Adakah fenofibrate berkesan untuk retinopati diabetes?

Apakah matlamat ulasan ini?

Matlamat ulasan ini adalah untuk mengetahui sama ada fenofibrate mencegah individu yang mempunyai diabetes jenis 1 (T1D) atau jenis 2 (T2D) daripada mengalami retinopati diabetes (DR), atau sekiranya mereka telah mempunyai retinopati diabetes (DR), ia dapat memperlahankan perkembangannya, berbanding dengan plasebo atau pemerhatian. 

Mesej utama

- secara keseluruhan, fenofibrate mungkin menghasilkan sedikit atau tiada perbezaan dalam perkembangan DR apabila dibandingkan dengan plasebo (bukti kepastian sederhana)

- bagi individu yang mempunyai DR, perkembangan DR mereka mungkin menjadi perlahan apabila mereka mengambil fenofibrate (bukti kepastian sederhana)

- walaupun jarang berlaku, kesan sampingan meningkat dengan pengambilan fenofibrate (bukti kepastian tinggi)

- lebih banyak kajian diperlukan; contohnya, kajian yang melibatkan individu dengan diabetes jenis 1, kajian yang mengambil kira rawatan lain yang diterima oleh pesakit diabetes dan paling utama, kajian yang memasukkan dapatan yang penting kepada pesakit diabetes

Apakah yang dikaji dalam ulasan ini?

DR, keadaan yang berlaku apabila saluran darah di bahagian belakang mata mengalami masalah, merupakan punca utama hilang penglihatan di seluruh dunia dan merupakan satu beban kesihatan kepada masyarakat. Mencegah kejadiannya, atau sekiranya telah ada, memperlahankan perkembangannya mesti dilakukan untuk menyelamatkan penglihatan. Ulasan ini meringkaskan bukti sekiranya fenofibrate mungkin berguna untuk tujuan ini (jika dibandingkan dengan plasebo atau pemerhatian).

Apakah keputusan utama ulasan ini?

Kami mendapati dua kajian. Secara keseluruhan, kajian ini menyertakan 15,313 individu dengan T2D yang disusul selama empat atau lima tahun. Kajian ini dijalankan di Amerika Syarikat, Kanada, Australia, Finland dan New Zealand. Satu kajian dibiayai oleh kerajaan manakala satu lagi kajian dibiayai oleh industri.

Bagi individu yang mempunyai T2D, apabila mereka yang mungkin mempunyai DR atau tidak dilibatkan dalam kajian bersama, bukti kepastian sederhana menunjukkan bahawa fenofibrate berkemungkinan memberi sedikit atau tiada perbezaan dalam perkembangan DR jika dibandingkan dengan plasebo. Walau bagaimanapun, apabila individu yang mempunyai DR sahaja yang dilibatkan dalam kajian, bukti menunjukkan bahawa perkembangan DR mereka diperlahankan dengan pengambilan fenofibrate. Kejadian buruk yang serius jarang berlaku, tetapi risikonya meningkat untuk mereka yang mengambil fenofibrate (bukti kepastian tinggi).

Lebih banyak kajian diperlukan. Sebagai contoh, kajian yang melibatkan individu dengan diabetes jenis 1 dan paling utama, kajian yang memasukkan dapatan yang penting untuk individu dengan diabetes seperti bilangan orang yang mengalami perubahan dalam penglihatan atau hilang penglihatan, mereka yang mengalami retinopati diabetes proliferatif (pertumbuhan saluran darah baharu) atau yang memerlukan suntikan terapi faktor pertumbuhan endotelium anti-vaskular atau steroid. Ukuran kualiti hidup yang berkaitan dengan kesihatan dan penglihatan, kebolehterimaan rawatan oleh individu yang terlibat dan kos rawatan juga harus diambil kira.

Sejauh manakah ulasan ini terkini?

Penulis ulasan membuat carian terhadap kajian yang telah diterbitkan sehingga 1 Februari 2022.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Siti Sarah Fazalul Rahiman (Universiti Sains Malaysia). Disunting oleh Ahmad Filza Ismail (afilza@usm.my). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information