Bolehkah higin tangan mencegah jangkitan dalam kalangan bayi baru lahir?

Soalan ulasan

Bolehkah higin tangan mencegah jangkitan dalam kalangan bayi baru lahir?

Mesej utama:

1. Dua peratus klorheksidina glukonat ((CHG) detergen antiseptik) mungkin mengurangkan risiko jangkitan bakteria dalam kalanga neonat berbanding higin tangan alkohol dalam tempoh 28 hari pertama kehidupan.

2. Tiada perbezaan kesan yang tidak diingini daripada pelbagai intervensi higin tangan pada kulit penjaga.

3. Kami tidak pasti jenis higin tangan yang terbaik untuk mencegah jangkitan dalam kalangan bayi baru lahir.

Mengapa higin tangan penting?

Setiap tahun, kira-kira 500,000 bayi baru lahir meninggal dunia akibat jangkitan bakteria. Kebanyakan kematian berlaku di negara-negara miskin. Tangan ibu dan penjaga lain menyimpan banyak kuman yang diperoleh semasa rembesan sentuhan dan penukaran lampin; ia dikaitkan dengan jangkitan pada bayi baru lahir. Jangkitan boleh dicegah jika penjaga bayi mengamalkan higin tangan yang baik. 

Apakah higin tangan?

Higin tangan merujuk kepada sebarang bentuk pembersihan tangan. Satu lagi perkataan untuk higin tangan ialah mencuci tangan, yang bermaksud mencuci tangan dengan sabun dan air biasa atau antiseptik.

Bagaimanakah higin tangan dijangka berfungsi?

Higin tangan yang kerap dan baik oleh ibu, penjaga dan pekerja penjagaan kesihatan boleh mengurangkan jangkitan bayi baru lahir dengan mengurangkan kotoran dan kuman pada tangan mereka, lantas mengurangkan keupayaan untuk menjangkiti bayi.

Apa yang kami ingin tahu?

Kami ingin tahu antiseptik, sabun atau alkohol yang lebih baik untuk higin tangan bagi mencegah jangkitan pada bayi baru lahir di pusat komuniti dan penjagaan kesihatan.

Kami juga ingin tahu sama ada sebarang produk higin tangan boleh menyebabkan mudarat kepada ibu dan pekerja penjagaan kesihatan.

Apa yang kami lakukan?

Kami mencari kajian-kajian yang dijalankan dalam komuniti atau pusat penjagaan kesihatan yang membandingkan manfaat dan risiko sebarang bentuk produk higin tangan (seperti sabun, antiseptik, alkohol, sanitiser tangan atau sapuan tangan) dengan jenis-jenis lain atau terhadap produk tanpa higin tangan untuk pencegahan jangkitan dalam kalangan bayi baru lahir. Kami mencari kajian-kajian yang relevan sehingga Julai 2021. Kami membanding dan merumus keputusan kajian dan menilai keyakinan terhadap bukti, berdasarkan kualiti kajian-kajian 

Apa yang kami dapati?

Kami sertakan enam kajian melibatkan jururawat yang bekerja di unit rawatan intensif hospital, semua neonat semasa kemasukan, dan wanita hamil dalam persekitaran komuniti. Tiga daripada kajian itu melibatkan 279 jururawat, dan satu kajian tidak melaporkan dengan jelas berapa ramai jururawat yang direkrut ke dalam kajian; dua kajian lain melibatkan 361 wanita hamil dari persekitaran komuniti. Kajian-kajian membandingkan 'detergen antiseptik' dengan alkohol sapuan tangan (sanitiser); 'detergen antiseptik' berbanding sabun biasa; pembersih tangan alkohol berbanding 'penjagaan biasa'; detergen antiseptik berbanding 'penjagaan biasa' dan antiseptik yang mengandungi iodin berbanding yang lain (prepodyne berbanding betadine).

Dua peratus detergen antiseptik boleh mengurangkan risiko jangkitan bakteria pada neonat berbanding pembersih tangan alkohol dalam tempoh 28 hari pertama kehidupan. Ulasan kami tidak menyediakan bukti yang menyokong keberkesanan intervensi higin sebelah tangan berbanding yang lain untuk mencegah jangkitan dalam kalangan bayi baru lahir. Tiada di antara kajian-kajian tersebut meneliti isu penting lain seperti tempoh tinggal di hospital. Tiada perbezaan kesan yang tidak diingini daripada pelbagai intervensi higin tangan pada kulit penjaga.

Kesimpulannya, kami tidak pasti intervensi higin tangan yang lebih baik untuk mencegah jangkitan dalam kalangan bayi baru lahir. Kami menilai hanya beberapa kajian melibatkan bilangan kecil jururawat dan bayi. Tambahan juga, kebanyakan kajian yang dinilai berisiko bias tinggi. Kajian lebih besar dengan risiko bias rendah diperlukan agar kesimpulan yang boleh percaya dapat dicapai.

Apakah batasan bukti?

Kami tiada cukup maklumat yang boleh mencapai kesimpulan bermakna berkaitan produk higin tangan yang lebih baik untuk pencegahan jangkitan bayi baru lahir kerana kebanyakan kajian yang disertakan bermasalah dengan cara ia dijalankan. Kami tidak yakin dengan bukti sedia ada untuk membuat kesimpulan tentang keberkesanan intervensi higin tangan untuk mencegah jangkitan dalam kalangan bayi baru lahir.

Sumber pembiayaan kajian

Sumber pembiayaan telah diisytiharkan oleh empat daripada kajian yang disertakan, tetapi dua kajian tidak melaporkan bagaimana mereka dibiaya.

Sejauh manakah bukti ini terkini?

Bukti ini adalah terkini sehingga 12 Disember 2022.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Pang Zhi Chiing (RCSI & UCD Malaysia Campus, kelas siswazah 2020). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Universiti Manipal Malaysia. Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu).my

Tools
Information