Apakah faedah dan risiko intervensi literasi kesihatan untuk pendatang?

Literasi kesihatan (HL) bermaksud pengetahuan, motivasi dan kecekapan (cth. kebolehan membaca dan menulis) yang diperlukan oleh seseorang untuk mencari, memahami, menilai dan menggunakan maklumat kesihatan. Pendatang berisiko mengalami kesukaran dalam HL (cth. apabila mereka tidak mengetahui sistem kesihatan negara dengan baik).

HL 'generik' bermaksud seseorang boleh mencari, memahami dan menggunakan maklumat kesihatan umum untuk membuat keputusan kesihatan. HL 'penyakit tertentu' bermakna seseorang boleh mencari, memahami dan menggunakan maklumat tentang penyakit tertentu atau mereka tahu tentang gejala penyakit atau memahami pilihan rawatan.

Mesej utama

Kami mempunyai keyakinan sederhana hingga rendah dalam penemuan ini bahawa beberapa intervensi HL mempunyai kesan positif yang kecil hingga sederhana terhadap HL pendatang. Ini bermakna bahawa intervensi ini boleh membantu seseorang meningkatkan pengetahuan, penilaian dan pemahaman tentang istilah perubatan, atau penggunaan maklumat kesihatan.

Terdapat keperluan untuk kajian yang lebih besar, dan direka bentuk dengan baik yang mengukur kesan jangka panjang intervensi HL dalam kalangan wanita dan lelaki pendatang.

Apakah yang kami ingin tahu?

Matlamat utama kami adalah untuk mengetahui sama ada intervensi HL boleh membantu pendatang untuk meningkatkan HL mereka. Kami juga ingin mengetahui sama ada pendatang wanita atau lelaki mendapat lebih banyak manfaat daripada intervensi ini.

Apakah yang kami lakukan?

Kami mencari kajian yang melihat pada intervensi untuk meningkatkan HL dalam kalangan pendatang. Intervensi ini dibandingkan dengan 1) tiada intervensi HL (cth penjagaan standard), 2) maklumat bertulis mengenai topik kesihatan yang sama (cth. brosur ringkas), 3) intervensi HL yang tidak berkaitan (peserta menerima intervensi yang sama, tetapi maklumatnya adalah pada topik kesihatan yang berbeza ), atau 4) intervensi HL yang lain (peserta menerima intervensi yang berbeza, tetapi maklumat itu mengenai topik kesihatan yang sama ).

Kajian yang disertakan mengukur HL sama ada sebagai konsep keseluruhan atau hanya komponennya (cth. memahami maklumat kesihatan). Kami membandingkan dan merumuskan keputusan kajian dan menilai keyakinan kami terhadap bukti, berdasarkan faktor-faktor seperti kaedah dan saiz kajian.

Apakah yang kami temui?

Kami menemui 34 kajian yang melibatkan 8249 pendatang dengan pelbagai keadaan kesihatan. Semua kajian dijalankan di negara berpendapatan tinggi. Semua intervensi telah disesuaikan dengan budaya, bahasa dan tahap literasi peserta. Tiada kajian yang melaporkan bahawa intervensi HL menyebabkan kemudaratan, tetapi hanya dua kajian yang melaporkan kemungkinan kemudaratan (kebimbangan). Banyak kajian melaporkan keputusan jangka pendek (sehingga enam minggu selepas intervensi berakhir, tumpuan dalam rumusan ini). Terdapat juga beberapa penemuan pada titik masa yang kemudian (dibentangkan dalam ulasan utama).

Berbanding dengan intervensi tanpa atau tidak berkaitan HL:

Program pengurusan diri (SMP) (program jangka panjang termasuk pendidikan kumpulan dan sokongan peribadi) mungkin meningkatkan sedikit keberkesanan diri dalam menguruskan penyakit seseorang (yang bermaksud bahawa peserta mempunyai kepercayaan yang lebih tinggi dalam kebolehan mereka untuk bertindak berdasarkan maklumat kesihatan). SMP juga mungkin meningkatkan HL penyakit tertentu dan mungkin sedikit menambahbaik tingkah laku kesihatan, tetapi mungkin mempunyai sedikit kesan pada pengetahuan atau kesihatan penilaian sendiri. Kami tidak tahu sama ada SMP menambahbaik kualiti hidup (QoL) atau penggunaan perkhidmatan kesihatan.

Kursus pembinaan kemahiran HL (pendidikan kumpulan di mana peserta, contohnya, mempelajari perkara yang perlu dilakukan untuk mencegah penyakit) mungkin menambahbaik pengetahuan dan HL generik, tetapi mungkin mempunyai sedikit kesan pada literasi kemurungan atau tingkah laku kesihatan. Kami tidak tahu sama ada mereka menambahbaik kualiti hidup, hasil kesihatan, penggunaan perkhidmatan kesihatan atau keberkesanan diri.

Pendidikan audio/visual tanpa maklum balas peribadi (AVE) (termasuk pendidikan video, pendidikan komputer interaktif atau cerita foto pendidikan bercetak) mungkin menambahbaik literasi kemurungan dan penggunaan perkhidmatan kesihatan. AVE mungkin meningkatkan keberkesanan diri dan sedikit menambahbaik pengetahuan dan niat untuk mendapatkan rawatan kemurungan, tetapi mungkin mempunyai sedikit kesan pada tingkah laku kesihatan atau kemurungan. Tiada kajian melaporkan tentang QoL.

Arahan perubatan yang disesuaikan (arahan perubatan yang menggunakan bahasa mudah, ilustrasi atau gambar) boleh meningkatkan pemahaman maklumat kesihatan, tetapi mungkin mempunyai sedikit kesan terhadap pematuhan ubat. Tiada kajian melaporkan tentang QoL, hasil kesihatan, pengetahuan, penggunaan perkhidmatan kesihatan atau keberkesanan diri.

Berbanding dengan maklumat bertulis:

SMP mungkin menambahbaik sedikit literasi cetakan dan keberkesanan diri, dan numerasi kesihatan. SMP mungkin menambahbaik mana-mana HL penyakit tertentu, pengetahuan dan beberapa tingkah laku kesihatan, tetapi mungkin mempunyai sedikit kesan pada penilaian maklumat kesihatan. Kami tidak tahu sama ada SMP menambahbaik kualiti hidup, hasil kesihatan atau penggunaan perkhidmatan kesihatan.

AVE mungkin mempunyai sedikit kesan pada HL diabetes tetapi mungkin menambahbaik penilaian dan penggunaan maklumat. AVE mungkin sedikit menambahbaik pengetahuan. Tiada kajian melaporkan tentang QoL, kemurungan, tingkah laku kesihatan, keberkesanan diri atau penggunaan perkhidmatan kesihatan.

AVE berbanding dengan AVE lain:

Kami tidak pasti sama ada video naratif lebih baik daripada video pengetahuan fakta kerana buktinya sangat tidak pasti.

Adakah wanita atau lelaki pendatang mendapat manfaat yang berbeza daripada intervensi HL?

Diabetes HL pendatang wanita mungkin bertambah baik sedikit berbanding pendatang lelaki selepas menerima AVE. Untuk perbandingan dan hasil lain kami sama ada tidak menemui bukti, atau kami tidak pasti tentang keputusannya.

Apakah batasan bukti?

Adalah mungkinbahawa peserta dalam beberapa kajian mengetahui rawatan yang mereka terima. Di samping itu, kajian telah dilakukan dalam kumpulan pendatang yang berbeza, dari kawasan yang berbeza dan dengan keadaan kesihatan yang berbeza, dan beberapa kajian memasukkan sedikit peserta.

Sejauh manakah bukti ini terkini?

Ulasan ini adalah terkini sehingga 2 Februari 2022.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Nila Pillai (Cochrane Malaysia). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information