Mengapakah soalan ini penting?
Membran epiretinal adalah lapisan tisu abnormal yang terbentuk di bahagian belakang mata. Ia mempengaruhi sekitar satu daripada lima orang berusia 75 tahun dan ke atas. Dalam kebanyakan orang, pembentukan membran epiretinal dikaitkan dengan proses penuaan normal mata dan diterangkan sebagai ‘idiopatik’. Dalam keadaan lain, membran epiretinal adalah disebabkan oleh keadaan sedia ada yang mempengaruhi retina, seperti keradangan atau kurang peredaran darah. Membran epiretinal juga boleh terbentuk selepas pembedahan mata.
Membran epiretinal biasanya terbentuk pada bahagian mata yang bertanggungjawab untuk melihat perincian halus (makula). Dalam sesetengah orang, ini tidak mempengaruhi penglihatan. Dalam kalangan lain pula, ia menyebabkan penglihatan yang terherot atau kabur, yang boleh mempengaruhi kualiti hidup. Contohnya, membran epiretinal boleh merosakkan kemampuan seseorang untuk membaca atau memandu.
Jika membran epiretinal mempengaruh penglihatan, ia lazimnya dikeluarkan dengan pembedahan. Anestetik setempat (ubat) diguna untuk mengebaskan kawasan mata itu. Seperti sebarang prosedur, pembedahan ini berisiko mudarat akibat kesan-kesan sampingan. Ini termasuk masalah seperti katarak, retina tertanggal, jangkitan dan perdarahan dalam mata.
Bagi memahami bila manfaat pembedahan melebihi risikonya, kami mengulas bukti penyelidikan.
Bagaimana kami mengenal pasti dan menilai bukti?
Pertamanya, kami mencari literatur perubatan untuk kajian-kajian:
- yang mana membran epiretinal tidak disebabkan oleh keadaan sedia ada atau pembedahan;
- yang membandingkan kesan-kesan pembedahan dengan tanpa pembedahan atau prosedur plasebo (palsu); dan
- yang mana orang dibahagi secara rawak kepada satu daripada dua kumpulan: kumpulan yang menjalani pembedahan untuk membran epiretinal, dan kumpulan yang tidak menjalani pembedahan untuk membran epiretinal.
Kami kemudian merumuskan bukti dan menilai keyakinan kami terhadapnya, berdasarkan faktor-faktor seperti kaedah dan saiz kajian.
Apa yang kami temui?
Kami hanya menemui satu kajian yang memenuhi kriteria kami. Kajian ini berlangsung di Denmark dan menyertakan 53 orang dengan membran epiretinal yang menyebabkan kerosakan penglihatan ringan. Peserta-peserta dibahagikan secara rawak kepada satu daripada dua kumpulan. Dalam satu kumpulan pra peserta menjalani pembedahan segera. Dalam kumpulan satu lagi, pemerrhatian rapi dibuat dan sekiranya berlaku sebarang kemerosotan keadaan, mereka disyor untuk pembedahan. Orang dalam kedua-dua kumpulan diikuti selama satu tahun.
Keputusan kajian mencadangkan pembedahan segera membran epiretinal yang menyebabkan kerosakan penglihatan ringan:
- mungkin tidak memberi manfaat penglihatan 12 bulan selepas pembedahan; dan
- mungkin tidak membawa kepada kesan-kesan tidak diingini yang serius. Satu orang yang dirawat dengan pembedahan segera mengalami kesan tidak diingini yang tidak dianggap serius. Ia adalah pembentukan keadaan mata yang disebabkan oleh pengumpulan cecair di bahagian belakang mata.
Kajian tersebut tidak menyiasat impak pembedahan ke atas kualiti hidup peserta.
Berapa yakinkah kami terhadap bukti ini?
Kami tidak yakin dengan bukti tersebut, kerana:
- ia berdasarkan satu kajian yang kecil; dan
- beberapa kaedah yang diguna oleh penyelidik yang menjalankannya mungkin telah memperkenalkan ralat dalam keputusannya.
Apakah maksudnya?
Untuk membran epiretinal yang menyebabkan gangguan penglihatan yang melumpuhkan dengan teruk, kami tidak menemui kajian yang dikawal dengan teliti yang mengukur kesan pembedahan. Untuk membran epiretinal yang teruk, secara meluas pembedahan dianggap memperbaik hasil dan menjadi amalan rutin. Kajian kawalan yang teliti membandingkan pembedahan dengan tiada rawatan dianggap tidak perlu dan tidak sesuai.
Untuk membran epiretinal yang menyebabkan kerosakan penglihatan ringan, kesan pembedahan tidak dapat dipastikan. Terdapat beberapa bukti hasil pengawasan rapi mungkin sama baik seperti kesan pembedahan segera. Walau bagaimanapun, bukti adalah tidak cukup kuat untuk membuat kesimpulan kukuh. Kajian lanjut mengguna kaedah-kaedah lebih mantap dan ukuran hasil-hasil termasuk kualiti hidup jangka panjang akan membantu menentukan kesan pembedahan dengan lebih yakin.
Adakah ulasan ini mutakhir?
Bukti dalam Ulasan Cochrane ini adalah terkini sehingga Mei 2020.
Diterjemah oleh Muhammad Faiz Mohd Adenan (University of New South Wales, Sydney). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Universiti Manipal Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my.