Apakah rawatan perubatan terbaik untuk menghentikan pendarahan bagi individu yang menjalani pembedahan bukan kecemasan pinggul atau lutut?

Mesej utama

• Asid traneksamik boleh menjadi ubat yang berkesan bagi membantu membekukan darah semasa pembedahan penggantian pinggul atau lutut yang mengurangkan pendarahan dan keperluan transfusi darah (menggantikan darah yang hilang dengan darah yang didermakan).

• Dos ubat yang tinggi dan pemberian melebihi satu cara (misalnya dalam bentuk tablet dan disuntik ke dalam sendi pada akhir pembedahan) menunjukkan keberkesanan.

• Asid traneksamik berpotensi mempunyai keberkesanan dalam bentuk tablet sama seperti suntikan ke dalam vena.

• Terdapat sedikit atau tiada bukti untuk menunjukkan bahawa dos asid traneksamik yang lebih tinggi meningkatkan risiko pembekuan darah di kaki atau kemudaratan yang lain.

Latar belakang

Mengapa penting untuk menghentikan pendarahan semasa pembedahan pinggul atau lutut?

Mengawal pendarahan ketika pembedahan mengurangkan kemungkinan individu menghidapi anemia dan memerlukan transfusi darah yang membawa risiko komplikasi. Anemia berlaku apabila bilangan sel darah merah (hemoglobin) yang tersedia untuk membawa oksigen adalah rendah daripada biasa. Hal ini menyebabkan gejala seperti kelesuan, lemah, pening, sesak nafas dan mampu mengancam nyawa dalam kes yang teruk. Mencegah kehilangan darah ketika pembedahan meningkatkan hasil pesakit, mengurangkan kos penjagaan kesihatan dan memelihara bekalan terhad darah yang didermakan.

Adakah terdapat ubat yang membantu mengawal pendarahan?

Banyak kajian penyelidikan telah menyelidik sama ada ubat tertentu, seperti asid traksenamik, mampu mengurangkan kehilangan darah semasa pembedahan. Kebanyakan kajian menguji dos ubat yang berbeza, kaedah pemberian yang berbeza dan masa penggunaan yang berbeza sama ada sebelum, semasa atau selepas pembedahan.

Apakah yang ingin kami ketahui?

Kami ingin mengetahui sekiranya ubatan mampu mengurangkan kehilangan darah dan keperluan pemindahan darah dalam kalangan individu yang menjalani pembedahan penggantian pinggul atau lutut. Kami juga ingin mengkaji kaedah yang paling berkesan pemberian ubat ini kepada pesakit.

Apakah yang kami lakukan?

Kami mencari kajian-kajian yang membandingkan ubatan berbeza yang mampu mengurangkan pendarahan dalam kalangan dewasa yang menjalani pembedahan penggantian pinggul atau lutut yang dirancang. Kami juga mencari kajian yang membandingkan ubatan dengan plasebo. Plasebo ialah ubatan ‘palsu’ yang mempunyai rupa atau rasa yang sama dengan ubatan yang diuji.

Apakah yang kami temui?

Kami menjumpai 102 kajian. Dua belas kajian tidak melaporkan bilangan peserta; dalam 90 kajian yang lain, terdapat 8418 peserta. Secara purata, individu berumur antara 50 hingga 77 tahun dan 64% ialah wanita. Kajian terkecil melibatkan 16 orang dan kajian terbesar merangkumi 300 peserta. Kajian dijalankan di seluruh dunia dengan jumlah tertinggi di Eropah dan Asia. Dalam kajian yang melaporkan sumber pembiayaan, tujuh daripadanya dibiayai sepenuhnya dan lima dibiayai secara separa oleh syarikat farmaseutikal (ubatan). Kesemua kajian mengkaji ubatan yang membantu darah untuk membeku. Walau bagaimanapun, kebanyakan kajian menilai keberkesanan dan keselamatan asid traneksamik yang diberikan secara intravena (disuntik ke dalam vena), oral (menelan tablet atau cecair), disuntik ke dalam sendi semasa pembedahan atau gabungan kaedah tersebut.

Hasil utama

Ulasan kami mengenai kajian tersebut menunjukkan yang berikut:

• Asid traneksamik adalah yang paling berkesan untuk mengawal pendarahan berbanding ubatan lain.

• Individu dewasa yang menjalani pembedahan penggantian pinggul atau lutut memerlukan kurang pemindahan darah jika mereka diberi asid traneksamik.

• Asid traneksamik yang diberikan dalam dos yang lebih tinggi menerusi pelbagai kaedah pemberian, seperti secara oral dan disuntik ke dalam sendi semasa pembedahan, mungkin lebih berkemungkinan untuk mengelakkan pendarahan.

• Pengambilan asid traneksamik secara oral mungkin berkesan untuk mencegah pemindahan darah sama seperti menyuntik ubat ke dalam vena.

Kami tidak dapat memutuskan dos optimum, gabungan kaedah yang terbaik untuk memberikan asid traneksamik dan waktu paling bermanfaat untuk digunakan (sebelum, semasa dan selepas pembedahan). Kami tidak menemui bukti untuk mencadangkan bahawa dos asid traneksamik yang lebih tinggi meningkatkan risiko pembentukan darah beku atau sebarang kemudaratan yang lain.

Apakah batasan bukti?

Kami tidak mampu membuat kesimpulan secara pasti berdasarkan kajian yang disertakan dalam ulasan ini. Kami mempunyai sedikit keyakinan terhadap bukti untuk sebahagian hasil dan tiada keyakinan terhadap bukti untuk hasil yang lain. Hal ini kerana mungkin terdapat individu dalam kajian tersebut yang mengetahui jenis rawatan yang diberikan. Selain itu, kajian tersebut juga kecil dan tidak kesemuanya memberikan data mengenai kesemua perkara yang ingin dikaji.

Kajian semasa dan kemaskini akan datang

Tiga puluh kajian dengan jumlah peserta terancang sebanyak 3776 individu sedang dijalankan. Kajian ini akan dilengkapkan dan diterbitkan dalam beberapa tahun akan datang. Sebaik sahaja pengarang menerbitkan data mereka, kami mungkin akan mengemas kini analisis dan menyediakan jawapan yang lebih kukuh berbanding sekarang.

Sejauh manakah bukti ini terkini?

Bukti adalah terkini setakat 18 Oktober 2022.

Nota terjemahan: 

Sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my untuk sebarang pertanyaan yang berkaitan dengan terjemahan ini. Diterjemah oleh Adzrie Azman. Disunting oleh Mohamad Masykurin Mafauzy (Universiti Sains Malaysia).

Tools
Information