Rawatan untuk aneurisma intrakranial yang tidak terganggu

Latar belakang

Aneurisma intrakranial adalah pembengkakan saluran darah yang tidak normal di otak. Ia boleh hadir tanpa menyebabkan apa-apa gejala, tetapi sebilangan kecil akhirnya akan menyebabkan pendarahan, ini akan menyebabkan kematian atau kecacatan yang serius. Pendekatan rawatan untuk aneurisma intrakranial merangkumi pengurusan konservatif (merawat faktor risiko seperti terkanan darah), kliping mikrosurgikal (operasi di mana klip diletakkan pada aneurisma), dan gegelung endovaskular (operasi kecil di mana gegelung diletakkan di dalam aneurisma untuk menyekatnya). Setiap pendekatan membawa risiko dan manfaat yang berbeza, dan pada masa ini, terdapat ketidakpastian mengenai pendekatan yang ideal.

Soalan ulasan

Kami mengkaji keberkesanan dalam menjalankan rawatan konservatif berbanding dengan rawatan intervensi(kliping mikrosurgikal atau gegelung endovaskular) dan kliping mikrosurgikal berbanding dengan gegelung endovaskular bagi individu dengan aneurisma intrakranial yang tidak terganggu.

Tarikh-tarikh carian

Carian terkini adalah sehingga 25 Januari 2020.

Ciri-ciri kajian

Kami melibatkan dua percubaan dalam tinjauan: satu percubaan rawak (sejenis kajian di mana peserta dibahagikan secara rawak ke salah satu daripada dua atau lebih kumpulan rawatan) yang diterbitkan pada tahun 2011 dengan melibatkan 80 peserta, dimana dalam percubaan rawak ini, ia menilai rawatan konservatif berbanding dengan gegelung endovaskular, dan satu lagi percubaan rawak yang diterbitkan pada tahun 2017 dengan melibatkan 136 peserta, dimana dalam percubaan ini ia menilai kliping mikrosurgikal berbanding dengan gegelung endovaskular bagi individu dengan aneurisma intrakranial yang tidak terganggu.

Hasil utama

Bukti terhad yang didapati tidak menunjukkan perbezaan penyakit pada tahun pertama dalam rawatan konservatif atau rawatan intervensi (gegelung endovaskular atau kliping mikrosurgikal) pada aneurisma intrakranial yang tidak terganggu.

Kualiti bukti

Kami menemui sedikit bukti mengenai rawatan yang paling baik untuk aneurisma intrakranial yang tidak terganggu. Kualiti keseluruhan bukti ini sangat rendah kerana bilangan peserta yang kecil dan juga kehilangan data. Kajian lanjutan dengan jumlah peserta yang lebih besar diperlukan.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Nicole Fong Chui Jiet (RCSI & UCD Medical College). Disunting oleh Chan Mei Wai (RCSI&UCD Malaysia Campus). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my.

Tools
Information