Implantasi injap aorta transkateter berbanding pembedahan penggantian injap aorta dalam kalangan orang dengan stenosis aorta yang teruk berisiko pembedahan yang rendah

Soalan ulasan

Adakah pendekatan transkateter, berbanding pembedahan jantung terbuka, bagi penggantian injap aorta memperbaiki hasil dalam kalangan orang dengan stenosis aorta yang teruk dan berisiko pembedahan yang rendah?

Latar belakang

Stenosis aorta (AS) adalah penyempitan laluan keluar ventrikel kiri jantung (di mana aorta bermula). Ia sering menjadi lebih teruk dari semasa ke semasa. Tahap keterukannya boleh dibahagi kepada ringan, sederhana, teruk, dan sangat teruk; dan ia dibezakan dengan imbasan ultrasound jantung dan ciri-ciri klinikal lain. Apabila telah menjadi teruk, rawatan utama melibatkan pembedahan untuk menggantikan injap. Satu pendekatan alternatif adalah menggunakan implantasi injap aorta transkateter (TAVI). Pendekatan ini memperbaiki hasil dalam kalangan individu yang tidak dapat dibedah atau berisiko sederhana hingga tinggi untuk pembedahan. Walau bagaimanapun, masih tidak jelas jika TAVI bermanfaat kepada orang dengan AS yang teruk dan berisiko pembedahan yang rendah.

Tarikh Carian

Bukti adalah terkini sehingga April 2019. Kami mencari literatur dan mendapati sejumlah 3092 petikan yang berpotensi relevan. Selepas mengulas setiap petikan tersebut, kami mendapati 13 artikel yang diterbitkan menerangkan empat kajian klinikal yang boleh membantu menjawab soalan kami.

Ciri-ciri kajian

Empat kajian klinikal ini melibatkan 2818 peserta yang pilih secara rawak untuk menjalani TAVI atau pembedahan penggantian injap aorta (SAVR). Kajian-kajian tersebut dijalankan di berbilang pusat di Australia, Kanada, Perancis, Jepun, Belanda, New Zealand, Amerika Syarikat, Denmark, dan Sweden.

Keputusan utama

Bukti kepastian sederhana daripada kajian klinikal menunjukkan, dalam jangka pendek (iaitu semasa hospitalisasi hingga 30 hari susulan), mungkin ada sedikit atau tiada perbezaan antara TAVI berbanding SAVR bagi risiko kematian akibat sebarang sebab, strok (kecederaan otak), infarksi miokardium (kecederaan atau kematian otot jantung), atau kematian akibat jantung (misalnya infarksi miokardium atau kegagalan pam otot jantung). Bukti berkualiti rendah menunjukkan TAVI mungkin boleh mengurangkan risiko kemasukan semula ke hospital berbanding SAVR. Walau bagaimanapun, kami tidak pasti sama ada TAVI berbanding SAVR mempengaruhi tempoh inap hospital, walaupun ia dilihat berkait dengan tempoh hospitalisasi yang lebih singkat. Bukti kepastian tinggi menunjukkan kurang orang mengalami pemfibrilan atrium (sejenis ritma jantung tidak regular), kecederaan buah pinggang akut (kerosakan buah pinggang), dan perdarahan apabila menjalani TAVI, berbanding SAVR. Walau bagaimanapun, bukti kepastian sederhana menunjukkan TAVI mungkin meningkatkan risiko implantasi perentak jantung kekal (peranti yang diletak untuk tetapkan rentak jantung secara buatan), berbanding SAVR.

Kualiti bukti

Kami menilai kualiti keseluruhan bukti adalah sederhana bagi kebanyakan hasil yang relevan (kematian, strok, infarksi miokardium, kematian jantung, dan risiko implantasi perentak jantung kekal), kecuali kemasukan semula ke hospital (kualiti bukti rendah) dan tempoh inap di hospital (kualiti bukti sangat rendah). Bukti bagi pemfibrilan atrium, kecederaan buah pinggang akut, dan perdarahan adalah bukti kajian yang berkualiti tinggi.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Nur Syafiah Syazwani Binti Abdul Manap (RCSI & UCD Malaysia Campus). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information