Mesej utama
- Secara amnya, kortikosteroid topikal yang lebih kuat (krim steroid yang disapu pada kulit) mungkin lebih berkesan daripada persediaan yang lebih lemah. Krim steroid yang kuat disapu sekali sehari mungkin sama baiknya dengan dua kali sehari, dan menggunakan krim steroid untuk dua hari berturut-turut setiap minggu mungkin menghalang penimbulan ekzema.
- Kira-kira satu pertiga kajian melihat kepada penipisan kulit, tetapi kes adalah sangat rendah. Ini menyukarkan penilaian perbezaan antara strategi, walaupun terdapat lebih banyak kes dengan krim steroid yang lebih kuat.
- Kami memerlukan penyelidikan berkualiti lebih baik tentang kesan yang tidak diingini, untuk jangka masa yang lebih panjang, tetapi penggunaan krim steroid secara berselang-seli mungkin menyebabkan kurang kesan yang tidak diingini.
Apakah ekzema dan bagaimana ia dirawat?
Ekzema adalah keadaan biasa, yang tahan lama, mengakibatkan tompokan kulit yang radang, kering, gatal dan keparahannya berbeza; ia tidak dapat diubati pada masa ini, oleh itu tujuan rawatan adalah untuk mengawal simptom (keradangan dan kegatalan). Pilihan pertama rawatan adalah emolien (pelembap) digabungkan dengan rawatan untuk mengurangkan keradangan, selalunya krim steroid.
Apakah yang kami ingin ketahui?
Krim steroid boleh digunakan dengan cara yang berbeza untuk merawat ekzema, dan orang sering berasa keliru tentang yang mana untuk digunakan, serta berapa kerap dan cara terbaik untuk menggunakannya. Kami ingin menyiasat keberkesanan jenis cara (strategi) yang berbeza dalam menggunakan krim steroid dan sama ada ia mengakibatkan kesan yang tidak diingini.
Apakah yang telah kami lakukan?
Kami meringkaskan bukti daripada kajian yang menguji cara yang berbeza menggunakan krim steroid pada orang dewasa dan kanak-kanak. Kami menilai strategi rawatan berdasarkan perubahan dalam keterukan ekzema yang dinilai oleh doktor/penyelidik atau peserta, dan kesan yang tidak diingini, seperti penipisan kulit (kulit mungkin lebam atau luka dengan lebih mudah). Kami membanding dan merumus keputusan mereka, dan menilai keyakinan kami terhadap bukti, berdasarkan faktor-faktor seperti kaedah dan saiz kajian.
Apakah yang kami temui?
Kebanyakan kajian dijalankan di negara berpendapatan tinggi, biasanya di hospital, dan berjangka pendek (berkisar 1 hingga 6 minggu); kajian yang menilai pencegahan penimbulan ekzema berlangsung lebih lama, tetapi di bawah 6 bulan. Umur peserta berbeza-beza; 43 kajian melibatkan kanak-kanak sahaja. Ekzema adalah sederhana atau teruk dalam 51 kajian, ringan hingga sederhana dalam 16 kajian, ringan hingga teruk dalam 3 kajian, dan 34 kajian tidak melaporkan keterukan ekzema. Kira-kira separuh daripada kajian dibiayai oleh syarikat yang mengeluarkan krim steroid atau mempunyai kaitan dengan industri; 44 tidak melaporkan sumber pembiayaan mereka.
Kami menyertakan 104 kajian dengan 8443 orang.
- Krim steroid yang lebih kuat berbanding lemah (63 kajian). Kami menggabungkan data daripada 31 kajian dan 2018 orang. Peluang untuk mencapai peningkatan yang jelas atau ketara, yang dinilai oleh penjaga kesihatan, mungkin meningkat dengan penggunaan krim steroid yang lebih kuat. Bagi 1000 orang yang dirawat, berkemungkinan 340 hingga 390 akan bebas daripada atau hampir bebas dengan menggunakan krim steroid ringan; 460 hingga 520 mungkin akan bebas daripada atau hampir bebas dengan menggunakan krim steroid sederhana; serta 530 hingga 710 mungkin bebas daripada atau hampir bebas dengan menggunakan krim steroid yang kuat.
- Penggunaan krim steroid dua kali sehari berbanding sekali sehari (25 kajian). Kami menggabungkan data daripada 15 kajian dengan 1821 orang. Penggunaan krim steroid yang kuat sekali sehari mungkin sama berkesan dengan penggunaan dua kali sehari. Kajian tidak melaporkan kesan yang tidak diingini, dan kami tidak pasti tentang beberapa hasil. Dua puluh dua kajian (2266 orang) melaporkan penipisan kulit. Mereka mengenal pasti 26 kes yang berkemungkinan, 16 dengan krim steroid yang sangat kuat, 6 dengan kuat, 2 dengan sederhana, dan 2 dengan krim steroid ringan.
- Tempoh krim steroid yang lebih lama berbanding pendek (0 kajian)
- Sapuan dua kali seminggu (menggunakan krim steroid selama dua hari berturut-turut setiap minggu) untuk mengelakkan penimbulan ekzema berbanding tanpa penggunaan (9 kajian). Kami menggabungkan data daripada 7 kajian (1149 orang). Krim steroid dua kali seminggu mungkin mengurangkan kemungkinan timbulnya ekzema. Bagi 1000 orang menggunakan krim kawalan penimbulan ekzema dua kali seminggu, kami menjangkakan kira-kira 248 orang akan mengalami satu atau lebih penimbulan baru berbanding 576 orang yang tidak menggunakan strategi ini. Tiada kes penipisan kulit dikenal pasti dalam 7 kajian pencegahan penimbulan ekzema (1050 orang).
- Perbandingan lain. Kami juga melihat penyediaan krim steroid yang baru berbanding lama, krim berbanding salap, krim steroid yang digunakan dengan balutan basah, penggunaan harian berbanding penggunaan yang kurang kerap, kekuatan berbeza krim steroid yang sama, masa penggunaan dalam sehari, krim steroid berselang-seli dengan perencat kalsineurin topikal (cth. Protopic dan Elidel) berbanding krim steroid sahaja, sapuan pada kulit basah berbanding kering, dan sebelum berbanding selepas emolien. Tiada kajian yang membandingkan krim steroid berjenama dengan generik atau masa antara penggunaan emolien dan krim steroid.
Apakah batasan bukti tersebut?
Secara keseluruhan, kami agak yakin tentang keputusan mengenai keberkesanan krim steroid untuk merawat ekzema, tetapi kami mempunyai sedikit keyakinan terhadap keputusan mengenai kesan yang tidak diingini, kerana kajian adalah kecil dan tidak selalu menggunakan kaedah yang paling boleh dipercayai.
Adakah bukti ini mutakhir?
Bukti adalah terkini hingga Januari 2021.
Diterjemahkan oleh Lee Pei Yee (Hospital Keningau). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my.