Apakah kesan ubat herba bukan Cina untuk orang yang mengalami dispepsia berfungsi?

Keputusan utama

Kami telah mengenalpasti beberapa ubat herba yang berkesan dalam memperbaiki gejala dan kesejahteraan diri dalam orang yang mengalami dispepsia berfungsi Juga, mereka mungkin tidak terkait dengan peristiwa penting yang tidak diingini berbanding dengan rawatan palsu. Namun begitu, kami telah menjumpai sedikit bukti tentang perbandingan keberkesanan ubat herba dan rawatan lain.

Kesan ubat herba mungkin perlu dibandingkan dengan rawatan perubatan biasa untuk dispepsia berfungsi untuk menilai keberkesanan relatifnya. Lebih banyak kajian berkualiti tinggi diperlukan untuk dispepsia berfungsi, terutamanya dalam orang yang mempunyai komorbiditi gastrousus biasa.

Latar belakang

Apakah itu dispepsia berfungsi?

Dispepsia berfungsi adalah masalah yang kerap berlaku dalam kalangan orang dewasa. Ia mempunyai ciri rasa sakit dan ketidakselesaan di dalam perut. Walau bagaimanapun, tidak seperti dispepsia organik, gejala ini tidak boleh dipersalahkan pada ulser atau luka lain dalam perut atau usus.

Bagaimanakah dispepsia berfungsi dirawat?

Rawatannya termasuklah pendekatan ubat dan bukan ubat, tetapi sejauh mana ia berfungsi adalah tidak diketahui. Pelbagai produk herba telah diuji, sehingga beberapa tahap, sebagai rawatan yang berkemungkinan untuk keadaan ini.

Apakah yang ingin kami ketahui?

Dalam ulasan ini, kami melihat semua kajian sedia ada mengenai subjek ini untuk mengetahui jika mana-mana herba ini boleh menambahbaik gejala dan kesejahteraan diri, dan jika ianya selamat.

Ciri-ciri kajian

Apakah yang telah kami lakukan?

Kami mencari kajian yang menyiasat tentang ubat herba bukan Cina yang dibandingkan dengan rawatan biasa atau rawatan lain pada orang yang mengalami dispepsia berfungsi. Kami membandingkan dan meringkaskan keputusannya tentang gejala, kesejahteraan diri, dan kesan yang tidak diingini, dan menilai keyakinan kami terhadap bukti mengikut kaedah kajian dan bilangan orang dalam kajian-kajian tersebut.

Ringkasan keputusan

Apakah yang telah kami dapati?

Kami mendapati 41 kajian melibatkan 4477 orang dengan dispepsia berfungsi yang menilai 27 produk herba. Kebanyakannya membandingkan produk herba dengan plasebo (tablet tiruan), walaupun beberapa kajian membandingkannya dengan ubat seperti omeprazole, rawatan H pylori , atau rawatan lain. Tempoh kajian berbeza dari 15 hari hingga 12 minggu. Kajian telah dijalankan di banyak negara di seluruh dunia; 12 daripadanya dijalankan di Iran. Industri farmaseutikal menyediakan dana untuk 14 kajian, institusi-institusi kerajaan membiayai lapan, sebuah persatuan perubatan membiayai satu kajian dan selebihnya tidak menyatakan bagaimana mereka dibiayai.

Keputusan utama

STW5 (dikenali secara komersial sebagai Iberogast kerana salah satu herba yang disertakan ialah Iberis amara L. ) boleh mengurangkan gejala dispepsia global berbanding dengan plasebo dalam satu atau dua bulan. SWT5 mungkin tidak lebih berkesan daripada plasebo dalam meningkatkan kesejahteraan diri, tetapi hanya satu kajian kecil yang mengukur hal ini. Dari segi keselamatan, kesan yang tidak diingini mungkin serupa jika dibandingkan dengan plasebo.

Minyak pudina dan jintan mungkin mengakibatkan pengurangan sederhana hingga besar dalam gejala dispepsia global dan kesejahteraan diri yang lebih baik berbanding rawatan simulasi pada satu bulan. Walau bagaimanapun, mungkin terdapat sedikit atau tiada perbezaan dalam kadar kesan yang tidak diingini antara intervensi ini dan plasebo.

Curcuma longa mungkin mengurangkan gejala global dispepsia dan meningkatkan kesejahteraan diri berbanding plasebo pada empat minggu. Walau bagaimanapun, mungkin terdapat sedikit atau tiada perbezaan dalam kadar kesan yang tidak diingini antara intervensi ini dan plasebo.

Kami mendapati bukti bahawa ubat herba berikut boleh menambahbaik gejala dispepsia berbanding plasebo: Lafonesia pacari, Nigella sativa, articok , Boensenbergia rotunda, Pistacia lenticus, Enteroplant , Ferula asafoetida, halia dan articok , Glycyrrhiza glabra, OLNP- 06, lada merah , Cuadrania tricuspidata, jollab, dan Pimpinella anisum . Mentha pulegium dan minyak kayu manis mungkin memberikan sedikit atau tiada perbezaan berbanding plasebo; lebih-lebih lagi, Mentha longifolia mungkin meningkatkan gejala dyspeptik. Hampir semua kajian melaporkan sedikit atau tiada perbezaan dalam kadar kesan yang tidak diingini berbanding plasebo, kecuali lada merah, yang mungkin mengakibatkan risiko kesan tidak diingini yang lebih tinggi berbanding plasebo. Kebanyakan kajian tidak melaporkan tentang kesejahteraan diri peserta.

Jika dibandingkan dengan ubat-ubatan lain, kami hanya mendapati bahawa gabungan minyak pati nampaknya memberikan kelegaan yang lebih baik daripada gejala berbanding omeprazole.

Kepastian bukti

Apakah batasan bukti?

Kami mempunyai sedikit keyakinan terhadap bukti ini, kerana kami mendapati sedikit kajian untuk setiap ubat herba, sedikit peserta untuk setiap perbandingan, dan sedikit perbandingan antara satu sama lain. Tambahan juga, kebanyakan kajian mempunyai batasan dalam reka bentuk mereka. Selain itu, banyak kajian tidak menyatakan dengan jelas bagaimana mereka mendiagnos dispepsia berfungsi.

Sejauh manakah bukti ini terkini?

Bukti adalah terkini sehingga 22 Disember 2022.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Nurfarah Nazira Mazeri (RCSI & UCD Malaysia Campus). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information