Sejauh manakah keberkesanan ubat-ubatan yang diberikan bersama antipsikotik dalam mencegah penambahan berat badan pada penghidap skizofrenia?

Mesej utama

- Metformin mungkin berkesan dalam mencegah penambahan berat badan yang disebabkan oleh antipsikotik.

- Antagonis H2 dan modulator monoamine mungkin sedikit berkesan dalam mencegah penambahan berat badan yang disebabkan oleh antipsikotik.

- Kajian pada masa depan harus menyertakan lebih ramai orang dan menilai mereka untuk tempoh yang lebih lama.

Apakah itu ubat antipsikotik?

Antipsikotik adalah ubat yang digunakan untuk merawat gejala psikosis, seperti halusinasi, khayalan dan pergolakan. Ubat-ubat ini sering digunakan untuk merawat penghidap skizofrenia. Contoh antipsikotik ialah haloperidol (Haldol), chlorpromazine (Thorazine), olanzapine (Zyprexa) dan risperidone (Risperdal).

Skizofrenia dan penambahan berat badan

Orang yang menghidap skizofrenia berkemungkinan dua kali lebih kerap daripada populasi umum untuk mengalami berat badan berlebihan, mungkin disebabkan oleh diet yang tidak baik dan gaya hidup yang tidak aktif. Berat badan berlebihan boleh membawa kepada keadaan kesihatan lain, seperti penyakit jantung, strok dan diabetes.

Malangnya, kesan antipsikotik yang tidak diingini ialah penambahan berat badan. Kadangkala, penghidap skizofrenia diberi ubat bersama antipsikotik (ubat 'tambahan') untuk mengelakkan penambahan berat badan tambahan ini. Ubat tambahan ini boleh menghalang orang daripada berasa lapar atau membantu mereka berasa kenyang. Biasanya, ia adalah ubat yang dibangunkan untuk tujuan lain, seperti metformin, yang merupakan ubat untuk merawat diabetes, dan fluoxetine, yang merupakan antidepresan.

Apa yang kami ingin ketahui?

Kami ingin mengetahui sama ada ubat tambahan untuk mencegah penambahan berat badan yang disebabkan oleh antipsikotik berkesan pada penghidap skizofrenia.

Apa yang kami lakukan?

Kami mencari kajian yang meneliti sebarang ubat yang diberikan bersama antipsikotik untuk mencegah penambahan berat badan pada penghidap skizofrenia. Peserta kajian boleh terdiri daripada sebarang umur atau jantina tetapi perlu mempunyai diagnosis skizofrenia atau penyakit seperti skizofrenia. Mereka harus dipilih secara rawak untuk menerima sama ada ubat pencegah berat badan, atau plasebo (ubat tiruan) atau tiada ubat tambahan (rawatan standard).

Kami membandingkan dan merumuskan keputusan-keputusan kajian dan menilai keyakinan bukti berdasarkan faktor seperti kaedah dan saiz kajian.

Apa yang kami temui?

Kami menjumpai 17 kajian dengan 1388 orang yang mengkaji kesan ubat tambahan untuk mencegah penambahan berat badan yang disebabkan oleh antipsikotik. Ubat tambahan ialah metformin, topiramate, antagonis H2, modulator monoamine, modulator monoamine ditambah betahistine, melatonin, dan samidorphan. Kajian adalah singkat, berlangsung antara 6 dan 24 minggu. Dan mereka adalah kecil, dengan hanya 63 orang secara purata - yang terkecil hanya menyertakan 14 orang, yang terbesar 561 orang.

Kajian yang dijalankan setakat ini mencadangkan bahawa:

- metformin mungkin berkesan dalam mencegah penambahan berat badan dan boleh diterima dengan baik berbanding rawatan standard (5 kajian, 232 peserta);

- Antagonis H2, seperti nizatidine, famotidine dan ranitidine, atau modulator monoamine, seperti reboxetine dan fluoxetine mungkin berpotensi berkesan dalam mencegah penambahan berat badan yang disebabkan oleh antipsikotik;

- topiramate mungkin tidak berkesan dalam mencegah penambahan berat badan yang disebabkan oleh antipsikotik.

Apakah batasan bukti tersebut?

Keyakinan kami terhadap bukti adalah terhad kerana kami menjumpai hanya sebilangan kecil kajian untuk setiap ubat tambahan. Kajian-kajian melibatkan sedikit orang, dan hanya berlangsung untuk masa yang singkat.

Sejauh manakah bukti ini terkini?

Bukti adalah terkini sehingga Februari 2021.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Patricia Ponniah (Klinik Pergigian Seremban). Disunting oleh Mohamad Masykurin Mafauzy (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information