Pendekatan-pendekatan bukan ubat untuk mencegah delirium dalam kalangan dewasa yang menerima rawatan di hospital di luar unit-unit penjagaan intensif dan rawatan separa rapi

Soalan ulasan

Kami mengulas bukti untuk pendekatan bukan farmakologi (bukan berasaskan ubat) untuk mencegah delirium dalam kalangan dewasa di hospital, tidak termasuk mereka yang dirawat di unit penjagaan intensif (ICU, wad khusus untuk merawat pesakit-pesakit kritikal).

Latar belakang

Delirium adalah penyakit penting yang lazim dalam kalangan dewasa, terutama orang tua di hospital. Kadangkala ia dirujuk sebagai ‘keadaan bingung akut’. Biasanya, seseorang dengan delirium mengalami kebingungan secara tiba-tiba yang berubah-ubah dan sering melibatkan gangguan konsentrasi, memori dan kemahiran berfikir; pengurangan kesedaran persekitaran; mengantuk atau gelisah dan resah; dan halusinasi yang biasanya visual (melihat perkara-perkara yang sebenarnya tidak ada). Ia boleh menyedihknan individu dengan delirium dan keluarga mereka. Ia juga dikaitkan dengan peningkatan risiko komplikasi, seperti kematian di hospital, tempoh tinggal di hospital yang lebih lama, dan memerlukan lebih penjagaan selepas keluar dari hospital. Terdapat semakin banyak bukti delirium dikaitkan dengan peningkatan risiko kemerosotan memori dan kemahiran berfikir kekal, termasuk perkembangan atau kemerosotan demensia.

Pendekatan bukan farmakologi adalah pendekatan yang tidak menggunakan ubat-ubatan, tetapi memfokus kepada aspek-aspek penjagaan yang lain. Ia sudah diakui penting dalam mengurangkan risiko delirium, terutamanya intervensi multikomponen yang mensasarkan beberapa faktor risiko lazim untuk delirium. Tidak diketahui komponen mana dari intervensi-intervensi kompleks ini paling penting dalam pencegahan delirium dan ini adalah perkara yang kami ingin tahu.

Ciri-ciri kajian

Kami mencari sehingga 16 September 2020 untuk laporan-laporan kajian yang mana orang di hospital secara rawak diletakkan dalam intervensi bukan farmakologi bertujuan untuk mencegah delirium atau dalam penjagaan hospital biasa. Kami menemui 22 kajian dengan 5718 peserta. Empat belas daripada kajian itu adalah pendekatan multikomponen; dua kajian melihat pelbagai titik pemisahan untuk memberi transfusi darah selepas pembedahan ortopedik; enam kajian selebihnya mempertimbang pendekatan pelbagai.

Penemuan utama

Pendekatan multikomponen mungkin mengurangkan kejadian delirium sebanyak 43% berbanding penjagaan hospital biasa. Ini bermakna dua daripada lima kes delirium dalam kalangan dewasa di wad hospital (selain ICU) boleh dicegah dengan pendekatan multikomponen bukan farmakologi. Intervensi-intervensi ini juga dapat mengurangkan jangka masa tempoh tinggal di hospital dan, jika delirium berlaku, ia boleh mengurangkan tempoh episod delirium sebanyak sekitar satu hari. Walau bagaimanapun, pendekatan-pendekatan ini mungkin mempunyai sedikit atau tiada kesan terhadap risiko kematian di hospital. Kajian-kajian ini tidak menyiasat kesan intervensi multikomponen terhadap perkembangan atau kemerosotan demensia. Terdapat sedikit maklumat tentang sama ada intervensi-intervensi tersebut memberi sebarang kesan mudarat.

Menggunakan teknik statistik baru, kami mendapati komponen-komponen berikut dalam setiap intervensi adalah paling penting untuk mencegah delirium: (a) cuba untuk mengorientasi orang dengan persekitaran mereka dan menjadikan persekitaran lebih biasa, (b) memberi rangsangan memori dan kemahiran berfikir, dan (c) cuba memperbaik tidur (melalui langkah-langkah tidur yang sihat). Kami tidak pasti tentang kesan komponen-komponen lain, terutamanya kerana tiada bukti tersedia yang cukup. Lebih banyak penyelidikan diperlukan untuk membanding komponen-komponen spesifik termasuk intervensi-intervensi multikomponen untuk membantu menentukan cara paling berkesan dan efisien untuk mencegah delirium.

Bukti untuk intervensi-intervensi komponen tunggal bukan farmakologi yang lain adalah sangat terhad.

Kepastian bukti

Terdapat beberapa pembatasan dalam kajian-kajian tersebut yang mungkin mempengaruhi keputusan. Dalam kebanyakan kajian yang disertakan, orang dalam kajian itu dan kadangkala penyelidik mengetahui siapa yang menerima dan tidak menerima intervensi.

Terdapat sangat sedikit maklumat tentang orang dengan demensia, yang lebih berisiko mengalami delirium.

Pembiayaan eksternal

Pembiayaan untuk menyokong para penyelidik menjalani ulasan ini diterima dari Institut Kebangsaan untuk Penyelidikan Kesihatan (Incentive Award 130725) dan Penyelidikan Perubatan Scotland (Vacation Scholarship).

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Muhammad Faiz Mohd Adenan (University of New South Wales, Sydney). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Universiti Manipal Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information