kajian menunjukkan bahawa bilangan peserta yang menarik diri mungkin lebih tinggi dalam kalangan peserta yang dirawat dengan antidepresan trisiklik, berbanding dengan peserta yang dirawat dengan perencat pengambilan serotonin selektif (jenis antidepresan lain).

Kami tidak menemui bukti tentang perbezaan tahap glukosa darah ketika puasa dalam perbandingan antara antipsikotik atipikal dan tipikal, metformin dan plasebo, atau antidepresan trisiklik dan perencat pengambilan semula serotonin selektif. Kami mendapati bahawa kadar glukosa darah ketika puasa cenderung lebih rendah bagi peserta yang diberi melatonin, berbanding dengan plasebo.

Indeks jisim badan adalah lebih rendah untuk peserta yang menerima metformin berbanding dengan mereka yang menerima plasebo, dan untuk peserta yang menerima antipsikotik tipikal, berbanding dengan mereka yang menerima antipsikotik atipikal.

Tahap kolesterol adalah lebih rendah dalam peserta yang menerima antipsikotik tipikal, berbanding dengan mereka yang menerima antipsikotik atipikal.

Kami tidak menemui bukti tentang perbezaan ukuran keliling pinggang atau tekanan darah untuk sebarang intervensi kumpulan kajian yang disertakan.

Kepastian bukti

Satu-satunya kajian yang menilai pencegahan diabetes jenis 2 memberikan bukti berkepastian rendah. Kepastian bukti dikurangkan kerana kajiannya kecil, dan beberapa aspek penting daripadanya berisiko tinggi terhadap bias. Kajian lain yang melaporkan hasil sekunder secara amnya memberikan bukti berkepastian sederhana hingga tinggi untuk hasil ini.

Kesimpulan

Bagi orang dengan keadaan kesihatan mental di LMIC, kami tidak tahu apakah kaedah terbaik untuk mencegah diabetes jenis 2. Hanya satu daripada kajian yang disertakan memberikan bukti berkepastian rendah mengenai pencegahan diabetes. Penyelidikan lebih lanjut seharusnya tidak hanya tertumpu pada intervensi farmakologi, tetapi juga harus melibatkan perubahan tingkah laku dan intervensi organisasi, untuk mengetahui apakah intervensi tersebut berkesan dan sesuai di LMIC.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Gurmeet Albail Singh. Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my.

Tools
Information