Adakah ubat antipsikotik mengurangkan tingkah laku gelisah dan gejala psikotik pada penghidap penyakit Alzheimer dan demensia vaskular?

Mesej utama

Adalah tidak pasti sama ada ubat antipsikotik yang lebih lama, generasi pertama atau 'tipikal' seperti haloperidol mempunyai kesan pada tingkah laku gelisah (contohnya, keresahan dan agresif); kesannya yang paling baik adalah sederhana. Ubat antipsikotik biasa boleh mengurangkan sedikit khayalan dan halusinasi pada penghidap demensia.

Ubat antipsikotik 'atipikal' generasi kedua yang lebih baru, seperti risperidone, mungkin mengurangkan sedikit tingkah laku gelisah. Ubat antipsikotik atipikal mungkin tidak mempunyai kesan pada gejala psikotik.

Kedua-dua ubat antipsikotik generasi pertama dan kedua meningkatkan risiko mengantuk dan kejadian lain yang tidak diingini. Apabila gejala pesakit bertambah baik selepas antipsikotik telah ditetapkan, ini mungkin sebahagian besarnya disebabkan oleh penambahbaikan semula jadi dalam gejala dari semasa ke semasa.

Apakah ubat antipsikotik?

Antipsikotik ialah ubat yang ditetapkan untuk merawat gejala psikotik dan tingkah laku yang sangat terganggu dalam beberapa penyakit mental, seperti skizofrenia, gangguan bipolar dan kemurungan yang teruk. Gejala psikotik ialah khayalan (kepercayaan yang sangat kuat terhadap sesuatu yang tidak benar) dan halusinasi (merasakan – biasanya melihat atau mendengar – perkara yang sebenarnya tidak ada).

Ubat antipsikotik sering dibahagikan kepada dua kumpulan:

1. antipsikotik generasi pertama (lebih lama) atau 'tipikal', contohnya haloperidol;

2. antipsikotik generasi kedua (lebih baru) atau 'atipikal', contohnya risperidone.

Kedua-dua jenis boleh menyebabkan kesan yang tidak diingini, seperti mengantuk, gangguan pergerakan (contohnya, pergerakan yang tidak disengajakan atau tidak terkawal, gegaran, pengecutan otot) dan penambahan berat badan.

Mengapa penghidap demensia memerlukan antipsikotik?

Orang yang mengalami demensia sering mengalami halusinasi dan khayalan semasa sakit mereka untuk beberapa waktu. Terutamanya pada peringkat akhir penyakit, mereka juga mungkin menunjukkan tingkah laku gelisah seperti kegelisahan, menjerit atau agresif terhadap orang lain. Adalah amat penting untuk cuba memahami apa yang mendorong tingkah laku ini dan terdapat banyak cara untuk menguruskannya yang tidak melibatkan ubat. Walau bagaimanapun, ubat antipsikotik sering ditetapkan kepada penghidap demensia bagi masalah ini. Di kebanyakan negara, mereka lebih jarang menetapkan ubat ini berbanding dengan dahulu tetapi mereka masih menggunakannya apabila gejala menjadi teruk.

Apakah yang kami ingin ketahui?

Kami ingin mengetahui sejauh mana ubat antipsikotik mengurangkan keterukan gejala kegelisahan dan psikotik pada orang yang mempunyai dua jenis demensia yang paling biasa, iaitu demensia akibat penyakit Alzheimer dan demensia vaskular. Kami juga ingin memahami berapa ramai orang yang mengalami kesan yang tidak diingini.

Apa yang kami lakukan?

Kami mencari kajian yang menyiasat ubat antipsikotik yang kini tersedia di Amerika Syarikat atau Kesatuan Eropah dengan membandingkannya dengan plasebo (pil 'dummy'), untuk rawatan kegelisahan yang berterusan atau gejala psikotik. Individu dalam kajian harus menghidapi penyakit Alzheimer atau demensia vaskular. Mereka mungkin terdiri dari pelbagai peringkat dan tinggal di rumah jagaan, hospital, atau komuniti. Kebanyakan individu dalam kajian harus mengalami kegelisahan (termasuk agresif) atau gejala psikotik, atau kedua-duanya, pada permulaan kajian.

Kami membandingkan dan merumuskan keputusan kajian dan menilai keyakinan kami terhadap bukti, berdasarkan faktor seperti kaedah dan saiz kajian.

Apa yang kami temui?

Kami menemui 24 kajian yang melibatkan 6090 orang.

- enam kajian menguji antipsikotik tipikal, kebanyakannya haloperidol;

- 20 kajian menguji antipsikotik atipikal, seperti risperidone, olanzapine, dan aripiprazole; dan

- dua kajian menguji kedua-dua antipsikotik tipikal dan atipikal.

Semua kajian membandingkan antipsikotik dengan plasebo. Orang yang tinggal di institusi, hospital, komuniti, atau gabungan tetapan ini.

Keputusan utama

Antipsikotik tipikal (haloperidol, thiothixene) berbanding dengan plasebo:

- boleh menambahbaik sedikit gejala psikosis (2 kajian, 240 orang), tetapi kami tidak pasti tentang kesannya terhadap kegelisahan (4 kajian, 361 orang);

- mungkin meningkatkan risiko mengantuk (3 kajian, 466 orang), dan gangguan pergerakan (3 kajian, 467 orang);

- boleh meningkatkan sedikit risiko kesan tidak diingini yang serius (1 kajian, 193 orang) dan kematian (6 kajian, 578 orang).

Tiada bukti tentang gabungan risiko kesan tidak diingini yang tidak serius dan serius.

Antipsikotik atipikal (risperidone, olanzapine, aripiprazole, quetiapine) berbanding dengan plasebo:

- mungkin sedikit mengurangkan kegelisahan (7 kajian, 1971 orang) dan mungkin mengurangkan sedikit agresif (1 kajian, 301 orang), tetapi mungkin tidak membuat perbezaan penting pada gejala psikosis (12 kajian, 3364 orang);

- mungkin meningkatkan risiko mengantuk (13 kajian, 2878 orang), dan gangguan pergerakan (15 kajian, 4180 orang);

- mungkin sedikit meningkatkan risiko mengalami sebarang gabungan kesan tidak diingini yang tidak serius atau serius, risiko kesan tidak diingini yang serius, dan risiko kematian (17 kajian, 5032 orang).

Apakah batasan bukti tersebut?

Secara keseluruhannya, keyakinan kami terhadap bukti tentang antipsikotik tipikal adalah terhad dan keyakinan kami terhadap bukti tentang antipsikotik atipikal adalah sederhana. Antipsikotik tipikal disiasat dalam beberapa kajian sahaja. Tambahan pula, kajian tentang antipsikotik tipikal dan atipikal tidak selalu menggunakan kaedah terbaik untuk menjalankan penyiasatan mereka, atau tidak melaporkan keputusannya. Akibatnya, kesan pada kegelisahan atau psikosis mungkin telah dianggarkan terlalu tinggi, dan kesan pada kejadian buruk dipandang remeh.

Sejauh mana bukti ini terkini?

Bukti adalah terkini sehingga 7 Januari 2021.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Cheryl Chan Zhi Ying (RCSI & UCD Malaysia Campus). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan mengenai terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my.

Tools
Information