Farmasi mungkin dapat menyokong pesakit dengan ubat-ubatan kemurungan mereka

Latar belakang

Sesetengah orang yang mengalami kemurungan mendapati sukar untuk mengambil ubat-ubatan kemurungan mereka (sering disebut 'antidepresan') seperti yang ditetapkan oleh doktor mereka. Ini bermakna bahawa ubat-ubatan ini tidak berfungsi dengan baik dan keadaan mereka mungkin tidak menjadi lebih baik atau mungkin menjadi lebih buruk. Mungkin ahli farmasi dan pasukan mereka boleh membantu pesakit dalam rawatan kemurungan mereka dengan cara yang doktor keluarga mereka (pengamal am (GP)) tidak dapat lakukan. Farmasi adalah berdasarkan dalam komuniti, lebih mudah untuk dihadiri, dan orang mungkin merasa lebih selesa memberitahu ahli farmasi tentang mood mereka. Walau bagaimanapun, tidak banyak kajian memberitahu kami sama ada cara ini berfungsi.

Ciri-ciri Kajian

Kami mencari pangkalan data perubatan untuk kajian yang dirancang dengan baik yang membandingkan sekumpulan dewasa dengan kemurungan yang menerima bantuan tambahan dengan ubat-ubatan kemurungan dari farmasi mereka dengan sekumpulan dewasa dengan kemurungan yang menerima rawatan mereka seperti biasa.

Bukti adalah terkini sehingga 14 Disember 2018.

Keputusan utama dan kepastian bukti

Kami mendapati 12 kajian dengan lebih daripada 2000 orang dewasa mengambil bahagian. Mereka membandingkan sokongan berasaskan farmasi dengan rawatan biasa, contohnya, maklumat asas tentang ubat mereka atau memberitahu tentang perkhidmatan lain sahaja. Kami mendapati bahawa sokongan tambahan yang diberikan oleh ahli farmasi tidak lebih baik dalam mengurangkan kemurungan pesakit berbanding rawatan mereka seperti biasa. Kajian-kajian itu juga menunjukkan bahawa pesakit mungkin sama menyukai kedua-dua pendekatan, walaupun kami tidak pasti tentangi hasilnya kerana bukti mempunyai kepastian yang rendah.

Kajian menunjukkan bahawa pesakit yang menerima sokongan daripada farmasi mereka lebih cenderung untuk mengambil antidepresan mereka seperti yang diberikan. Kami tidak dapat menggabungkan maklumat dari kajian-kajian yang dimasukkan tentang hasil lain yang kami berminat (diagnosis kemurungan, kekerapan pelantikan penjagaan kesihatan, kualiti hidup, fungsi sosial, atau kesan sampingan).

Kami mendapati tiada perbezaan dalam keberkesanan apabila pesakit kemurungan menerima sokongan tambahan daripada ahli farmasi berbanding dengan rawatan seperti biasa.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Wong Chun Hoong (Klinik Kesihatan Bandar Tun Hussein Onn). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information