Apakah ubat-ubatan, yang diambil melalui mulut atau diberikan sebagai suntikan, yang paling sesuai untuk merawat penyakit alahan mata yang teruk dalam kanak-kanak dan orang muda di bawah 16 tahun?

Apa itu penyakit mata alahan?
Tindak balas imun adalah cara tubuh badan mengenali dan mempertahankan diri daripada bahan-bahan yang kelihatan berbahaya, biasanya dengan menghasilkan protein darah tertentu (antibodi) terhadapnya. Alahan (alergi) adalah reaksi oleh sistem imun badan terhadap zat tertentu (alergen) yang biasanya tidak berbahaya, seperti serbuk debunga rumput atau pokok dalam udara. Alergen yang berbeza mempengaruhi tisu yang berbeza, dan kesannya boleh ringan atau serius.

Di mata, reaksi alahan boleh menyebabkan konjungtivitis: konjunktiva (tisu yang menutupi putih mata dan lapisan dalam kelopak mata) menjadi bengkak dan sakit. Penyakit alahan mata yang teruk juga boleh mempengaruhi kornea (bahagian depan mata yang jernih), menyebabkan keratoconjunctivitis.

Keratoconjunctivitis vernal (VKC) dan keratoconjunctivitis atopik (AKC) adalah jenis penyakit alahan mata yang teruk. VKC biasanya berlaku dalam kanak-kanak dan lebih biasanya dalam lelaki; AKC boleh mempengaruhi kanak-kanak dan orang dewasa. Keadaan ini biasanya mempengaruhi kedua-dua mata dan menjadikannya merah, gatal, sakit, berair dan sensitif terhadap cahaya. Kedua-dua keadaan boleh merosakkan kornea, dan mempengaruhi penglihatan dan menyebabkan kebutaan. Oleh itu, rawatan sangat penting untuk menyelamatkan penglihatan.

Rawatan untuk penyakit alahan mata yang teruk
Kedua-dua keadaan dirawat dengan ubat-ubatan yang cuba menyekat reaksi alahan dan mengurangkan bengkak. Gejala mungkin bertambah baik dengan ubat-ubatan yang diberikan sebagai titisan mata, tetapi jika ini tidak berfungsi, ubat-ubatan lain boleh diambil melalui mulut atau diberikan sebagai suntikan (ubat sistemik). Ubat sistemik yang sering digunakan untuk mengubati penyakit alahan mata yang teruk termasuklah ubat-ubatan yang mensasarkan atau menekan tindak balas imun, seperti ubat-ubatan anti-radang dan antibodi.

Mengapa kami melakukan Ulasan Cochrane ini
Kami ingin mengetahui rawatan sistemik mana yang paling sesuai untuk penyakit alahan mata yang teruk dalam kanak-kanak dan orang muda.

Apa yang kami lakukan?
Kami mencari kajian yang melihat kepada ubat-ubatan sistemik untuk merawat penyakit alahan mata yang teruk dalam kanak-kanak dan orang muda di bawah usia 16 tahun. Kami ingin mencari kajian yang membandingkan satu ubat dengan satu ubat plasebo, atau kajian yang membandingkan dua atau lebih ubat antara satu sama lain.

Kami mencari kajian rawak terkawal, di mana rawatan yang diterima oleh seseorang ditentukan secara rawak, kerana kajian ini biasanya memberikan bukti rawatan yang paling dipercayai.

Tarikh carian: Kami telah mencari kajian-kajian yang diterbitkan sehingga 17 Februari 2020.

Apa yang kami temui
Kami tidak menemui kajian rawak terkawal terhadap penyakit alahan mata teruk dalam kanak-kanak dan orang muda yang dirawat oleh ubat sistemik.

Kesimpulannya

Tidak ada bukti dari kajian rawak terkawal mengenai seberapa baiknya ubat sistemik berfungsi untuk penyakit alahan mata yang teruk dalam kanak-kanak dan orang muda yang berumur di bawah 16 tahun.

Penyelidikan diperlukan untuk menyiasat seberapa baiknya ubat-ubatan sistemik berfungsi dalam merawat penyakit alahan mata yang teruk dalam kanak-kanak dan orang muda, dan untuk mengetahui tentang kesan tidak diingini yang mungkin disebabkan oleh ubat-ubatan ini.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Pang Zhi Chiing (RCSI & UCD Malaysia Campus - kelas siswazah 2020). Disunting oleh Shaun Lee (Monash University Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information