Apakah kaedah pengesanan promoter metilasi MGMT yang mempunyai kebolehan terbaik dari segi peramalan kelangsungan hidup pesakit glioblastoma yang menerima rawatan temozolomide?

Apakah matlamat ulasan ini?

Glioblastoma adalah sejenis ketumbuhan otak yang sangat agresif. Orang yang mempunyai glioblastoma biasanya dirawat dengan pembedahan membuang tumor diikuti dengan radioterapi, kemoterapi, atau kedua-duanya. Kemoterapi standard untuk glioblastoma ialah temozolomide. Sesetengah tumor glioblastoma mempunyai pengubahsuaian tertentu dalam DNA mereka (yang mengandungi kod genetik organisma), dan mengetahui sama ada seseorang mempunyai pengubahsuaian ini berguna untuk meramalkan berapa lama orang itu boleh hidup selepas diagnosis mereka dengan kanser dan bagaimana mereka boleh bertindak balas terhadap temozolomide. Pengubahsuaian ini dikenali sebagai 'metilasi rantau promoter MGMT' dan pengubahsuaian ini dapat menjejaskan ekspresi protein MGMT (cara MGMT dihasilkan dan diubah suai). Terdapat pelbagai kaedah untuk mengenalpasti sama ada suatu ketumbuhan mempunyai pengubahsuaian ini. Dalam ulasan ini, kami cuba mengenalpasti yang mana kaedah terbaik.

Apa yang kami temui

Kami mengenalpasti 32 buah kajian yang membandingkan kaedah-kaedah berbeza untuk menentukan sama ada suatu promoter MGMT telah mengalami metilasi. Tiga kaedah utama yang dikenalpasti ialah 'tindak balas rantai polimerase khusus metilasi (PCR),' 'pyrosequencing' (kedua-duanya melihat secara langsung di rantau promoter MGMT) dan 'imunohistokimia' (yang melihat ekspresi protein MGMT). Kami mendapati bahawa PCR khusus metilasi dan pyrosequencing lebih baik untuk meramalkan kelangsungan hidup keseluruhan daripada imunohistokimia. PCR khusus metilasi dan pyrosequencing dapat dilaksanakan dengan menyasarkan bahagian DNA ketumbuhan yang berlainan. Pyrosequencing boleh dijalankan dengan menggunakan nilai ambang yang berbeza untuk menentukan sama ada sesebuah ketumbuhan itu dimetilasi atau tidak. Kami tidak dapat mengenal pasti isyarat yang sangat jelas dari segi bahagian terbaik DNA untuk disasarkan atau yang merupakan ambang pemotongan terbaik.

Sejauh manakah keputusan kajian dalam ulasan ini dapat dipercayai?

Kami menilai keyakinan kami terhadap bukti sebagai 'sederhana' untuk kesimpulan kami tentang PCR khusus metilasi, tetapi sebagai 'rendah' ​​untuk pyrosequencing. Walaupun terdapat banyak kajian, mereka semua melihat varian kaedah yang berbeza, jadi sukar untuk menentukan varian mana yang terbaik.

Apakah implikasi ulasan ini?

Ulasan kami menunjukkan bahawa kedua-dua kaedah PCR khusus metilasi dan pyrosequencing dapat meramal kelangsungan hidup lebih baik jika dibandingkan dengan kaedah imunohistokimia. Terdapat beberapa bukti bahawa pyrosequencing mungkin lebih baik daripada PCR khusus metilasi dalam meramalkan kemandirian keseluruhan, bergantung pada sasaran DNA dan ambang potong yang digunakan. Kami melaporkan sasaran bahagian DNA yang paling kerap digunakan dalam pendekatan PCR khusus metilasi dan pyrosequencing. Kami menerangkan ambang potong yang digunakan dalam pyrosequencing, walaupun tidak jelas yang mana yang terbaik.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Nathanael Lee Yong Sheng (Unit Kawalan Infeksi, Hospital Seberang Jaya). Disunting oleh Khaw Loke Tim (International Medical University). Untuk sebarang pertanyaaan berkenaan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information