Adakah 'TENS' (rangsangan saraf elektrik melalui kulit) rawatan yang berkesan untuk sakit haid dan adakah ia mengakibatkan kesan yang tidak diingini?

Mesej utama

• Secara keseluruhan, rangsangan saraf elektrik transkutan frekuensi tinggi dan frekuensi rendah (TENS) boleh mengurangkan kesakitan berbanding dengan plasebo (rawatan dummy) atau tanpa rawatan.

• Kami tidak pasti tentang kesan TENS frekuensi tinggi berbanding dengan TENS frekuensi rendah, kesan TENS frekuensi tinggi dan rendah berbanding dengan rawatan yang lain (akupresur, acetaminophen, terapi arus interferensi), dan kesan yang tidak diingini.

• Kajian masa depan harus menyiasat kesan yang tidak diingini, dan juga keberkesanan TENS mengenai keperluan untuk menggunakan ubat penahan sakit tambahan, aktiviti harian dibatasi oleh kerana kesakitan, dan kualiti hidup. Kajian harus melibatkan lebih ramai wanita dan menggunakan kaedah yang mantap.

Apakah sakit haid?

Kesakitan haid adalah kekejangan di rahim dan sakit atau sakit berterusan di perut bawah dan punggung bawah dan kaki. Ia biasanya berlaku pada awal tempoh bulanan (haid). Ia sangat biasa pada wanita dan perempuan pada usia yang boleh mengandung. Ramai wanita mengambil ubat penahan sakit over-the-counter, seperti ibuprofen dan acetaminophen (paracetamol). Walau bagaimanapun, sesetengah wanita tidak boleh menggunakan ubat-ubatan ini disebabkan oleh kesan yang tidak diingini, atau masalah kesihatan yang lain.

Apakah TENS (rangsangan saraf elektrik transkutan) dan bagaimana ia dapat membantu?

Mesin TENS adalah peranti mudah alih kecil dengan pad (elektrod) yang melekat pada kulit diatas sumber sakit. Ia biasanya digunakan oleh wanita, di rumah, apabila mereka mula mengalami sakit. Mesin ini menghantar arus elektrik kecil melalui kulit ke kawasan yang terjejas, yang boleh memberikan sensasi kesemutan. TENS tidak menghentikan kekejangan atau sakit, tetapi dianggap bahawa arus menghalang isyarat sakit dari saraf ke otak, yang mengurangkan rasa sakit. TENS juga boleh membantu tubuh menghasilkan 'endorfin', yang merupakan ubat penahan sakit semula jadi tubuh. TENS murah dan boleh mempunyai kesan yang tidak diingini yang lebih sedikit daripada ubat-ubatan. Kesan yang tidak diingini boleh termasuk sedikit kemerahan atau kerengsaan kulit di sekeliling elektrod. Ada kemungkinan untuk mengubah kekerapan dan kekuatan arus elektrik, yang digambarkan sebagai TENS frekuensi tinggi atau TENS frekuensi rendah.

Apakah yang ingin kami ketahui?

Kami ingin mengetahui sama ada TENS dapat melegakan sakit haid tanpa menyebabkan kesan yang tidak diingini. Kami hanya berminat dengan kesan TENS pada wanita yang kesakitannya disebabkan oleh haid, bukan disebabkan oleh keadaan yang lain. Kami ingin mengetahui sama ada TENS frekuensi tinggi lebih berkesan daripada TENS frekuensi rendah, dan sama ada TENS lebih berkesan daripada rawatan plasebo (dummy) atau tiada rawatan, atau rawatan yang lain untuk sakit haid.

Apakah yang telah kami lakukan?

Kami telah mencari kajian yang menyiasat TENS frekuensi tinggi atau rendah berbanding dengan plasebo atau tanpa rawatan, atau rawatan lain. Kajian boleh dilakukan di mana sahaja di dunia selagi menyertakan wanita dan perempuan dengan sakit haid.

Apakah yang telah kami dapati?

Dalam ulasan ini, kami menyertakan 20 kajian dengan 585 peserta wanita yang mengalami sakit haid. Kajian-kajian diterbitkan antara 1985 dan 2019. Mereka kebanyakannya berlaku di Brazil, Amerika Syarikat dan Sweden, dengan yang lain di Korea Selatan, Jepun, Iran, Norway, Turki, Taiwan dan India.

• TENS frekuensi tinggi berbanding dengan plasebo atau tiada rawatan boleh mengurangkan sakit (10 kajian, 345 wanita) tetapi kita tidak tahu sama ada terdapat perbezaan dalam kesan yang tidak diingini (3 kajian, 146 wanita).
• TENS frekuensi rendah berbanding dengan plasebo atau tiada rawatan juga boleh mengurangkan kesakitan (3 kajian, 645 wanita). Tiada kajian yang melaporkan kesan yang tidak diingini.
• TENS frekuensi tinggi berbanding dengan TENS frekuensi rendah: kita tidak tahu mana yang mempunyai lebih banyak kesan terhadap kesakitan (3 kajian, 54 wanita). Satu kajian melaporkan bahawa tiada kesan yang tidak diingini berlaku.
• TENS frekuensi tinggi berbanding dengan rawatan yang lain: satu-satunya rawatan lain yang kami dapati ialah akupresur (1 kajian, 18 wanita), acetaminophen (paracetamol) (1 kajian, 20 wanita), dan 'terapi arus interferensial', yang serupa dengan TENS tetapi dengan arus elektrik yang lebih kuat (2 kajian, 62 wanita). Kami tidak tahu sama ada terdapat perbezaan antara TENS frekuensi tinggi dan rawatan-rawatan ini. Mungkin tidak ada perbezaan dalam kesan yang tidak diingini.
• TENS frekuensi rendah berbanding dengan rawatan yang lain : satu-satunya rawatan lain yang kami dapati ialah acetaminophen (1 kajian, 20 wanita). Kami tidak tahu sama ada terdapat perbezaan antara kedua-dua rawatan tersebut. Tiada kajian yang melaporkan kesan yang tidak diingini.

Apakah batasan bukti?

Keseluruhannya, keyakinan kami terhadap bukti adalah sangat rendah. Ini terutamanya kerana kami menemui sebilangan kecil kajian, dan mereka tidak termasuk banyak wanita. Khususnya, kesan yang tidak diingini kurang dilaporkan dalam kebanyakan kajian.

Sejauh manakah bukti ini terkini?

Ulasan baru ini menggantikan ulasan yang diterbitkan pada tahun 2009. Bukti adalah terkini sehingga hingga April 2024.

Nota terjemahan: 

Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini. Diterjemahkan oleh Gurmeet Albail Singh. Disunting oleh Khaw Loke Tim (IMU University)

Tools
Information