Apakah itu sindrom kesakitan pundi kencing?
Sindrom kesakitan pundi kencing (BPS; juga dikenali sebagai sindrom pundi kencing yang menyakitkan atau interstitial cystitis) adalah keadaan sakit jangka panjang yang menjejaskan pundi kencing. ‘Sindrom’ merujuk kepada kumpulan gejala. Dalam BPS, gejala-gejala ini termasuk: kesakitan yang sangat di pelvis (terasa di bawah pusat); desakan yang kuat secara tiba-tiba untuk membuang air kecil; perlu membuang air kecil lebih kerap daripada biasa; dan bangun beberapa kali pada waktu malam untuk membuang air kecil.
BPS lebih lazim dalam wanita. Kami tidak mengetahui apa yang menyebabkannya atau bagaimana untuk menyembuhkannya. Gejala-gejala kadang-kala datang dan pergi secara berperingkat. BPS boleh menjejaskan gaya hidup, pekerjaan, kesihatan emosi dan hubungan dengan ketara.
Rawatan untuk BPS
Perubahan gaya hidup biasanya dicuba dahulu, kemudian ubat dan terapi sokongan. Pembedahan mungkin diperlukan sebagai usaha terakhir.
Ubat yang digunakan termasuklah natrium pentosan polisulfat - yang boleh membantu memulihkan permukaan dalaman pundi kencing - anti-keradangan, antidepresan dan antihistamin. Ubat yang menghalang hubungan di antara saraf dan otot boleh disuntik ke dalam otot pundi kencing untuk cuba merehatkannya (‘sekatan neuromuskular’). Terapi dan rawatan sokongan termasuk terapi tingkah laku, fisioterapi, latihan semula pundi kencing, terapi psikologi dan rangsangan saraf elektrik transcutaneous (TENS).
Soalan ulasan
Dalam Ulasan Cochrane ini, kami ingin mengetahui rawatan yang mana paling berkesan untuk merawat BPS.
Apa yang kami lakukan?
Kami mencari kajian yang melihat kepada sebarang jenis rawatan untuk BPS. Kami mencari kajian rawak terkawal, yang mana rawatan diterima seseorang ditentukan secara rawak, kerana kajian-kajian ini biasanya memberikan bukti yang paling dipercayai mengenai rawatan.
Tarikh carian
Kami menyertakan bukti yang diterbitkan sehingga 11 Mei 2018. Kami melakukan pencarian lebih lanjut pada 5 Jun 2019, yang menghasilkan empat kajian kecil yang telah disaring untuk kelayakan tetapi tidak dimasukkan ke dalam ulasan ini.
Apa yang kami temui
Kami menemui 81 kajian melibatkan 4674 orang dengan BPS. Kajian terbesar menyertakan 369 orang, dan kajian terkecil menyertakan 10 orang. Kebanyakan kajian berjalan sekitar tiga bulan; hanya enam kajian berjalan selama 12 bulan atau lebih lama. Dua puluh empat kajian dibiayai oleh syarikat farmaseutikal.
Kami menemui 65 rawatan untuk BPS, yang kami kumpulkan ke dalam 31 kategori berdasarkan bagaimana rawatan tersebut berfungsi. Dalam kebanyakan kajian, rawatan untuk BPS dibandingkan dengan rawatan plasebo (atau rawatan palsu). Kami membandingkan semua rawatan dengan satu sama lain menggunakan kaedah matematik yang dipanggil meta-analisis rangkaian.
Apakah keputusan ulasan kami?
Selepas 12 bulan, antidepresan atau sekatan neuromuskular (dan beberapa rawatan lain) dapat memperbaiki gejala-gejala BPS lebih banyak daripada plasebo, tetapi kami tidak pasti mengenai keputusan ini. Kami tidak menemui bukti yang mencukupi untuk mengetahui jika natrium polisulfat pentosan memperbaiki gejala-gejala.
Kami tidak pasti sama ada rawatan selama 12 bulan dengan antidepresan, sekatan neuromuskular atau natrium polisulfat pentosan mengurangkan kesakitan (seperti diukur pada satu skala); berapa kali seseorang perlu membuang air kecil pada waktu siang; atau berapa kali seseorang perlu bangun untuk membuang air kecil pada waktu malam.
Keyakinan kami terhadap keputusan
Kami tidak pasti mengenai keputusan kami kerana kami tidak menemui bukti mencukupi yang boleh dipercayai. Walaupun kami memperoleh keputusan dari 81 kajian, kebanyakan kajian tersebut adalah kecil dan tidak menyertakan orang yang mencukupi untuk kami yakin dengan keputusannya. Beberapa kajian (30%) dijalankan oleh syarikat farmaseutikal, dan ini mungkin mempengaruhi bagaimana kajian-kajian tersebut dirancang, dijalankan dan dilaporkan. Keputusan kami mungkin berubah apabila keputusan dari lebih banyak kajian yang lebih besar, menjadi tersedia.
Kesimpulan
Kami tidak menemui bukti mencukupi yang boleh dipercayai mengenai seberapa baik ubat, terapi tingkah laku, fisioterapi dan sekatan neuromuskular berkesan untuk merawat semua, atau sebarang, gejala-gejala BPS.
Diterjemahkan oleh Muhammad Faiz Mohd Adenan (University of New South Wales, Sydney). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Sebarang terjemahan sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my