Mengapakah mengenali demensia adalah penting?
Bilangan orang yang didiagnosis dengan demensia dijangka meningkat dengan ketara dalam 10 tahun akan datang. Oleh itu, terdapat peningkatan keperluan untuk alat-alat yang dapat menilai memori dan pembelajaran untuk membantu diagnosis demensia dan MCI. ACE-III dan mini-ACE kini digunakan dalam amalan klinikal, tetapi bukti ketepatan mereka untuk mengenalpasti demensia belum dipastikan sepenuhnya.
Apakah tujuan ulasan ini?
Tujuan ulasan ini adalah untuk mengetahui sejauh mana ketepatan ACE-III dan mini-ACE dalam mengenalpasti demensia dan MCI dalam pelbagai keadaan penjagaan kesihatan. Ujian tersebut dilakukan terhadap pesakit yang disyaki menghidap demensia.
Apakah yang dikaji dalam ulasan ini?
ACE-III mempunyai 21 soalan, dengan jumlah skor 100. Ujian tersebut dilakukan dengan pesakit yang mengalami, atau disyaki menghidap, demensia. Soalan merangkumi lima bidang fungsi otak yang berbeza, dan skor yang lebih tinggi menunjukkan fungsi yang lebih baik. Mini-ACE adalah lebih pendek, dengan hanya lima soalan, dan skor keseluruhan 30. Ambang batas menggambarkan skor di mana diagnosis demensia harus dipertimbangkan dan ini biasanya 82 atau 88/100 untuk ACE-III dan 21 atau 25/30 untuk mini-ACE.
ACE-III dan mini-ACE tidak digunakan secara bersendirian untuk membuat diagnosis demensia, tetapi membantu doktor apabila digunakan sebagai tambahan kepada maklumat dan penyelidikan klinikal yang lain.
Apakah keputusan utama ulasan ini?
Ulasan ini merangkumi tujuh kajian dengan sejumlah 1711 pesakit; empat kajian meneliti ACE-III, dan tiga meneliti mini-ACE. Kami tidak menggabungkan maklumat kajian secara statistik kerana perbezaan yang ketara antara kajian.
Keupayaan kedua-dua ACE-III dan mini-ACE untuk mengenal pasti pesakit dengan demensia atau MCI adalah pelbagai (antara 70% dan 99% orang yang dikenal pasti dengan betul mengalami demensia dan antara 64% dan 95% untuk MCI). Walau bagaimanapun, terdapat lebih banyak kepelbagaian antara kajian dalam jumlah positif palsu yang dikenal pasti oleh ujian (antara 0% dan 96% orang yang dikenalpasti dengan salah sebagai menghidap demensia dan antara 8% dan 54% orang yang dikenal pasti dengan salah sebagai menghidap MCI) . Di ambang ujian yang lebih rendah, terdapat sedikit diagnosis positif demensia yang palsu (antara 64% dan 100% orang yang dikenal pasti tidak menghidap demensia atau MCI).
Sejauh manakah hasil ulasan ini boleh dipercayai?
Terdapat beberapa masalah dengan kaedah yang digunakan oleh kajian: cara di mana pesakit dikenal pasti dan dimasukkan ke dalam kajian, dan cara ACE-III dan mini-ACE dijalankan tanpa dijelaskan dengan baik. Kajian-kajian adalah kecil dan bilangan peserta tidak mencukupi untuk menjadi yakin dengan hasilnya. Masalah-masalah ini bermaksud bahawa ketepatan ACE-III dan mini-ACE mungkin kelihatan lebih baik daripada yang sebenarnya.
Untuk siapakah keputusan ulasan ini dapat digunakan?
Umur purata dalam semua kajian adalah lebih dari 60 tahun. Kadar penghidap demensia adalah berbeza antara kajian (julat: 15% hingga 55.6%). Semua kajian dilakukan dalam lingkungan pakar, jadi kami tidak tahu sama ada ACE-III atau mini-ACE dapat digunakan dalam amalan umum atau masyarakat. Empat kajian dilakukan di UK, dua di China, dan satu di Jepun.
Apakah implikasi ulasan ini?
Secara keseluruhan, kualiti, saiz, dan jumlah kajian yang disertakan adalah tidak memungkinkan kesimpulan yang pasti sama ada ACE-III atau mini-ACE patut digunakan untuk mengenal pasti demensia atau MCI. Penemuan ini hanya dapat digunakan di persekitaran hospital, kerana tidak ada kajian yang menyelidiki populasi masyarakat atau umum. ACE-III atau mini-ACE hanya patut digunakan sebagai sebahagian dari penilaian klinikal ketika membuat diagnosis demensia, dan tidak boleh digunakan bersendirian. Lebih banyak penyelidikan adalah diperlukan untuk mengkaji ACE-III dan mini-ACE dalam persekitaran penjagaan kesihatan, bahasa, dan budaya yang berbeza.
Sejauh manakah ulasan ini dikemaskini?
Penulis ulasan ini telah membuat pencarian dan merangkumkan kajian-kajian sehingga April 2019.
Diterjemah oleh Wong Chun Hoong (Hospital Sultanah Aminah). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my.