Gabungan ‘transcatheter arterial chemoembolisation’ dan ablasi suhu berbanding TACE sahaja untuk karsinoma hepatoselular

Latar belakang

Karsinoma hepatoselular (sejenis kanser hati yang paling kerap berlaku) adalah kanser keenam paling kerap terjadi di dunia. ‘Transcatheter arterial chemoembolisation’ (TACE) (menyuntik agen ke dalam saluran darah yang membekalkan makanan kepada tumor untuk mengurangkan bekalan darah ke tumor dan membunuh tumor) adalah terapi yang paling kerap dilakukan sebagai rawatan karsinoma hepatoselular, tetapi hasil klinikalnya adalah tidak memuaskan . Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, gabungan TACE ditambah dengan ablasi terma (membunuh sel tumor dengan menghasilkan haba atau suhu sejuk) telah menunjukkan keberkesanan yang lebih baik berbanding menggunakanTACE sahaja. Walau bagaimanapun, bukti bagi menunjukkan keberkesanan ataupun bahaya gabungan TACE dengan ablasi bagi penghidap karsinoma hepatoselular ini masih kurang.

Matlamat

Kami berhasrat untuk menilai kesan faedah dan bahaya gabungan TACE dengan ablasi terma berbanding TACE sahaja untuk karsinoma hepatoselular.

Hasil-hasil utama

Kami mengambil 135 rekod yang layak untuk saringan teks penuh. Kami mengecualikan 21 daripada rekod ini kerana intervensi yang digunakan adalah di luar skop kajian kami atau kajian itu bukan ujian klinikal rawak. Kami menyenaraikan baki 114 rekod, yang melaporkan 114 kajian, di bawah kajian yang menunggu klasifikasi kerana kami tidak dapat memastikan sama ada kajian-kajian ini adalah ujian klinikal rawak daripada maklumat dalam kertas kajian. Kami tidak dapat mendapatkan maklumat mengenai pendaftaran protokol kajian untuk mana-mana kajian daripada 114 kajian tersebut. Kami tidak dapat memperoleh maklumat mengenai kelulusan kajian oleh jawatankuasa etika penyelidikan serantau, sama ada daripada para pengarang kajian atau melalui carian kami sendiri di daftar penyelidikan. Pengarang-pengarang koresponden tidak menjawab pertanyaan kami tentang reka bentuk dan pengendalian kajian, kecuali seorang daripadanya yang kami tidak mendapat respons yang memuaskan. Kami juga telah menyatakan kebimbangan kami kepada editor-editor jurnal yang menerbitkan 114 kajian itu, dan kami tidak mendapat balasan maklumat yang berguna. Selain itu, seperti terdapat kemasukan peserta kajian yang tidak sesuai, berdasarkan peringkat kanser dan keterukan penyakit hati, yang sepatutnya mendapat intervensi lain mengikut garis panduan daripada kalangan pakar yang berkaitan.

Kami mengenal pasti lima percubaan yang sedang dijalankan, dengan membuat carian tangan dalam laman web percubaan klinikal.

Kesimpulan

Kami mendapati tiada ujian klinikal rawak yang disahkan bagi menilai gabungan TACE dan ablasi terma berbanding TACE sahaja bagi mereka yang mempunyai karsinoma hepatoselular untuk dimasukkan ke dalam ulasan kami. Oleh itu, kami tidak boleh membuat sebarang kesimpulan mengenai rawatan karsinoma hepatoselular menggunakan TACE ditambah ablasi terma berbanding TACE sahaja.

Kami memerlukan kajian yang membandingkan kesan faedah dan bahaya gabungan TACE ditambah ablasi terma berbanding TACE sahaja pada mereka yang mempunyai karsinoma hepatoselular, yang tidak layak untuk rawatan dengan tujuan kuratif (pemindahan hati, reseksi pembedahan ablasi) dan mereka yang mempunyai rizab hati yang mencukupi, sebagaimana dinilai oleh skor Child Pugh, dan yang tidak mempunyai metastasis ekstrahepatik. Oleh itu, peserta percubaan pada masa hadapan mestilah diklasifikasikan berada pada Barcelona Clinic Liver Cancer Stage B (peringkat pertengahan) (BCLC-B) atau tahap yang setara, dengan sistem klasifikasi lain.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Syed Amirfaiz (Universiti Islam Antarabangsa Malaysia). Disunting oleh Rosnani Zakaria (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi syed.m.amirfaiz@gmail.com

Tools
Information