Terapi pengaktifan tingkah laku (behavioural activation therapy) untuk kemurungan dalam kalangan orang dewasa

Soalan kajian

Dalam ulasan Cochrane ini, kami ingin mengetahui keberkesanan terapi pengaktifan tingkah laku untuk kemurungan bagi orang dewasa.

Mengapakah ini penting

Kemurungan ialah masalah kesihatan mental umum yang boleh menyebabkan perasaan sedih secara berterusan dan kehilangan minat terhadap orang, aktiviti, dan perkara yang dahulunya menyeronokkan. Seseorang yang dilanda kemurungan mungkin berasa hendak menangis, mudah marah, atau letih untuk kebanyakan masa, dan mungkin mempunyai masalah dengan tidur, tumpuan perhatian, dan daya ingatan. Ini dan simptom lain boleh menyukarkan kehidupan seharian.

Rawatan untuk kemurungan termasuk ubat-ubatan (anti-kemurungan) dan terapi psikologi (terapi bercakap). Pengaktifan tingkah laku ialah sejenis terapi psikologi yang mendorong seseorang untuk mengembangkan atau kembali kepada aktiviti yang bermakna untuk mereka. Terapi ini melibatkan penjadualan aktiviti dan pemantauan tingkah laku serta melihat situasi tertentu yang apabila mengubah tingkah laku dan aktiviti ini mungkin boleh membantu. Ahli terapi boleh menyokong orang secara peribadi, melalui telefon, atau atas talian, biasanya dalam beberapa sesi.

Ini adalah penting untuk mengetahui sama ada pengaktifan tingkah laku boleh menjadi rawatan yang berkesan dan diterima untuk ditawarkan kepada orang dengan kemurungan.

Apakah yang telah kami lakukan

Pada bulan Januari 2020, kami mencari kajian terapi pengaktifan tingkah laku untuk kemurungan dalam orang dewasa (berusia lebih dari 18 tahun). Kami mencari kajian rawak terkawal, yang mana rawatan diberikan kepada peserta kajian secara rawak; kajian-kajian ini memberikan bukti yang paling dipercayai.

Kami melibatkan 53 kajian yang mepunyai 5495 peserta. Kajian-kajian tersebut membandingkan pengaktifan tingkah laku dengan tiada rawatan, penjagaan standard atau umum, rawatan palsu (plasebo), mengambil ubat, berada dalam senarai menunggu untuk menerima rawatan, atau psikoterapi lain (terapi kognitif tingkah laku (CBT), gelombang ketiga CBT (third-wave CBT), terapi humanistik, terapi psikodinamik, dan terapi integratif).

Kajian-kajian ini dijalankan di 14 negara; dengan kebanyakannya dijalankan di AS (27 kajian). Kebanyakan kajian dilakukan dalam tempoh empat hingga 16 minggu.

Hasil kajian yang kami tumpukan ialah keberkesanan rawatan-rawatan tersebut dan sama ada mereka diterima oleh peserta. Betapa baik rawatan berjalan (keberkesanan) diukur dengan jumlah orang yang mendapat respons yang baik daripada rawatan atau tidak lagi memenuhi kriteria untuk kemurungan pada akhir fasa rawatan. Penerimaan diukur dengan menilai jumlah orang yang menarik diri daripada kajian.

Apa yang kami temui?

Pengaktifan tingkah laku mungkin merawat kemurungan lebih baik daripada menerima penjagaan biasa. Kami tidak pasti sama ada pengaktifan tingkah laku berkesan lebih baik daripada ubat atau berada dalam senarai menunggu, dan kami mendapati tiada bukti untuk hasil ini yang membandingkan pengaktifan tingkah laku dengan tiada rawatan atau rawatan plasebo.

Kami mendapati tiada perbezaan antara pengaktifan tingkah laku dan CBT dalam rawatan untuk kemurungan. Walaupun kami tidak menemui bukti yang mencukupi untuk membandingkan pengaktifan tingkah laku dengan psikoterapi lain dengan pasti, pengaktifan tingkah laku mungkin lebih baik daripada terapi humanistik, dan kami mendapati tiada perbezaan antara pengaktifan tingkah laku dan gelombang ketiga CBT (thir-wave CBT) atau terapi psikodinamik. Tiada bukti sedia ada yang membandingkan pengaktifan tingkah laku dengan terapi integratif.

Pengaktifan tingkah laku mungkin kurang dapat diterima orang berbanding penjagaan biasa. Kami mendapati tiada perbezaan dalam penerimaan pengaktifan tingkah laku berbanding dengan berada dalam senarai tunggu, tiada rawatan, mengambil ubat anti-kemurungan, atau menerima rawatan plasebo. Kami juga mendapati tiada perbezaan dalam penerimaan antara pengaktifan tingkah laku dan psikoterapi lain yang dikaji (CBT, gelombang ketiga CBT, terapi humanistik, terapi integratif). Bagi pengaktifan tingkah laku berbanding dengan terapi psikodinamik, kami tidak menemui bukti berkenaan dengan penerimaan rawatan.

Kesimpulan

Pengaktifan tingkah laku mungkin boleh menjadi rawatan yang berkesan dan diterima untuk kemurungan dalam orang dewasa. Penawaran terapi ini secara praktiknya akan memberi orang dengan kemurungan lebih banyak pilihan rawatan, dan format dan jenis pemberian yang berbeza boleh diteroka untuk memenuhi permintaan untuk sokongan kesihatan mental. Keyakinan kami dalam penemuan ini terhad akibat kepastian dalam bukti yang ditemui.

Kebanyakan penemuan adalah untuk jangka masa pendek. Ini bermakna bahawa kami tidak dapat memastikan sama ada pengaktifan tingkah laku akan membantu orang dengan kemurungan dalam jangka masa panjang.

Kepastian dalam bukti

Kepastian (keyakinan) kami dalam bukti kebanyakannya adalah rendah ke sederhana. Beberapa penemuan adalah berdasarkan hanya segelintir kajian, dengan keputusan yang dilaporkan secara kurang baik, yang mana peserta mengetahui rawatan yang diterima mereka. Oleh demikian, kami tidak pasti sejauh mana keputusan-keputusan tersebut boleh dipercayai. Kesimpulan kami mungkin akan berubah sekiranya lebih banyak kajian dijalankan.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Gurmeet Albail Singh. Disunting oleh Ong Joo Howe (HSB). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my..

Tools
Information